Adriani berdiri di hadapan cermin panjang, matanya meneliti setiap inci penampilannya. Sepatutnya malam ini dia hadir sebagai tenaga kerja merakam setiap detik penting untuk dokumentasi CikL di konsert BoyLand. Tapi entah macam mana, tugasan itu bertukar menjadi 'pemaksaan mesra' untuk turut sama bersorak bagi kumpulan K-pop yang langsung tidak berada dalam radar minatnya.
Apa-apa yang berkait dengan K-pop memang bukan seleranya. Riuh, penuh warna, terlalu banyak tenaga. Dia lebih gemarkan sunyi dan damai… macam kedai buku lama atau skrip drama berat yang berlapis-lapis maksud.
Namun begitu, penampilannya tetap dijaga ringkas, tetapi punya tarikan tersendiri. Gaya kasual yang tidak berlebihan, disulam rapi dengan sentuhan keanggunan yang sukar dijelaskan.
Dia menyarung inner striped hijau zaitun dan putih yang serasi, dilapisi dengan hoodie putih bertekstur lembut. Di luar sekali, sehelai kot tebal warna camel membalut tubuhnya, mewujudkan gaya effortless chic yang hangat dan bersahaja. Seluar palazzo putih susu labuh menjuntai, memberi ruang dan keselesaan, dipadankan pula dengan sneakers putih yang menyempurnakan gaya laid-back yang tidak dibuat-buat.
Di bahunya, tergantung beg kecil rona coklat gelap satu sentuhan terakhir yang menyeimbangkan keseluruhan tona penampilan. Tudung satin polos warna krim lembut dililit ringkas namun kemas membingkai wajahnya, menyerlahkan kelembutan dalam keperibadian yang jarang diberi peluang untuk terserlah.
Tiada yang berlebihan, namun segalanya cukup. Seperti musim luruh yang tenang tidak menuntut perhatian, tapi tetap indah untuk dinikmati.
Ketukan halus bergema dari arah pintu bilik. Adriani mengerling jam tangan di pergelangan tepat pukul enam. Sudah tentu itu CikL.
Langkahnya dihala ke pintu. Pemegang dipulas, dan sebaik daun pintu dibuka, wajah bersinar CikL sudah terpampang, dihiasi senyuman manis seperti biasa senyuman yang selalu mengundang masalah.
Langkah wanita itu memasuki ruang utama seolah helaian dari majalah musim luruh penuh gaya, bersahaja, tapi tetap mencuri perhatian. Tubuhnya dibalut mantel coklat gelap berstruktur yang labuh, mencipta siluet elegan namun santai. Dari celah mantel, terserlah sedikit lengan sweater rajut putih gading yang tebal dan hangat, dengan lengan yang labuh hingga menutupi jari membuatkan penampilannya kelihatan comel, bertentangan dengan gayanya yang biasanya maskulin.
Selendang bercorak houndstooth tergantung santai di bahu, meminjam elemen klasik kepada keseluruhan gaya. Beg tangan kulit kecil berona coklat tergantung rapi di sisi. Seluar gelap ketat membalut kaki, dan tapaknya dilengkapi but kulit perang tinggi yang kukuh, membentuk gaya yang menjerit "aku tahu apa aku pakai, dan aku tahu aku nampak hebat."
Rambut panjang CikL dibiarkan lurus jatuh melepasi bahu, memberi kontras lembut kepada penampilan yang cukup memukau tanpa perlu mencuba terlalu keras.
"Awak dah bersedia sakit tekak malam ni?" tanya CikL riang, seperti seorang kakak yang hendak membawa adiknya yang introvert ke dunia keriangan yang tak disukainya.
Adriani menjawab dengan cebikan sinis, malas nak layan. Tapi apakan daya, dia sudah dibayar, dan tugas mesti dijalankan dengan sempurna. Untuk hari ini saja, dia perlu menjadi seseorang yang bertentangan dengan dirinya extrovert, ceria, dan… ya, sorak-menyoraklah kau.
"Baiklah!" jerit Adriani tiba-tiba, suaranya kuat memecah suasana. "Mari bersorak dengan kuat!!"
CikL yang sudah terbiasa dengan kelunakan Adriani terkejut besar. Dia terkebil-kebil, hampir tak percaya. "Eh… eh? Siapa ni? Mana Cik Ash yang selambah dan suka menjeling tu?!"
Adriani hanya menjongket bahu, tersenyum sinis sambil mencapai pasport dan telefon. "Mungkin tertelan semangat fandom masa minum kopi tadi."
Adriani menjeling ke arah wanita itu dengan tenang.
"CikL, kita dah lambat ni. Saya tak nak berpusu-pusu beratur panjang nak masuk nanti. Nanti awak jugak yang terlepas nak tengok bias awak acah-acah lempar flying kiss tu." Ujar Adriani selambah
"Eh, jangan main-main! Itu bukan acah, itu betul! Dia tengok tepat kat kamera, okey!"
Adriani hanya mengangkat kening, selamba. "Kamera mana satu? 83 biji kamera kot..."
Mereka berdua ketawa, dan untuk seketika, Adriani terlupa bahawa dia tidak sukakan K-pop. Mungkin, malam ini akan jadi sedikit berbeza.
Dan mungkin juga, sedikit menyeronokkan… kalau dia berjaya pulang dengan suara yang masih ada.
Malam itu, Stadium Jamsil yang terletak tidak jauh dari pusat Gangnam, Seoul, berubah wajah menjadi lautan cahaya. Ribuan peminat membanjiri tempat duduk, masing-masing menggenggam lightstick dengan warna rasmi BoyLand berkilau serentak mencipta pemandangan hampir magis di bawah langit musim bunga. Sorakan bergema, memecah kesunyian malam sebagai tanda kemunculan kumpulan itu di pentas megah yang dibina khas di tengah stadium.
Namun di sebalik pentas yang bersinar, suasana jauh lebih tenang tetapi penuh debar. Bagi BoyLand, malam ini bukan sekadar persembahan. Ia adalah simbol perpisahan malam terakhir Edward berdiri bersama mereka sebagai satu kumpulan sebelum melangkah ke fasa baharu dalam kerjaya solonya.
Bagi peminat pula, ini bukan sekadar konsert. Ia adalah detik perpisahan yang telah lama mereka takutkan. Sorakan bukan sekadar laungan sokongan, tetapi jeritan rindu yang sudah mula menyusup sebelum tirai diturunkan. Ada air mata yang tumpah tanpa disedari, ada senyuman yang dipaksa demi menyimpan kenangan terakhir bersama idola kesayangan dalam bingkai waktu yang tak akan berulang.
Di luar stadium yang penuh cahaya dan emosi, kota Gangnam berdiri menjadi saksi senyap bahawa malam ini akan terpahat dalam sejarah BoyLand malam paling manis, dan paling pedih.
Beberapa persembahan rancak berlalu, penuh tenaga dan warna. Kemudian, kelima-lima anggota BoyLand melangkah ke tengah pentas dengan gerak yang lebih perlahan. Bar stool berkusyen hitam tersusun kemas menanti, seperti mengajak mereka berlabuh sejenak. Lampu pentas mula malap, digantikan pancaran lembut dalam ton biru dan ungu yang mencipta suasana sayu menyentuh hati.
Mereka duduk serentak. Mikrofon diangkat perlahan. Tanpa perlu kata panjang, sebuah lagu balada yang hanya dinyanyikan dalam momen-momen istimewa mula bergema lagu yang terlalu dikenali oleh peminat, tetapi malam ini kedengaran jauh lebih menyentuh.
Suara harmoni mereka bergabung, mengisi ruang stadium dengan kelunakan dan rindu yang tersembunyi. Lightstick di tangan ribuan peminat menari perlahan, mengiringi suara-suara yang turut menyanyi bersama lembut, namun penuh jiwa. Ia bukan sekadar lagu, tapi hadiah. Mungkin juga… ucapan selamat tinggal yang disampaikan dalam melodi terakhir.
Di tengah-tengah barisan eksklusif yang paling hampir dengan pentas, Adriani berdiri diam. Jaket tebal membaluti tubuhnya, namun angin musim bunga malam itu tetap terasa menusuk kulit. Ini kali pertama dia menyaksikan persembahan perpisahan sebuah kumpulan idol. Di hadapannya, sorotan lampu bersilang membentuk siluet wajah-wajah peminat yang larut dalam emosi. Namun hanya satu wajah yang diperhatikan.
CikL.
Wanita itu berdiri di sisinya. Tangannya menekup mulut, tubuhnya sedikit bergetar. Sepanduk kecil yang dipegangnya tertulis 'Edward, we’ll stay even when you leave' hampir basah oleh tangis yang tak mampu ditahan. Matanya merah, basah. Air mata turun tanpa segan, tidak seperti wanita itu yang biasanya cukup tenang dan ceria.
Adriani menghela nafas. Pengumuman Edward tentang pengundurannya sudah lama diketahui oleh pihak pengurusan dan media. Tetapi malam ini, ia nyata. Dan lebih menyakitkan apabila Edward sendiri menyampaikan kata-kata itu dengan suara bergetar, seolah enggan berpisah, namun tetap tersenyum agar tiada sesiapa terbeban dengan perasaannya.
"Jeoneun… yeoreobuni apeurodo gyesok BoyLand-reul eungwonhae jusigil baramnida. Geudeureun yeongwonhi je gajogieyo. Geurigo jeoreul wihae… i saeroun gireso-do eungwonhae juseyo. (Saya… harap kamu semua akan terus menyokong BoyLand. Mereka adalah keluarga saya selamanya. Dan untuk saya… doakan saya dalam langkah baru ini.)" Suara Edward bergema tenang melalui mikrofon, namun berlapik duka. Tangannya menepuk perlahan bahu ahli kumpulan lain, pandangan matanya menyapu wajah mereka seorang demi seorang penuh kasih, bukan dibuat-buat.
Sorakan masih kedengaran, namun bukan sorakan kegembiraan. Ia seperti tangisan yang berubah bentuk menjerit dalam diam, memohon agar waktu berhenti walau sejenak.
Adriani menggenggam hujung lengan jaketnya. Rasa kehilangan itu… dia cukup kenal. Dia pernah lalui, dan belum pun pulih sepenuhnya. Tapi malam ini, dia menyaksikan kehilangan yang berbeza. Bukan tentang kematian. Tapi tentang satu babak yang harus ditutup, walau tiada siapa yang bersedia.
Matanya kembali kepada CikL. Wanita itu tidak berganjak, terus memandang ke arah Edward dengan pandangan yang seperti mahu mengukir wajah itu dalam ingatan untuk selamanya.
Adriani tunduk sedikit. Malam ini terlalu banyak perasaan. Dan setiap satu… terasa sangat nyata.
Lampu pentas perlahan-lahan malap. Nota terakhir lagu balada bergema sayu sebelum lenyap dalam kesunyian. Helaan nafas BoyLand kedengaran jelas melalui mikrofon berat, penuh rasa. Beberapa saat berlalu dalam senyap, sebelum sorakan dan tepukan bergema, membanjiri stadium seperti ombak menggila.
Edward berdiri perlahan, menunduk dalam-dalam ke arah lautan peminat. Anggota lain mengikut, mata mereka berkaca namun senyuman tetap terukir menyimpan luka yang tidak terucap. Mereka saling berpaut tangan, membentuk satu barisan. Kemudian, tunduk sekali lagi. Kali ini lebih lama, seolah menyampaikan rasa terima kasih terakhir.
Layar besar di belakang tiba-tiba menyala, memaparkan montaj perjalanan BoyLand sejak awal debut. Dari gambar-gambar latihan, persembahan pertama, gelak tawa di belakang pentas, hingga saat-saat jatuh dan bangkit semula semuanya dipersembahkan dalam satu putaran kenangan yang menyentuh jiwa. Lagu tema mereka mengiringi setiap detik.
Peminat terdiam. Ada yang mengesat air mata, ada yang menggenggam sepanduk erat ke dada. Ada juga yang memeluk teman di sisi. Lightstick masih menyala, tetapi kali ini bukan untuk sorakan. Ia adalah cahaya perpisahan.
Edward melambai perlahan, matanya menyapu setiap wajah yang tidak akan lagi dia temui setiap hari. "Yeogikkaji hamkkehae jwoseo… jeongmal gomawoyo. (Terima kasih… kerana temani kami sampai sini.)" ucapnya dalam senyuman, namun suara itu hampir tenggelam dalam emosi.
Langit malam Gangnam seperti turut memahami. Bunga api kecil mekar perlahan di atas stadium, menghiasi langit dengan warna-warna lembut. Lagu instrumental terakhir dimainkan melodi yang hanya didengar oleh mereka yang benar-benar setia menunggu hingga akhir.
Pintu stadium masih belum dibuka. Tiada siapa yang mahu beranjak. Semua berdiri, membiarkan saat itu menyusup ke dalam hati masing-masing.
Kerana mereka tahu… malam ini bukan sekadar penutup konsert.
Tapi penutup sebuah era.
Share this novel