BAB 23 | TAMAN TEMA

Drama Series 1053

Hujan turun tanpa henti sejak petang tadi. Langit kelabu terus menangis, seolah memahami beban yang dipikul bumi. Di bawah kanopi yang dipasang dengan harapan tipis agar dapat melindungi mereka dari tempias hujan, seorang wanita tergesa-gesa menutup dulang kuih dengan plastik lutsinar. Air dari jalanan sudah mula mengalir ke kaki lima, dinginnya menyelinap masuk hingga ke tulang.

"Sayang, tutup kepala… hujan ni, kan," ujar wanita itu lembut, tapi tegas apabila melihat anaknya melarikan kain dari atas kepala. Suaranya hampir tenggelam dek deru hujan dan bunyi kereta yang meluncur laju di jalan yang basah.

Adriani menurut, kain bersaiz sederhana menutup kepalanya, namun bukan untuk dirinya dia rasa risau tetapi untuk ibunya yang masih berdiri tanpa sedikit pun mengeluh. Tangan wanita itu bergerak lincah menyusun semula bekas kuih, menjaga agar air hujan tidak mencemari usaha mereka hari ini. Di sekeliling mereka, peniaga lain sudah mula berkemas, wajah mereka pasrah, kecewa, dan letih. Barang jualan masih banyak, tetapi langit seperti tidak bersetuju.

Adriani menjeling ke arah balang air sirap dan kuih-muih yang masih berbaki. Sejak mereka keluar dari apartment kecil beberapa tingkat di atas tadi, hujan sudah turun, perlahan kemudian deras. Adriani tahu rezeki hari ini tidak seperti biasa.

Usianya baru lima belas, namun beban yang dipikul jauh lebih berat daripada sekadar kerja sekolah. Sejak ayahnya diberhentikan kerja kerana mempertahankan seorang pelajar yang dibuli, pelajar miskin yang tidak ada apa-apa selain harga diri, dunia mereka terbalik. Hanya kerana ayahnya berani berkata benar, mereka dihukum. Si pelaku, anak orang kaya, terus bebas dengan sokongan orang berkuasa. Yang jujur, terpaksa jatuh.

Dari jauh, kelibat seorang lelaki muncul, berlari anak menempuh hujan sambil menekup kotak kertas ke atas kepala. Langkahnya laju, namun senyum yang dilemparkan dari jauh tetap melembutkan segalanya.

"Sayang… kenapa tak balik lagi? Hujan lebat dah ni," ucap lelaki itu, Razman, sebaik tiba dan membelai kepala Adriani yang kini berdiri di sisinya. Anak gadis itu memberi ruang, membiarkan ayahnya duduk sejenak di atas bangku kecil yang sudah sedikit basah.

"Banyak lagi kuih ni," ujar Aisyah, isterinya, dalam nada yang perlahan. Senyumannya hambar, namun cuba disulam dengan harapan walau hanya sedikit.

Razman menatapnya, senyum penuh pengertian masih tidak lekang dari wajah.

"Tak apa lah… kita boleh sedekah saja kalau tak habis. Adalah sikit duit, cukup untuk awak mula balik esok," katanya, cuba menyuntik semangat walaupun dirinya sendiri keletihan, setelah seharian membawa Grab dan bersedia pula untuk kerja malam sebagai pengawal keselamatan.

Aisyah mengangguk. Reda. Bersangka baik pada setiap ujian yang Tuhan turunkan buat mereka. Hatinya tidak lagi bertanya "kenapa aku", sebaliknya hanya menyebut, "ini juga rezeki."

Adriani diam. Hatinya bergolak. Gadis muda itu sudah tahu dunia tidak adil kadang-kadang kebaikan bukan kunci untuk diperlakukan dengan baik. Dia melihat senyum ayah dan ibunya, dan dari situ dia belajar sesuatu yang tidak pernah diajarkan di sekolah.

Orang baik tidak selalu diberi ruang. Tapi itu tidak bermakna harus berhenti jadi baik.

Mereka tidak punya apa-apa… namun di bawah hujan petang itu, di tengah gerai kecil yang hampir sunyi, Adriani tahu dia punya dua manusia luar biasa yang sedang mengajarnya erti sabar, redha dan keteguhan jiwa. Dan itu lebih berharga dari apa-apa kekayaan yang pernah dia impikan.

Jadi baik bukan untuk dipandang atau dihargai, tapi kerana orang memang layak diperlakukan begitu. Tapi kalau niatnya hanya untuk mendapat tempat di hati mereka, percayalah mereka akan sentiasa mahu lebih, sampai kau sendiri yang jadi letih.

Beberapa hari berlalu dengan langit yang masih sering muram, seolah menyimpan sisa resah yang enggan reda. Namun di sebalik kemuraman itu, terselit satu sinar kecil yang mula menyapa kehidupan mereka.

Razman pulang lewat petang itu, seragam pengawal keselamatannya masih terpakai di tubuh. Peluh masih melekat, namun langkahnya laju dan wajahnya penuh semangat. Ada sesuatu yang ingin disampaikan, sesuatu yang sudah lama ingin dia hadiahkan buat isterinya berita yang dia tahu bakal mengubah arah hidup mereka. Namun sebaik saja membuka pintu rumah sewa kecil mereka itu, dia dikejutkan oleh riak wajah isterinya yang tegang dan resah, berdiri di hadapan pintu bilik anak mereka.

"Sayang, kenapa ni?" Soalnya lembut, perlahan, namun penuh prihatin. Dia menahan sebentar berita yang ingin dikongsi. Tatkala itu, keutamaan adalah wajah yang sedang menanggung beban diam-diam di hadapannya.

Aisyah mengeluh berat, tangan masih memegang daun pintu yang sedikit terbuka, memandang ke arah bilik anak gadis mereka. Di dalam, Adriani mengurung diri sejak tiga hari lalu, tidak bercakap, tidak menjenguk keluar seperti kebiasaan.

"Adik ni… dah tiga hari tak nak masuk sekolah. Cikgu dia dah call saya banyak kali. Kalau esok dia tak masuk juga, surat amaran pertama akan diberikan." Suaranya mengandungi campuran marah dan sedih. Anak gadisnya bukan jenis begitu. Sesuatu pasti telah berlaku.

Razman mendekat, menyentuh bahu isterinya lembut. "Nanti saya bercakap dengan dia. Sayang tak payah risau, ya?"

Dia menarik tangan isterinya ke dalam genggaman, lalu menatap wajahnya penuh kasih.

"Esok… abang dah mula kerja semula jadi cikgu. Kat tempat abang kerja security tu. Pengetua sekolah tu... dia orang baik. Dia tahu pasal abang tolong budak masa kes kebakaran hari tu, dan dia nak bantu abang dapatkan semula kerjaya abang. Dia juga tawarkan rumah yang lebih selesa untuk kita tinggal," ujar Razman dengan nada perlahan tapi penuh harapan yang tak mampu disorokkan.

Aisyah terpempan. Matanya membulat, tidak percaya dengan apa yang baru dia dengar.

"Betul ke ni, abang?" suaranya tersekat-sekat, namun matanya mula berkaca.

Razman mengangguk, senyum terukir meskipun wajahnya jelas penat. "Syukur... Allah temukan kita dengan insan baik yang sanggup ubah hidup kita. Ini bukan keajaiban, sayang… ini buah dari kesabaran."

Aisyah memeluk tangan suaminya erat, dadanya dipenuhi rasa syukur yang tidak terluah dengan kata. Di saat dunia menghukum mereka kerana berkata benar, akhirnya Tuhan mengirimkan seseorang untuk mengangkat mereka semula.

"Kita berkemaslah," sambung Razman lembut, "Kita akan pindah ke tempat baru… dan sekolah baru untuk anak kita juga. Mungkin di sana, kita boleh mula semula semuanya disana."

Aisyah mengangguk, kali ini dengan senyuman yang tulus. "Moga kali ini, bahagia lebih lama dengan kita."

Dalam diam, Adriani yang mendengar dari balik pintu, menitiskan air mata. Bukan kerana sedih, tetapi kerana rasa bersalah. Dia tahu, ibu dan ayahnya sudah terlalu banyak berkorban. Mungkin… sudah tiba masanya untuk dia juga berdiri kembali.

Jangan pedulikan apa yang dikatakan orang di sekelilingmu. Jangan jadikan pandangan mereka genggaman yang kau bawa ke mana-mana. Kerana jika ia tidak benar, kata-kata itu hanya akan menjadi luka yang sukar sembuh.

Biarkan segalanya menjadi seperti paku di jalan. Semakin jauh kau melangkah, kau akan sedar paku itu tetap di situ, ia tidak pernah ikut bersama langkahmu.

Dewan Hotel Grand Sutera,Pagi Pelancaran Drama Bukan Dia

Langit biru pagi menyapa dari balik cermin kaca besar dewan hotel. Acara pelancaran sudah pun berjalan dengan lancar. Tayangan pembukaan selesai. Kru produksi mula berehat, sementara beberapa wartawan bersiap untuk sesi temubual dengan barisan pelakon.

Adriani duduk di kerusi panjang menghadap jendela, sedikit tersorok dari kawasan utama. Tangannya menggenggam telefon pesanan yang dihantar oleh Zayyan pada pukul 10 pagi tadi baru saja dibalas, sedangkan kini jam sudah menunjukkan 12 tengah hari.

"I’m at the café across the hotel. Come when you can. I just want to see you."

Mesej itu dibaca diam-diam. Dia tidak tergesa membalas, malah wajahnya langsung tidak menunjukkan sebarang reaksi. Setakat ini, hanya pesanan semalam yang sempat dia balas namun kini, lelaki itu mengajaknya untuk berjumpa.

"Eh, Adriani?"

Suara ceria itu buat dia mendongak perlahan. Seorang wanita menghampiri bergaun sederhana, rambut disisir rapi. Wajah itu dikenali.

"Liana," balas Adriani, angguk kecil.

Liana tergelak kecil sambil duduk di sebelahnya.
"Tak sangka kita jumpa lagi. Ingat tak semalam kat parking basement? Saya tak tahu pun kita akan kerja sekali untuk projek ni," ujarnya, sedikit teruja.

Namun reaksi wanita itu tetap biasa tenang dan tidak menunjukkan apa-apa keterujaan.

Adriani hanya mengangguk. "Saya tahu."

Liana ketawa kecil, masih belum menyedari apa yang sedang berlaku.

"Saya baru je naik pentas tadi… baru tahu penulis skrip utama Bukan Dia ialah Adriani Afsheen. Masa pengacara sebut nama awak, saya macam… eh? Biar betul?"

Liana menyambung keterujaannya sambil mencuri pandang ke arah riak wajah Adriani, namun wanita itu kelihatan sibuk membalas pesanan di telefonnya. Entah dia dengar atau tidak kata-kata tadi.

Adriani menoleh sedikit ke arahnya, tenang.

"Samalah. Aku pun baru tahu kau pelakon utamanya," balas Adriani dengan senyum tipis sekilas, cukup untuk memberi sedikit rasa senang kepada Liana yang tadi teruja.

Liana menepuk perlahan pahanya sendiri, seakan masih tak percaya.

"Saya rasa malu pula. Saya dengar pengarah kata awak antara yang cadangkan nama pelakon untuk drama ni. Jadi… karakter Ayra ni, awak yang pilih saya ke?"

Ujarnya sambil sempat mencuri pandang pada dahi Adriani yang sedikit berkerut, seolah sedang memikirkan sesuatu.

"Tak lah. Itu pilihan produksi. Masa pemilihan tu, saya tak bersama mereka ada kerja luar. Dah baca skrip kau?" balas Adriani bersahaja.

Wajah Liana kelihatan sedikit kecewa, namun berubah semula apabila Adriani bertanya balik.

"Dah. Saya jarang dapat watak wanita utama yang matang dan berdiri atas prinsip macam ni. Saya ada beli novel asal bulan lepas… tapi nampaknya awak tak ikut sepenuhnya jalan cerita awal, kan?" ujar Liana, nadanya sedikit ingin tahu.

"Baguslah kalau kau perasan," ujar Adriani dengan senyum nipis, terpantul sedikit rasa bangga di wajahnya. "Tak ramai pelakon yang betul-betul ambil peduli. Kebanyakan cuma baca skrip, hafal dialog, dan terus masuk set. Tapi bagi saya, faham keseluruhan jalan cerita tu penting. Saya nak pelakon bukan sekadar berlakon, tapi hidup dalam watak tu."

Liana tersenyum lebar apabila Adriani kini tampak lebih terbuka untuk berbual dengannya tidak lagi seperti sebelum ini yang hanya membalas sepatah dua kata.

Ada sesuatu yang Liana rasakan tentang Adriani. Sesuatu yang berbeza. Sesuatu yang menarik yang tak dia temui pada orang lain.

"Lepas ni… kalau tak keberatan, boleh tak kita keluar makan sama?" soal Liana, nadanya penuh harapan. Dia mahu hubungan mereka bukan sekadar rakan kerja tapi lebih dari itu, sebagai sahabat yang saling mengenali.

Adriani tak balas. Dia kembali tunduk, buka semula telefon. Skrin masih memaparkan pesanan yang belum berjawab.

Liana perasan sesuatu. Dia muncungkan sedikit bibirnya. "Teman lelaki?"

Adriani hanya mengukir senyum nipis.
"Bukan… kawan lama. Dia dah rancang nak jumpa aku. Mungkin lain kali kita keluar makan," ujar Adriani, masih dengan senyum tipis di wajahnya.

Liana angkat kening sedikit. "Macam watak Ayra, kan? Tak pasti siapa yang patut dia pilih." Dia ketawa kecil sebelum menyambung, "Kadang-kadang saya terfikir… dunia penulis skrip tu, agaknya lebih menarik daripada dunia pelakon. Sedangkan kita pegang naskhah yang sama." Senyum Liana kali ini tampak lain seolah ada sesuatu yang terpendam dalam riak wajahnya.

Kali ini, Adriani hanya senyum tipis tapi mata tak menyambut gurauan itu.

"Selamat berjaya untuk drama ni, Liana," ucap Adriani sebelum bangun perlahan. "Kalau awak betul-betul faham Ayra… awak akan tahu kenapa ending dia macam tu." Tatapan datarnya penuh makna, namun senyum tipis masih terhias di bibir.

Tangan Adriani dihulur, dan Liana menyambut dengan mesra, mata mereka bertemu sebentar.

Liana senyum yakin, kali ini nadanya lebih jelas, tanpa ragu.

"I don’t just act her out, Adriani… I’ll become her. You won’t regret letting me carry Ayra’s story." Ujar Liana dengan senyum manis yang seakan menyembunyikan sesuatu di sebalik nadanya tersirat maksud yang lebih dalam.

Adriani mencebik sinis mendengar semangat wanita itu sebelum melangkah meninggalkan Liana yang hanya mampu berdiri sambil melambai ke arahnya yang sudah berlalu pergi.

Satu hal kau perlu tahu, terlalu obses untuk menjadi seseorang dalam dunia fantasi kadang-kadang membuat kita ingin mengubah jalan cerita sendiri, seolah-olah mahu mengambil alih takdir. Jangan begitu~

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience