Bab 17

Romance Completed 57827

Nadia ralit memerhatikan pantulan wajahnya di cermin bilik mandi. Dia membelek-belek lebam di tepi bibirnya.

Sudah tidak berdenyut namun meninggalkan kesan. Lebam yang semalam hanya sekadar kebiruan sudah bertukar menjadi hitam kebiru-biruan.

Dia menggeleng-geleng kepalanya. Dia cuba sedaya mampu untuk melupakan tingkah Naqib terhadapnya.

Mahu keluar ke klinik, takut nanti apa pula orang kata?

Berus gigi diambil. Ubat gigi dicalit ke atas berus. Dia menggosok giginya berhati-hati.

Usai saja, dia terus masuk ke dalam biliknya. Dia tidak sempat langsung untuk menyediakan sarapan. Belum sempat dia bangun dari tidur, lelaki itu awal dahulu berangkat ke tempat kerja.

Nadia kemudian mengerling jam dinding. Dia bingkas bangun. Tadi jelas kedengaran seruan Ilahi di waktu Zuhur dari masjid berdekatan. Dia mengeluh panjang.

Naqib langsung tidak memberi dia peluang membela diri. Bukan dia tidak mahu memberitahu Naqib tentang kedatangan
Saiful bersama Atirah dan Fitri dua hari lalu. Dia tak sangka pula yang Fitri benar-benar maksudkan yang Saiful akan datang.

Dia pergi semula ke bilik mandi. Pili air dibuka. Wudhuk diambil.

Dia menyarung telekung yang diambil dari atas katil. Sejadah dibentang. Solat Zohor ditunaikan.

***

"Assalamualikum warahmatullah, Assalamualikum warahmatullah. "

Wajah diraup. Dia beristighfar beberapa kali. Tangannya kemudian ditadah untuk berdoa.

"Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, Kau ampunkanlah dosa-dosaku, dosa kedua ibu bapaku, dosa suamiku, dosa adik-beradikku, dosa sahabat-sahabatku, dosa mereka yang aku kenali, dosa mereka yang mengenaliku, dosa Muslimin dan Muslimat, sama ada yang masih hidup atau sudah pergi menghadap-Mu. "

Tubir matanya terasa panas. Lantas air mata perlahan-lahan gugur jatuh ke tapak tangannya.

"Ya Allah, Ya Fattah, Ya Alim, Kau berikanlah aku hati yang tabah. Hati yang sentiasa cekal menghadapi dugaan-Mu. Hati yang sentiasa ikhlas beribadah kepada-Mu. Hati yang tulus mensyukuri nikmat-Mu. "

"Ya Allah, Ya Aziz, Ya Hakim, Kau kurniakanlah kepada aku, suamiku dan seluruh keturunanku husnul-khatimah Ya Allah. Berikan kami kesempatan untuk bertaubat kepada-Mu sebelum kami mati. Berikan kami kesempatan untuk mengucapkan La Ilaha Illallah, Muhammad Rasulullah sebelum kami mati Ya Allah. Jauhi kami dari azab kubur Ya Allah. Jauhi kami dari azab api neraka Ya Allah. Jauhi kami segala bala dan bahaya di dunia dan di akhirat Ya Allah. "

"Ya Allah, Ya Jabbar, Ya Hafidz, Kau berikanlah kenikmatan kasih sayang dalam perkahwinanku Ya Allah. Limpahkanlah nikmat keharmonian dalam perkahwinanku Ya Allah. Sesungguh hanya kepada Engkau saja aku memohon. Hanya kepada Engkau saja aku berdoa dan hanya kepada Engkau sajalah aku berserah. "

"Rabba Zalamna Anfusana Waillamtaghfirlana Warhamna Lanakunannaminal khosirin. Rabba La Tuzigh Qulubana Ba'da Izhadaitana Wahablana Milladunaka Rahmah, Innaka Antal Wahhab. Rabba Atina Fiddunya Hasanah, Wafil Akhirati Hasanah, Waqina Azabannar. Wasalallahu Alaihi Wasallam, Wa'ala Alihi Wasahbihi Wassalam, Walhamdulillah hi Rabbil 'Alamin. Subhanaka Rabbi Izzal Amma Yasifun, Wasalamun 'Ala mursalin Walhamdulillahi Rabbi 'Alamin. Amin... "

Telapak tangan dibawa ke wajah lalu ditekap di atas kepala. Telekung dibuka dari kepala lalu dilipat dan diletak di atas katil. Sejadah dilipat dua.

Botol berisi air yang ada di meja solek diambil. Penutup dibuka lalu dia meneguk air. Menghilangkan segala dahaga di tekak.

Tok! Tok!
Belum sempat dia menutup penutup botol berjenama Tupperware itu, tiba-tiba telinganya menangkap bunyi ketukan pintu. Dahinya berkerut. Siapa pula yang datang tengah hari begini?

Tudung sarung hitam diambil dari tempat penyangkut dalam bilik lalu disarung ke kepala. Pintu dibuka.

"Kak Asma? "

Kak Asma senyum panjang. Sungguh, senyuman wanita itu mampu mengembalikan semula kekuatannya yang hilang.

"Boleh Akak masuk? " soal Kak Asma.

Di tangan wanita itu, ada sebuah beg kecil yang berisi dua bekas berjenama Tupperware.

"Boleh, masuklah. " pelawa Nadia.

Kak Asma meletakkan beg kecil tadi di atas meja bar. Salah satu kerusinya ditarik lalu wanita itu duduk.

Tangannya mula mengeluarkan bekas dari dalam begnya itu kemudian diletak di atas meja bar.

"Akak sengaja masak lebih. Nak bagi kat Nadia. Haritu kan Nadia ada bagi Akak gulai? Ni akak nak balas lah ni. " selorohnya.

Nadia sekadar melihat wanita itu membuka penutup bekas. Bau kari ayam yang masih panas menusuk hidung.

"Nad dah lunch? " soal Kak Asma.

"Belum," Nadia menggeleng. Dia senyum tipis.

Kak Asma menoleh. Dahi wanita itu tiba-tiba berkerut.

"Kenapa dengan muka Nad tu? " soalnya.

Nadia panik. Cepat-cepat dia menyorokkan bahagian bibir dengan hujung tudung.

"Nad, biar akak tengok. " pinta Kak Asma.

Mahu tak mahu, terpaksa juga Nadia mengalah. Aura Kak Asma terlalu kuat untuk dilawan.

"Meh Akak sapukan ubat, "

Terus saja Kak Asma membawa Nadia ke sofa ruang tamu. Wanita itu lantas mengambil kit aid-first yang sentiasa ada di atas almari kecil di bawah televisyen.

Botol kecil ubat diambil. Penutupnya dibuka. Setitik dua ubat itu dititis ke atas hujung jari lalu disapu berhati-hati ke bibir dan pipi Nadia.

"Naqib memang selalu pukul Nad ke? " soal Kak Asma.

Terus Nadia mengetap bibir. Terkejut kerana Kak Asma tiba-tiba bertanya soalan cepumas begitu.

"Nad? " panggil Kak Asma.

"Ya? "

"Akak tanya ni, Naqib memang selalu pukul Nadia ke? " soal Kak Asma sekali lagi.

Nadia garu kepala. Apa nak jawab ni?

"Tak selalu. Jarang. Tak, kadang-kadang. "

"Mana satu ni, Nad? "

"Er.. kadang-kadang. "

"Nadia tak nak report polis? "

Report polis?!

"Takkan nak report polis? Kesian lah Naqib. Akak, Akak janganlah report polis eh? Boleh? Hm? " rayu Nadia.

Kak Asma sekadar senyum tawar.

"Akak bukan nak subahat, Nad. Apa yang Nad lalui ni, Akak dah pernah rasa. "

"Hah? "

"Dulu, suami Akak pun selalu pukul Akak. Dia selalu balik lewat malam, mabuk. Kadang-kadang Akak terpaksa suruh anak-anak Akak tutup telinga dengan bantal sebab tak nak bagi anak-anak dengar kami bergaduh. Dia selalu mengamuk pasal benda kecil. Bila Akak terangkan, dia marah pulak. Lepastu pukul Akak. "

"Ya Allah, Akak. Astaghfirullahalazim, "

"Dua tahun dia macam tu. Satu hari, kami ambil keputusan untuk bercerai lepas parents Akak tahu. Sekarang ni, Akak tinggal sendiri aje lah. Dengan anak-anak. "

"Anak-anak Akak macam mana? "

"Alhamdulillah, dia orang boleh terima situasi kami. Bekas suami Akak tu pun sekarang dah berubah. Alhamdulillah. Selalu jugak dia datang melawat anak-anak. "

"Nad kena sabar. Allah uji Nad sebab Allah sayang Nad. Sebab Allah tahu Nad boleh tempuh ujian ni. Banyak-banyak berdoa, banyak-banyak beribadah. "

"Insha Allah, Kak. "

***

Kasut dibuka lalu diletak ke atas kasut. Tali leher dilonggarkan.

Dia kemudian melangkah ke dapur. Cawan kaca kecil ambil lalu dibawa ke mesin air.

Naqib meneguk laju air. Terasa hilang segala penatnya seharian bekerja. Cawan dibawa ke sinki lalu di cuci.

Usai saja dia pergi ke ruang tamu. Niatnya ingin merebahkan tubuh sebelum masuk tidur memandangkan Nadia pada waktu ini biasanya sudah tidur di biliknya.

Belum sempat dia merebahkan tubuh, mata terarah pada figura berbaju-T warna pink pastel yang terlelap di sofa. Wajahnya jelas terpamer keletihan.

Naqib mengambil tempat di ruang kosong sebelah tempat Nadia yang terlelap dalam keadaan terduduk itu. Televisyen masih berpasang. Tidak hairanlah tadi dia hampir naik angin.

Wajah mulus gadis itu diamati lama-lama. Dia meneliti setiap perincian wajah Nadia. Dari alis matanya, hinggalah ke bibirnya. Semuanya cukup sempurna. Namun mengapa dia memilih untuk memusnahkan hidup gadis ini?

Tanpa sedar tangannya naik mengelus rambut yang menutupi sebahagian wajah Nadia. Dia senyum sendiri. Belum pernah dia sedekat ini dengan Nadia. Kali terakhir adalah ketika pernikahan mereka. Itupun hanya beberapa minit. Matanya jatuh memandang lebam kebiru-biruan di pipi dan hujung bibir Nadia. Seraya itu hatinya beristighfar panjang.

Ya Allah, apa aku sudah buat?Gadis ini adalah amanah-Mu untukku. Amanah untuk dijaga. Namun aku memilih untuk menyeksanya. Ya Allah.

Dia dihurung rasa bersalah. Jelas, ego melebihi segala rasa perikemanusian yang selama ini menjadi keutamaan tidak diambil peduli. Hanya kerana seorang wanita bukan mahramnya yang tidak halal, dia sanggup menyakiti Nadia. Isteri iaitu amanah dari Allah.

Tanpa berlengah, dia mencempung tubuh Nadia lalu dibawa ke bilik tidurnya. Bilik yang sepatutnya menjadi tempat Nadia tidur. Di sampingnya. Di sisinya.

***

Najwa menolak daun pintu. Dia mengeluh perlahan.

"Mama macam mana? Okay? " soal Nadwir.

Ketika dia dapat tahu saja berita tentang Puam Masyitah jatuh pengsan lalu dimasukkan ke hospital, cepat saja dia menempah tiket penerbangan pulang ke Malaysia.

Mujur saja isteri dan anaknya tidak bertanya lanjut. Sampai saja dari KLIA, dia terus menuju ke sini.

"Mama okay. Doktor kata cuma tekanan darah rendah. Jangan bagi Mama stres. " terang Najwa.

Dia duduk di kerusi koridor luar wad ibunya. Kasut sneakers berjenama Vans dipandang kosong.

"Naqib tu kan. Kalau aku jumpa dia, memang nahas jantan tu. " getus Nadwir.

"Abang, sabarlah. Kita boleh bincang. " pujuk Rahayu.

"Bincang? Ayu, kalau saya tahu Naqib tu akan buat Nad macam tu, saya tak akan bagi lah Nad kahwin dengan lelaki tu. Tengok sekarang, apa jadi? "

"We didn't know the real things, isn't it? Mana ada Naqib ada alasan dia sendiri? "

"Alasan? Alasan apa, Ayu? Kalau ada masalah pun, tak payah lah sampai nak tangan anak orang. Melampau betul! " marah Nadwir.

"Ir, sudah lah tu. Cuba bawa bertenang sikit? " Encik Daud yang sedari tadi diam tiba-tiba bersuara.

Suaranya rendah saja. Tidak menengking, tidak juga mengeluh.

"Pa, nak bertenang macam mana? Sebabkan lelaki tu, Mama jadi risau pasal Nad sampai masuk hospital. Kita kena buat something about this, Pa. "

"Ir, apakata Ir duduk dulu. Banyak-banyak berdoa untuk Mama, untuk Nad. Bukan marah-marah macam ni. " nasihat Encik Daud.

Nadwir akhirnya mengalah. Dia duduk di ruang kosong sebelah Rahayu yang sedang menidurkan Hana, anak mereka.

Dia menyilang tangan memeluk tubuh. Hatinya masih belum puas. Kalau boleh, dia mahu bertentang mata dengan Naqib sekarang juga.

Naqib, kau takkan terlepas!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience