Bab 23
Pagi itu, suasana dalam kereta hanya diisi dengan bunyi muzik perlahan. Iris di tempat duduk belakang sibuk menyanyi kecil mengikut irama lagu. Tengku Izzqandar di tempat pemandu, sesekali mencuri pandang ke arah Ammara yang sedang sibuk membetulkan beg sekolah di pangkuannya.
“Temuduga hari ni kan?” suara Tengku Izzqandar memecah sunyi.
Ammara mengangguk sambil tersenyum sedikit, jemarinya cekap membetulkan tali beg kecil milik Iris. “Pukul sembilan pagi,” jawabnya tenang.
Tengku Izzqandar hanya memerhati diam-diam. Ada ketenangan baru dalam diri Ammara. Tidak lagi gelabah seperti dulu, tidak lagi terlalu riuh tapi tetap punya cahaya lembut yang buat hati jadi hangat.
“Nervous?” soal Tengku Izzqandar, senyuman kecil terukir di hujung bibirnya.
Ammara menggeleng perlahan, masih menunduk membetulkan zip beg. “Biasa jee.”
Tengku Izzqandar mengangguk perlahan. “Good luck, Ammara. Saya yakin awak boleh” katanya, suaranya rendah dan tulus.
Ammara akhirnya mengangkat wajah, memandang Tengku Izzqandar sejenak sebelum senyum nipis “Terima kasih, Tengku.”
Momen itu terasa lama… tapi masing-masing memilih untuk kembali fokus. Ammara berpaling semula ke Iris, dan Tengku Izzqandar.. hanya sempat memandang Ammara dengan pandangan yang sukar ditafsirkan.
_________________________________
Pukul sembilan pagi, Ammara sudah terpacak di hadapan Hospital Mawar Indah, mengenakan blouse putih polos dan skirt labuh warna pastel. Nametag kecil tersemat di dadanya, “Dr. Ammara Delalila (MBBS)”.
Dia menarik nafas dalam-dalam sebelum melangkah masuk ke ruang temu duga. Senyuman kecil dibibir, bukan pura-pura yakin tapi benar-benar redha. Ini perjalanan barunya.
“Selamat pagi,” ucap Ammara sopan ketika membuka pintu bilik temu duga.
Empat orang panel yang sudah menanti mengangguk, membalas sapaan Ammara. Salah seorang darinya menjemput Ammara duduk.
“Dr. Ammara, boleh ceritakan sedikit tentang diri anda?” soal salah seorang doktor senior, dengan suara lembut tapi tegas.
Ammara tersenyum sedikit, membetulkan duduk. “Nama saya Ammara Delalila, baru menamatkan pengajian dalam bidang perubatan dari University of London. Fokus saya adalah dalam bidang pediatrik dan saya memilih untuk pulang ke Malaysia kerana ingin berbakti di tempat sendiri.”
Jawapannya ringkas, tapi penuh keyakinan. Tiada suara bergetar, tiada gugup. Cuma matanya bersinar bersungguh-sungguh.
Beberapa soalan lain menyusul. Tentang pengalaman klinikalnya, tentang cabaran terbesar semasa ‘housemanship’, tentang bagaimana dia menguruskan tekanan di tempat kerja.
Ammara menjawab satu persatu dengan tenang. Ada soalan yang buat dia tersenyum kecil, ada yang buat dia fikir sebentar sebelum menjawab tapi tidak pernah sekali pun dia kelihatan tertekan.
Di luar bilik temu duga, dia keluar dengan langkah yang sama, tenang.
Tak perlu terlalu berangan. Ammara tahu, andai rezeki itu untuknya, ia takkan salah alamat.
Dia tunduk sedikit, melepaskan nafas.
One step closer, bisik hatinya.
Share this novel