Beberapa hari sudah berlalu. Tiada sebarang berita, tiada kemunculan lelaki itu. Seakan segalanya cuma bayang mimpi yang ditinggalkan malam. Langit yang terbentang luas petang itu seolah mengiyakan bahawa kejadian tempoh hari tak lebih sekadar mimpi buruk yang kini mula pudar dari ingatan. Namun Adriani tahu, ia tidak pernah benar-benar hilang.
Di bawah kanopi putih yang sudah siap terpasang untuk penggambaran hari itu, Adriani duduk menyandar di atas kerusi lipat luar. Kaca mata hitam yang dipakai dinaikkan sedikit, membiarkan matanya menjamah pemandangan tasik luas yang tenang dikelilingi orang ramai yang sibuk dengan rutin petang mereka. Ada yang berjoging, ada yang sekadar berjalan berdua. Jauh di tengah tasik, bangau putih berdiri diam di atas batu, dan ikan-ikan sesekali muncul memecah permukaan air.
Scene ditaman yang dirakam sebentar tadi telah pun tamat beberapa minit lalu, namun Adriani masih setia di bawah kanopi. Diam. Matanya memerhati alam tanpa bicara. Kakinya bersilang, tangannya memegang kopi pekat sejuk yang menjadi minuman setianya beberapa hari kebelakangan ini. Mungkin sebab itulah bawah matanya mula menampakkan bayang gelap seperti panda. Tapi dia peduli apa? Daripada aku termimpi-mimpi kejadian gila tu lagi, baik aku berjaga.
Tidur dua tiga jam pun sudah cukup. Masa lain, dia akan isi dengan kerja. Sibuk lebih baik dari gila.
Mawar datang sambil memegang dua set makanan lengkap, dibungkus kemas dalam bekas makanan putih. Dengan selamba dia melabuhkan duduk di kerusi lipat sebelah Adriani, lalu meletakkan makanan itu di atas riba wanita yang kelihatan seperti jasad tanpa roh itu.
"Macam nak hujan ja petang ni," sapa Mawar dengan senyuman kecil.
Adriani menoleh perlahan. Rohnya terasa perlahan-lahan meresap kembali ke dalam tubuh apabila makanan itu mendarat di ribanya. Bukan dia tak mahu ambil sendiri, tapi nak beratur pun dia malas.
"Punyalah terik matahari ni," rungut Adriani selamba, namun tangan sudah mula membuka penutup makanan. Dia sempat menepuk bahu Mawar sebagai tanda terima kasih.
"Mak aku cakap, kadang hujan pun boleh turun time panas terik. Kau tengoklah kejap lagi, mendunglah tu," balas Mawar sambil menyuap buah betik ke dalam mulut.
Adriani hanya diam. Matanya merenung langit cerah yang dihiasi awan bergerak perlahan, seiring angin petang yang menyapa lembut. Kaca mata hitamnya ditolak ke atas, menyandar di kepala berlapik tudung. Seketika suasana diam. Tenang. Cuma bunyi daun bergerak ditiup angin dan gemersik air tasik menemani.
Tanpa menoleh, Adriani bersuara perlahan, "Mawar…"
"Hm?" gumam Mawar, menandakan dia mendengar.
"Kau pernah tak rasa macam… dejavu tu real? Macam kau pernah betul-betul ada kat tempat tu?" soalnya malas, namun nadanya sarat dengan maksud. Tangannya masih memegang ayam masak kicap yang disenduk awal tadi.
Mawar mengangguk kecil. "Hmm… kadang-kadang lah. Tapi benda tu macam mimpi yang berputar. Bila kau sampai tempat tu, baru kau rasa macam ‘eh, pernah jadi kot’."
Tanpa rasa bersalah, Mawar mencapai air minuman Adriani dari ruang letak cawan pada kerusi dan menyedutnya selamba. Bibirnya yang berminyak makin membuatkan wajah Adriani berkerut, namun dia malas melawan. Sudah biasa.
"Apa maksud kau tadi?" soal Adriani lagi, inginkan penjelasan lebih jelas.
"Sama ada tu cuma halusinasi, atau kau belum sedar yang benda tu memang berlaku. Tapi sebab impak dia terlalu tiba-tiba, otak kau terus sangka-sangka. Tu yang susah nak proses, real ke halu."
Adriani diam. Pandangannya kosong, seperti jiwanya melayang entah ke mana. Kata-kata Mawar itu bersarang dalam kepala. Real atau halu? Benda tu memang berlaku ke… atau aku dah gila?
"Kau dah kenapa?" soal Mawar, kini meneguk air mineral, juga bukan miliknya dan tersedak kecil dek nasi yang tersekat di tekaknya.
"Otak aku jem," balas Adriani selamba, walaupun sudu masih tersangkut pada nasi yang bersisa.
"Nanti aku orderkan lampu isyarat made in China untuk kau," balas Mawar sambil menyengih puas, suka benar melawak bila orang lain tengah runsing.
"Aku seriuslah," ujar Adriani perlahan, datar. Tapi Mawar hanya ketawa kecil sambil mengambil baki makanan Adriani yang tinggal.
Adriani menghela nafas panjang. Dia sendiri tak pasti apa yang lebih logik realiti atau mimpi. Tapi kalau benar semua itu cuma mimpi, dia harap dia sudah bangun sekarang.
Takkan betul aku bakal disatukan dengan artis negara?! Gila. Memang gila.
Dan dia, Adriani Afsheen… bangunlah, cepat!
Seakan langit mendengar mulut celupar Mawar tadi, awan yang berarak tenang tadi bertukar kelabu dalam sekelip mata. Angin mulai deras, dan langit pun mula menitiskan hujan seperti mengesahkan segala ramalan yang baru sahaja diperkatakan. Huru-hara kecil pun bermula.
Semua kru penggambaran mula berlari, mengemaskan peralatan dan menolak rak prop ke tempat teduh. Pelakon utama sudah lama menghilang sejak mereka selesai makan petang tadi. Adriani pula, meskipun sudah tidak terlibat, masih setia membantu apa yang perlu. Dia boleh saja pulang lebih awal, tapi hatinya tak sampai untuk tinggalkan kru lain yang bertungkus-lumus menyelamatkan segala kelengkapan kerja mereka. Ini bukan kerja seorang, ini kerja semua.
Dan dia, walaupun kepalanya masih berserabut, tahu batas tanggungjawabnya.
Selesai mengalihkan set terakhir yang berisiko basah, Adriani berlari kecil menuju ke bangunan berhampiran untuk berteduh. Nafasnya masih laju, helaannya mendahului langkah. Sosok Mawar sudah tidak kelihatan mungkin sudah mengikut staf lain lebih awal.
Kini dia bersandar di tepi dinding bangunan, menanti hujan reda walau sekejap, agar dia boleh melintas ke keretanya yang terpakir di seberang jalan. Lalu lintas petang itu semakin padat, dan hujan pula semakin galak mencurah dari langit.
Tiba-tiba seorang lelaki bertopi baseball berlari masuk ke ruang teduh yang sama. Dia sempat menunduk sedikit memberikan sapaan hormat, sebelum menamatkan panggilan telefon dan menyumbat peranti itu ke dalam kocek seluar. Lelaki itu Zul, pembantu editor, seorang yang terkenal pendiam dan tidak banyak cakap. Tapi kerjanya sentiasa kemas dan menepati waktu.
Adriani mendongak sedikit, memandang langit yang mulai menunjukkan tiada tanda-tanda bakal reda. Kemudian dia beralih kepada lelaki itu, Zul mula mencapai kembali payungnya yang tadi terletak di atas lantai.
"Zul… nak tumpang boleh?" soal Adriani, nadanya mesra.
Zul memandang sekilas. Mereka tak pernah benar-benar rapat, tetapi cukup saling mengenali dalam dunia kerja. Adriani tahu, Zul bukan jenis suka berbasa-basi.
"Aku parkir kereta kat seberang jalan… boleh kau tolong hantarkan sampai sana?" Adriani menambah dengan nada separa minta tolong, separa harap.
Zul diam sejenak. Wajahnya sukar diteka. Namun tanpa banyak bicara, dia menghulurkan payung lipat kecil ke arah Adriani.
"Tak apa, kau gunalah," jawab Zul ringkas, suaranya garau. Itu mungkin kali pertama Adriani dengar suara lelaki itu secara terus.
Adriani terkedu. Senyuman tipis terbit di bibirnya, menyambut pemberian itu dengan tangan terbuka.
"Eh, tak apa ke?" soalnya, masih ragu-ragu.
"Aku parkir kat hujung je. Payung ni pun kecil… takkan nak bersesak dua orang," jawab Zul datar, tiada nada bergurau. Sekadar jujur.
"Uish… gentleman. Thanks, bro," balas Adriani dengan senyum kecil, sebelum meletakkan tangkai payung di dahinya seperti gaya kartun Jepun.
"No hal. Bye," kata Zul sebelum berlalu pergi, berlari anak menentang hujan yang semakin lebat.
Dari kejauhan, sepasang mata memerhati tajam seolah babak percuma itu terlalu murah untuk diabaikan. Adriani juga melangkah pergi, menyusuri jalan ke keretanya. Tapi langkahnya terhenti tiba-tiba.
Sebuah kereta hitam tiba-tiba membelok masuk dan berhenti di sisi jalan bersebelahan bangku batu yang dibasahi hujan. Jantung Adriani seakan terhenti seketika. Dia kenal kereta itu. Porsche 911 Carrera.
Tingkap sisi pemandu diturunkan sedikit. Dan wajah yang tidak dijemput itu muncul sekali lagi di hadapan matanya.
Edward.
Adriani tergamam. Matanya terbeliak kecil, bukan sebab teruja… tetapi sebab rasa dejavu yang datang menyerang seperti petir menyambar kepala. Kenapa lelaki ini muncul lagi? Kenapa kebelakangan ini, wajah Edward bagaikan menghantui setiap ruang pandangnya?
Kenapa rasa macam seluruh dunia ni... penuh dengan muka kau je? gumam hatinya. Nafasnya tercungap perlahan.
Ada trauma yang belum sempat dia proses. Dan kini, ia datang kembali, mengetuk tanpa salam.
“Hoi, masuklah!”
Sergahan itu memecah ruang, menyentak Adriani dari lamunannya. Tangannya yang memegang payung tiba-tiba longgar sedikit, tubuhnya kaku seketika. Suara itu… suara yang terlalu dikenali. Seruan itu bergema dalam hujan yang makin menggila, seolah langit ingin menenggelamkan seluruh bumi dalam sekelip mata.
Adriani mematung. Badainya kini bukan sahaja dari langit, tetapi juga dari dalam dirinya sendiri. Jiwanya berkecamuk. Matanya sedikit terbeliak, mulutnya terbuka separuh ketika hujan membasahi tudung dan bahu bajunya. Suasana itu terasa terlalu surreal, seperti babak filem yang berlaku di tengah hujan deras cuma kali ini, dia sendiri watak utamanya.
Tanpa mempedulikan kekalutan emosinya, Adriani membuat keputusan pantas. Dia melangkah deras, meredah hujan yang makin lebat sambil menggenggam payung yang hampir terbalik ditiup angin. Jalan raya yang licin dilintasinya laju, cuba segera sampai ke keretanya yang terletak di seberang.
Namun sebelum sempat tangannya mencapai pemegang pintu keretanya, satu tarikan kuat menarik lengan yang memegang payung. Adriani terpaku. Nafasnya tersekat ketika sosok tinggi itu berdiri di bawah payung yang sama, tiba-tiba muncul di hadapannya.
Edward.
"Hoi, kau pekak ke apa? Aku panggil kau tadi, kan?" ujar Edward keras. Wajahnya jelas menampakkan kemarahan. Rambutnya yang basah melekap di dahi, titisan hujan menitis dari hujung rambut jatuh tepat ke pipi Adriani yang sedang mendongak.
"Ada masalah wayar putus ke? Asal setiap kali kau nampak aku, kau buat muka macam nampak hantu?” sambung Edward lagi, dahinya berkerut, geram. Suaranya cukup untuk membuat dada Adriani bergetar.
Adriani tersentak, menyedari jarak mereka terlalu dekat. Dia segera melangkah ke belakang, mewujudkan ruang antara mereka. Bibirnya terkatup rapat sebelum menelan liur yang terasa tawar, matanya cuba mengelak dari memandang tepat ke mata lelaki itu.
"Kau buat apa kat sini?" soalnya perlahan, memandang ke arah lain, mana-mana saja, asalkan bukan ke wajah Edward yang seakan mahu menelannya hidup-hidup.
"Aku nak bawa kau pergi fitting baju pengantin." Suara Edward kini tegas, penuh maksud. Tanpa menunggu jawapan, dia terus menyambar payung dari tangan Adriani.
Jaket kulitnya mula basah, air hujan mengalir perlahan di belakangnya. Sentuhan tanpa berlapik itu membuatkan Adriani melepaskan payung dengan pantas. sentuhan itu cukup untuk membuat Adriani tersentak, lantas melepaskan pegangan payung.
Dan seperti kali pertama, tubuh Adriani sekali lagi dipaksa mengikut langkah Edward. Tarikan pada pergelangan tangannya tidak terlalu kasar, tetapi cukup tegas untuk memberitahu, ini bukan permintaan. Ini keputusan. Payung itu kini di tangan Edward, menaungi mereka berdua dan dalam diam, langkah yang seiring membuatkan bahu mereka sesekali bersentuhan.
Adriani dibawa masuk ke dalam kereta lelaki itu. Pintu dihampas rapat, menandakan Edward tidak sedang bermain-main dengan kata-katanya tadi. Hujan masih menggila di luar, namun dalam kereta itu, keheningan terasa lebih menekan dari bunyi titisan air di bumbung.
Edward membuka jaket kulitnya yang berat dengan air, lalu mencampaknya ke tempat duduk belakang. Kini hanya t-shirt hitam yang membaluti tubuhnya. Rambutnya yang sudah kusut dikusap kasar, cuba mengeringkan sedikit sisa air sebelum tangannya pantas menekan butang pemanas dalam kereta.
Sekilas, matanya melirik ke arah Adriani yang kini duduk diam membisu di sebelah, seperti patung tugu yang kehilangan roh. Nafas wanita itu kelihatan tenang, tetapi getaran halus pada jari yang bertaut menunjukkan sebaliknya.
"Pakai seat belt," arah Edward dingin.
Adriani, tanpa sepatah bantahan, mengikut saja arahan itu seperti robot. Tangan perlahan mencapai tali pinggang keselamatan dan menguncinya dengan satu klik.
Edward menghidupkan enjin, dan kereta Porsche 911 Carrera itu mula meluncur laju di atas jalan yang basah dan suram. Hujan terus turun, namun di dalam kereta itu, badai yang lebih besar sedang mula membadai jiwa masing-masing tanpa suara.
Share this novel