HHMD - Bab 51

Romance Completed 2222

Bab 51

Pintu rumah perlahan-lahan dibuka. Ammara melangkah masuk dahulu, masih berpegangan tangan dengan Iris yang kelihatan sedikit letih namun tetap tersenyum kecil.

“Iris jangan risau tau,” lembut suara Ammara memujuk anak kecil itu. Tangannya membelai kepala Iris penuh kasih, “Mama tak akan biarkan Iris takut lagi macam tadi. Mama janji.”

Iris mengangguk kecil sambil memeluk pinggang Ammara perlahan. “Sayang Mama…” ucap Iris dengan suara manja.

Ammara membalas dengan ciuman kecil di ubun-ubun Iris, sebelum mereka melangkah perlahan ke ruang tamu.

Tengku Izzqandar yang berjalan di belakang mereka hanya memandang dua insan kesayangannya itu dengan pandangan sayu. Langkahnya terhenti seketika, dada terasa sesak. Melihat Iris yang masih bersandar rapat pada mamanya, membuatkan rasa bersalah menjerut hati.

Langkahnya menyusul ke dalam rumah, menutup pintu perlahan-lahan seolah-olah mahu mengunci dunia kecil bahagia mereka dari segala kejahatan di luar sana.

“Iris,” panggilnya lembut.

Gadis kecil itu berpaling, matanya masih merah. Namun sebaik melihat wajah papanya, dia terus meluru ke dalam pelukan lelaki itu.

“Papa…” suara Iris serak, tapi cukup untuk meruntuhkan pertahanan dalam diri Tengku Izzqandar.

“Papa minta maaf… sangat-sangat,” bisik Izzqandar, pelukannya erat, seolah tak mahu lepas. “Papa janji, Papa takkan benarkan benda macam ni jadi lagi. Never.”

Ammara yang melihat dari sisi menggenggam tangannya sendiri, cuba menahan air mata. Namun bila Tengku Izzqandar berpaling dan hulurkan tangan kepadanya, dia terus menyambut.

Mereka bertiga akhirnya duduk bersama di sofa, Iris di tengah-tengah, dilindungi erat oleh dua insan yang paling menyayanginya. Rumah yang sunyi tadi kini dipenuhi semula dengan kasih sayang yang lebih kuat dari sebelumnya.

Dan untuk seketika, dunia luar tidak penting.

Yang penting… mereka masih ada. Bersama.

_________________________________

Diruang kerja rumah agam itu, suasana sunyi membalut dinding-dinding mewah. Tengku Izzqandar duduk di belakang meja hitam besar, dengan lampu malap yang hanya menerangi separuh wajah kerasnya. Tangan kanannya bermain dengan pen, mengetuk perlahan meja marmar. Tanda sabarnya hampir di hujung tanduk.

Wajahnya tampak tenang namun pada mata yang tajam itu, ribut sedang bergelora. Bukan ribut biasa, ini ribut seorang bapa.

Telefon di atas meja berdering sekali. Tanpa banyak bicara, dia angkat.

“Ya,” suara baritonnya keluar garau, berat, bergetar halus dengan kemarahan terkawal.

“Tengku, kami dah dapat orangnya.” suara dari corong telefon kedengaran bergetar sedikit, mungkin tahu aura siapa yang mereka sedang berhadapan.

“Siapa?” dia patah kata, sejuk, membunuh.

“Dia… Marina.”

Jeda sejenak.

“Dia yang upah seorang lelaki untuk tarik Iris jauh dari tempat awam. Arahnya cuma satu, nak beri amaran kepada Tengku dan Puan. Bukan untuk lukakan, tapi cukup untuk buatkan Tengku rasa ‘takut’…”

Tengku Izzqandar mengetap rahang, bahunya sedikit ke depan seakan menahan gelombang marah yang hampir meledak. Matanya kini sepet, pandangan menyorot tajam pada satu titik kosong di hadapannya.

Marina.

Dia mendengus perlahan.

“Mana lelaki tu sekarang?” Suaranya makin mendalam, makin berat, seperti petanda badai yang hampir pecah.

“Kami dah dapat dia, Tengku. Arahan?”

Tengku Izzqandar bangun dari kerusinya. Langkah perlahan ke arah tingkap besar, memandang malam hitam pekat di luar sana. Cahaya petir jauh di ufuk langit seolah-olah melukis bayangan garang di wajahnya.

Tengku mengetap bibir sejenak. Satu tangan dimasukkan ke dalam poket seluarnya, satu lagi mengepal erat.

“Arahkan mereka…” suara itu terhenti sejenak, seolah-olah menimbang, kemudian perlahan tapi cukup untuk meremangkan bulu roma siapa sahaja yang mendengar, dia sambung,

”…buat dia rasa separuh mati. Tapi jangan benarkan dia mati. Belum lagi.”

Ada nada sadis bersalut dingin di sebalik arahan itu. Bagi seorang Tengku Izzqandar Khalid, ancaman pada keluarganya adalah pengisytiharan perang.

Telefon diletakkan kembali ke meja. Tengku menghembuskan nafas perlahan. Namun matanya masih tajam, fikiran masih setajam mata pedang.

Satu bisikan jahat bergaung dalam hatinya. “Marina, kau lupa aku siapa ya.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience