Bab 24
Ammara menghias ruang santai di luar rumah agam dengan penuh rasa. Tikar berwarna coklat dibentang kemas di atas rumput, dihiasi hidangan ringkas tapi bermakna — spaghetti, kek, jus oren dan buah-buahan segar sebagai pencuci mulut.
“Iris, jom celebrate!” jerit Ammara riang.
“Jom!” balas Iris ceria.
Gelas jernih berisi jus oren milik Ammara dan Iris bertembung perlahan. Mereka bersulang tanda meraikan sesuatu yang manis.
“Tahniah, Aunty!” ucap Iris, matanya bersinar.
"Awww.. thank you, Iris"
Mereka duduk bersila di atas tikar, membiarkan angin malam menampar lembut pipi. Ada tawa. Ada tenang. Ada bahagia yang tak tergambar dengan kata.
Mata Iris tiba-tiba menangkap kelibat seseorang di muka pintu taman mini. Senyumannya melebar serta-merta.
“Papa!” jeritnya ceria.
Dari jauh, Tengku Izzqandar berdiri di muka pintu taman mini. Lengan bajunya disingsing perlahan ke atas, mata tidak lepas memandang dua insan yang sedang menikmati saat indah itu. Jelas, bahagia itu sedang hidup di hadapannya.
Ammara menoleh ke arah yang sama. Pandangannya bertembung dengan sepasang mata yang sudah terlalu lama dikenal. Tengku Izzqandar melangkah perlahan ke arah mereka, diam, namun setiap geraknya penuh tenang dan makna. Kot dan briefcase telah ditinggalkan, kini hanya lelaki yang sedang pulang kepada rasa.
“Celebrate apa ni?” soalnya, lembut.
Ammara mengambil masa sejenak. Senyum tipis terukir di bibirnya sebelum menjawab.
“Saya dan Iris sedang raikan sesuatu… minggu depan, saya dah mula bertugas di Hospital Mawar Indah.”
Tengku Izzqandar angguk perlahan. Hanya satu perkataan terbit dari bibirnya tapi cukup untuk melengkapkan malam itu.
“Oh…”
Namun dalam “oh” itu, ada bangga yang tak terucap, ada bahagia yang tak sempat didefinisikan. Angin terus berhembus perlahan, seolah-olah turut merestui momen yang sederhana, namun penuh makna itu.
Iris tersenyum kecil sambil menarik tangan ayahnya.
“Papa, jom makan sekali.”
Tengku Izzqandar hanya mengangguk, lalu melabuhkan duduk di atas tikar, bersebelahan mereka. Malam terasa lebih damai, seolah-olah segalanya berjalan perlahan.
“So… what’s tonight’s menu?”
Ammara tersenyum nipis, menghela nafas kecil sebelum menjawab. “Masak spaghetti je… saya tak reti masak banyak banyak macam Mak Som. Kek ni saya order je. Nothing special pun.” nada suaranya tenang.
Tengku Izzqandar mengambil pinggan di sisi, lalu hulurkan pada Ammara tanpa banyak bicara.
“Okay, saya nak rasa.”
Ammara terkebil-kebil. Sedikit teragak-agak. Lelaki di hadapannya itu… bukan seperti yang dia kenal dulu. Bukan yang selalu dingin, tegas, dan jauh. Sejak kepulangan dari luar negara, Tengku Izzqandar seperti berubah dan perubahan itu, terasa di setiap geraknya.
“Bo… boleh…” balasnya perlahan, hampir berbisik.
Tengku Izzqandar menyuap spaghetti perlahan, mengunyah dengan tenang. Ammara hanya perhati, jantungnya berdegup laju, menanti reaksi yang tak dijangka.
Selepas beberapa saat, lelaki itu mengangkat wajah. Pandangan mata mereka bertembung.
“Hmm… surprisingly good.”
Dia senyum sedikit, angkat kening.
“Not perfect, but real. I like it.”
Ammara terkedu sejenak. Nafasnya terasa pendek. “Yeke? Tu first time saya cuba masak. Tengok internet je,”
Tengku Izzqandar menyandar sedikit “First time masak rupanya… interesting. What else are you hiding, Ammara?”
Nada suaranya bergurau, tapi mata dia serius.
Ammara ketawa kecil, namun ada makna di balik senyuman itu, “Saya dari dulu bukan jenis suka bersembunyi. Kalau saya suka… saya akan cakap. Saya berterus terang.”
Dia berhenti seketika, memandang ke arah langit gelap yang bertabur bintang, "Tapi tu… dulu lah.”
Tengku Izzqandar terdiam.
Ayat itu kedengaran ringan, seolah-olah gurauan santai. Tapi di telinganya, ia bergema perlahan… menghentak ruang hati yang lama sunyi.
Share this novel