BAB 1 | SKRIP HIDUP

Drama Series 1053

Seorang wanita muda turun dari perhentian bas di simpang perumahan pangsapuri. Langit kelabu mencurahkan hujan tanpa isyarat, membasahi tubuh yang sudah sedia letih setelah seharian di kampus. Tudung yang sedikit lencun di bahagian kepala dilap perlahan dengan sapu tangan yang sudah separuh basah. Di bawah bumbung kecil perhentian itu, Adriani Afsheen berdiri termenung, matanya mengekori dua pelajar perempuan yang turut turun bersamanya namun kini sudah dijemput ibu mereka yang datang membawa payung. Mereka berlalu dalam perlindungan kasih sayang yang hangat.

Entah kenapa, hati Adriani sedikit terusik. Ada ruang kosong dalam dirinya yang tiba-tiba terasa sangat dalam. Kad pelajarnya 'Diploma in Application Multimedia' yang tergantung di leher, ditanggalkan dan disumbat ke dalam kocek seluar. Dia menarik nafas panjang sebelum berlari anak menuju ke pangsapuri rumahnya. Langkahnya deras, melintasi pasangan ibu dan anak itu dengan tunduk ke bawah, tak sempat sedar pecikan dari lopak air mengenai salah seorang pelajar tadi.

"Macam tak ada mata," keluh pelajar perempuan itu. Ibunya yang berdiri di sisi hanya menggeleng kepala.

"Ibu ada masakkan makanan kegemaran kamu. Mesti kamu lapar, kan?" pujuk si ibu lembut, cuba mencairkan rasa tidak puas hati anaknya. Gadis itu hanya mengangguk pantas, lalu merangkul pergelangan tangan ibunya dengan manja.

Sementara itu, Adriani menekan kod kunci pintu rumahnya. Tubuh dan pakaiannya sedikit basah, namun tidak sepatah keluhan pun terluah dari bibirnya. Suasana rumah gelap dan sepi menyambut kepulangannya. Tangannya memetik suis lampu, lalu berdiri seketika di ambang pintu. Titisan air hujan jatuh dari hujung tudung, menitik perlahan ke lantai.

Dari tempatnya berdiri, pandangan Adriani terbentang ke ruang tamu yang sunyi bagai potongan dari filem seni yang penuh emosi. Cahaya lampu malap berwarna keemasan menyimbah dinding putih susu, mencipta bayang-bayang lembut yang menari perlahan. Segalanya tampak kemas namun tidak terlalu sempurna cukup untuk menunjukkan ruang ini bukan sekadar dihuni, tapi diisi dengan rasa dan kenangan.

Kerusi berlengan kayu dengan bantal corak polka tersandar elok di atas permaidani abstrak yang senada dengan warna jubin kelabu matte. Di sebelahnya, sebuah meja kaca menampung teko kuning dan dua gelas petanda bahawa ruang itu pernah menjadi tempat bicara atau tawa, mungkin malam semalam. Sofa tiga tempat yang empuk dipenuhi bantal dalam rona tanah dan hijau gelap menambah suasana damai.

Rak kayu tinggi di dinding menampilkan figura kecil, bingkai gambar, dan pasu seramik setiap satunya bagaikan menyimpan cerita yang hanya Adriani fahami, walaupun tidak pernah diceritakan. Di sudut kanan, lampu lantai menjulang condong, cahayanya menyimbah ke arah tanaman dalam pasu yang sesekali bergoyang perlahan disapa angin dari pendingin udara.

Ruang ini kecil, tapi terasa luas cukup luas untuk menyimpan kenangan yang tidak pernah padam.

Adriani melangkah perlahan, meletakkan beg galas di sisi meja kaca sebelum merebahkan diri ke sofa tiga tempat itu. Tubuh yang masih basah dibiarkan begitu sahaja. Dia meniarap lama, diam. Kemudian membetulkan posisi, berbaring mengiring dengan pandangan kosong ke hadapan. Matanya mulai berkaca.

Tangan kanan merangkul tubuh sendiri, seakan cuba memeluk semua yang telah pergi.

"Mak... Abah... Adik rindu... Rindu sangat," gumamnya perlahan, dan saat itu juga air mata mula mengalir, panas dan berat.

Rindu itu bukan sekadar rasa. Ia beban yang paling senyap dan paling dalam bila orang yang dirindui itu sudah tiada lagi di dunia nyata.

Enam tahun kemudian.

Adriani duduk di dalam perut kereta Mercedes hitam yang kini terparkir di halaman sebuah banglo mewah. Jemarinya bermain resah di atas riba, tanda keresahan yang tidak mampu diselindung walaupun wajahnya cuba tenang. Dia memandang ke luar, menghela nafas perlahan. Hatinya berdegup kencang hari ini dia akan berdepan dengan seseorang yang selama ini hanya hadir dalam bayang-bayang masa silam suaminya.

Di sebelahnya, seorang lelaki bersut hitam yang segak dan tenang menggenggam erat tangannya. Senyuman manis tersungging di bibir lelaki itu, cuba menyalurkan ketenangan ke dalam jiwa wanita yang dinikahinya setahun lalu.

"Sayang… jangan takut. Mama pasti akan restui kita. Apa pun yang berlaku, saya tetap ada di sisi awak." ujar Hadif lembut, matanya sarat dengan cinta dan keyakinan.

Adriani menoleh sedikit, matanya berkaca. Kehangatan kata-kata Hadif menjalar perlahan ke hatinya yang gementar. Dia mengangguk perlahan, membalas senyuman suaminya.

Pintu kereta dibuka, dan Hadif terlebih dahulu melangkah keluar sebelum beralih membuka pintu untuk Adriani. Jari-jemari mereka masih bertaut erat. Perlahan-lahan mereka melangkah ke arah pintu utama rumah itu, tapi belum sempat kaki melintasi anak tangga, pintu terbuka luas dan di situ berdiri sosok wanita dalam usia lewat tiga puluhan dengan raut wajah yang membara amarah.

Puan Balqis.

Wanita itu berdiri tegak, bibirnya merah menyala dengan gincu yang jelas sekali menunjukkan dirinya bukan wanita yang mudah tunduk apatah lagi mengalah. Riak marahnya bukan sekadar reaksi, ia dendam yang telah lama berakar.

"Tahu pula kau nak balik sini, anak derhaka!" tengking Puan Balqis lantang.

Hadif segera menarik Adriani ke belakang tubuhnya, melindungi wanita yang kini menjadi isterinya dari kemungkinan serangan fizikal ibunya sendiri. Adriani hanya tunduk, enggan memandang wajah wanita yang kini secara sah menjadi mertuanya.

Langkah Puan Balqis mendekati mereka cukup tegas dan penuh kebencian. Adriani menggenggam kemas belakang kot suaminya, cuba menyembunyikan kegusaran yang semakin menebal dalam dadanya.

"Mama sudahlah tu… saya datang ni bukan untuk bergaduh. Ini hidup saya, pilihan saya." suara Hadif lembut namun tegas.

Belum sempat dia menghabiskan bicara, Puan Balqis memotong dengan suara tajam, "Hidup kau?! Sekarang baru kau nak cakap tentang hidup sendiri? Bila dah besar panjang begini, beginikah caranya kau balas jasa mama? Kau sanggup pilih perempuan entah dari mana, yang tak setaraf! Mama paling tak boleh terima bila dia rampas kau dari kami tanpa restu!"

Adriani diam. Kata-kata itu menampar hatinya lebih kuat daripada mana-mana tangan manusia. Namun, inilah harga yang harus dia bayar kerana mencintai lelaki dari dunia yang tidak pernah menyediakan tempat untuknya.

"Mama…" Suara Adriani cuba keluar, cuba menjelaskan. Tapi belum sempat kata terluah, satu tamparan hinggap di pipinya. Pantas. Menyakitkan.

"Jijik, kau panggil aku macam tu," sindir Puan Balqis.

"Mama!" Hadif berseru, segera memegang wajah isterinya yang ditampar. Adriani tergamam. Tangan yang naik ke pipinya terasa panas. Namun sebelum air matanya sempat jatuh, Hadif terlebih dahulu menitiskannya.

"Sayang… maafkan abang," ujar Hadif bergetar, menyapu lembut wajah isterinya. "Mari kita pergi. Kalau tak ada yang sudi kita di sini, kita tak perlu terus di sini."

Baru beberapa langkah mereka mahu berundur, suara Puan Balqis kembali bergema.

"Hadif, kau nak ke mana?! Kau nak tinggalkan mama lagi demi perempuan tak guna ni?!"

Wanita itu berlari mengejar mereka sambil tangannya mengangkat selipar, bersedia dilemparkan jika anaknya benar-benar nekad.

Namun, tiba-tiba Adriani menghentikan langkah. Tarikan tangan Hadif juga terhenti.

"Sayang?" Hadif menoleh dengan dahi berkerut. "Mari kita pulang…"

Adriani memandangnya, senyuman tipis bermain di bibirnya yang sudah pucat.

"Abang pulanglah… mungkin sampai di sini saja saya dapat hantar abang," ucapnya perlahan.

"Sayang, cakap apa ni?" Nada suara Hadif mula berubah, cemas.

"Saya dah tak sanggup hidup macam pelarian. Diancam, dihina seperti perempuan tak bermaruah. Kalau dulu saya mencuri abang dengan baik, hari ini saya pulangkan abang dengan cara yang lebih baik…" katanya lirih.

Hadif terkedu. Dia menggenggam bahu isterinya, cuba menyedarkan Adriani dari keputusan yang menyakitkan itu.

"Sayang, sedar tak apa yang sayang cakap? Kita dah bina kehidupan… tak perlu sesiapa untuk tentukan masa depan kita."

"Cukup, abang! Saya yang tanggung beban. Saya yang sakit. Saya yang menderita!" Suaranya mula bergetar, namun nada itu sarat luka yang lama terpendam.

"Selama ni saya bertahan. Saya harap semua akan jadi baik. Tapi tak pernah sekalipun saya hidup aman… selepas saya ‘curi’ harta berharga keluarga orang kaya."

Hadif menunduk, tergamam. Tetapi bila mendengar kata-kata itu, dia mengangkat wajahnya semula.

"Cakap apa ni? Sayang anggap abang ni barang?! Sayang buat abang nampak macam lelaki pengecut yang tak bertanggungjawab?!"

Adriani menahan nafas. Air matanya mula jatuh.

"Aku bodoh sebab fikir orang kaya boleh ubah hidup orang miskin macam aku… Tapi aku silap. Duit orang kaya hanya untuk orang kaya."

"Stop, sayang!" bentak Hadif. Matanya kini merah antara marah, kecewa dan terluka. Puan Balqis di belakang hanya tersenyum sinis. Ini yang dia mahu. Retaknya rumah tangga yang tak pernah dia restui.

"Kita bukan main pondok-pondok. Ini perkahwinan. Awak tak boleh buat keputusan sendiri!"

Pak!!

Tamparan Adriani hinggap di pipi suaminya. Dunia seperti berhenti seketika. Langit yang kelabu kini pecah hujan turun mencurah-curah. Bunyi guruh bergema, seakan menyambut ledakan emosi yang tercurah dalam diam selama ini.

"Saya.. Dah tak nak hidup.. Dengan awak lagi. Faham?” Suaranya datar. Tenang. Tegas. Jari-jemarinya mencabut cincin di jari manis lalu menyumbatkannya ke dalam poket kot suaminya.

Hadif terkaku. Kata-kata itu jauh lebih pedih dari tamparan tadi.

Adriani melangkah pergi. Dia berlari dalam hujan yang deras, tubuhnya basah kuyup namun tak sedikit pun dia berpaling. Air mata dan hujan bercampur di wajahnya.

Dan di balik deruan hujan, suara hatinya menjerit "Aku bebas!"

Gelak tawa hampa menyusul, terlarut dalam langit yang menangis.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience