Bab 8
Pejabat peribadi Tengku Izzqandar berada di tingkat tertinggi bangunan I.K Group, ruang yang luas, kemas dan dingin. Dinding kaca yang membingkai seluruh sisi membiarkan cahaya siang membanjiri ruangan tapi tak mampu menghangatkan fikirannya yang membeku.
Dia berdiri menghadap kota, kedua tangan diselit ke dalam poket seluarnya. Di belakang, fail-fail menanti untuk diteliti. Jam di dinding bergerak perlahan, namun fikirannya laju berpusing-pusing.
Wajah kecil itu kembali menerpa ke dalam ingatannya. Senyuman Iris, suara kecilnya memanggil "Papa.." dan kata-kata yang menusuk diamnya malam tadi.
"Iris nak yang ada selalu dengan Iris"
Tengku Izzqandar pejam mata perlahan.
Kata-kata Mak Som pagi tadi bagaikan gema dalam ruang ini. Mengulang dan mengulang lagi.
"Iris.. dia sunyi, Izz."
Perlahan, dia melangkah ke meja kerjanya dan duduk. Tangannya membuka satu fail secara rawak namun pandangan kosong. Lantas, dia lepas hela nafas panjang dan bisik perlahan, hampir seperti mengaku kalah kepada sunyi.
"Aku boleh tanpa semua ini tapi macam mana dengan Iris?"
Bunyi detik jam seperti mempercepatkan degupan hatinya. Buat pertama kali setelah lama, Tengku Izzqandar tidak pasti, apakah prinsip yang dijaganya selama ini masih cukup untuk menjaga hati seorang anak kecil yang hanya mahu satu, kasih yang tak pernah dia tahu dan bagaimana untuk diberi.
_________________________________
Bunyi pintu utama dibuka menandakan kepulangan seseorang yang paling dinanti. Iris yang tadinya leka dengan blok-blok mainannya, terus menoleh.
"Papa!!" jerit kecilnya riang sebelum berlari ke arah lelaki tinggi yang baru melangkah masuk.
Tengku Izzqandar menunduk dan membuka kedua tangannya, menyambut tubuh kecil itu ke dalam pelukan hangat.
"Papa penat?" tanya Iris sambil memeluk leher papanya erat.
"Kalau ada Iris, semua penat Papa hilang" bisik Tengku Izzqandar sambil tersenyum tipis. Dia dukung anaknya dan bawa Iris ke ruang rehat mereka berdua, di mana hanya mereka tahu kisah antara ayah dan anak.
Tengku Izzqandar duduk di sofa dengan Iris di ribanya, jemarinya menyisir perlahan rambut halus anak itu. Wajah kecil itu tenang. Bahagia. Tapi masih ada ruang kosong yang Tengku Izzqandar tahu, dia tak mampu isi sepenuhnya.
Matanya menatap Iris.
Dia tahu, dia boleh terus jadi ayah yang baik, yang beri semua serba cukup. Tapi bukan cukup untuk isi ruang kosong dalam hati anak perempuan.
"Kalau Iris nak ada mama.." suara Tengku Izzqandar kedengaran perlahan, serak menahan perasaan.
"Iris nak yang macam mana?" sambungnya. Dia sudah fikir masak-masak, cukuplah hanya dia yang hidup dalam kesunyian. Dia tidak mahu Iris juga lalui semua itu.
Iris pandang wajah papanya dengan penuh harapan. Matanya bersinar, bibirnya tersenyum cerah, tanpa ragu dia bersuara,
"Aunty Cantik!"
Tengku Izzqandar terdiam. Dia pejamkan mata perlahan, Aunty Cantik, gadis bergaya yang dua kali mencuri senyuman anaknya. "Ammara Delalila?"
Mak Som yang mencuri dengar dari dapur hanya mampu geleng kepala sambil tersenyum kecil. Seolah-olah dia tahu, mungkin, Allah dah hantar jawapan untuk si kecil bernama Iris Khalila.
Share this novel