Bab 48
Cahaya dari chandelier mewah di ruang tamu penthouse Marina membias ke kaca jendela besar. Marina berdiri dengan segelas wine di tangan, tubuhnya bersandar di tepi tingkap, mata tajam merenung ke luar seolah menyusun strategi.
Telefon di tangannya diangkat perlahan, nombor yang sudah lama disimpan akhirnya dihubungi.
“Hello.” Suara di hujung talian garau dan penuh ragu.
Marina senyum nipis. “Aku perlukan bantuan kau. Benda biasa je… tapi sangat penting untuk aku.”
Ada diam beberapa saat sebelum suara lelaki itu kedengaran lagi, kali ini lebih serius.
“Marina… aku tak berani lah. Kau tahu siapa kau nak usik ni?”
Marina ketap bibir, sinis. “Tu pun tak boleh buat ke? Kata dulu paling hebat, paling licik. Sekarang takut pula?”
“Kau cakap macam senang. Kau tahu tak Tengku Izzqandar tu siapa? Naya aku kalau tersilap langkah.” Nada lelaki itu semakin tegang, jelas dia tidak mahu bermain dengan api.
Marina bangkit dari sandaran. Langkahnya menghala ke meja, meletakkan gelas kaca sebelum kembali ke tingkap.
“Aku bayar kau tiga kali ganda.” Suaranya tenang tapi penuh desakan halus. “Kau buat je. Jangan buat lebih dari yang aku arah. Sekejap je.”
Ada senyap panjang di talian. Nafas lelaki itu kedengaran jelas.
Akhirnya, dia bersuara perlahan. “Bila?”
Marina senyum puas.
“Aku akan mesej kau detail. Pastikan kali ni… kerja bersih.”
Dan talian dimatikan. Marina duduk perlahan, jari-jarinya bermain di bibir. Wajahnya penuh kepuasan, akhirnya permainan sebenar bermula.
Share this novel