Bab 41
Aroma kopi mula memenuhi ruang dapur villa itu, bercampur dengan bau roti bakar dan mee goreng panas. Cahaya pagi menembus masuk melalui tingkap dapur, mencipta suasana hangat dan tenang.
Ammara, dengan wajah polos tanpa secalit solekan, rambutnya diikat ringkas, sedang sibuk menata piring putih di atas meja makan yang dihias sederhana. Dia kelihatan tenang dan bahagia dalam pakaian tidur satin longgar berwarna pastel lembut. Senyuman kecil menghiasi bibirnya setiap kali dia melangkah dari dapur ke meja makan, membantu Datin Salwa dan bibik.
Dari arah tangga, Tengku Izzqandar muncul. Berkain pelikat, masih dalam baju t-shirt hitam. Dia mendukung Iris yang baru bangun tidur. Rambut si kecil serabai ke sana sini, mata masih mamai tapi wajahnya bersinar ceria bila terpandang mama dia.
Ammara berpaling, senyum lembut terukir.
“Good morning, tuan puteri,” ucapnya.
Iris yang masih menggosok-gosok mata, menghulurkan tangan dengan rengekan kecil, minta dipeluk. Tanpa tunggu lama, Ammara menyambut si kecil dari dakapan ayahnya. Iris terus mencium pipi mama dia, memeluk erat.
“Mama wangi…” bisik Iris perlahan.
Tengku Izzqandar tersenyum nipis, berdiri beberapa detik memerhati pemandangan itu. Dua cinta hatinya dalam satu pelukan. Damai yang dia cari selama ini, kini jelas di depan mata.
Datin Salwa melangkah keluar dari dapur, membawa dulang berisi mee goreng. Matanya jatuh pada Ammara dan Iris yang masih erat berpelukan.
“Good morning, Iris. Manjanya dengan mama,” tegur Datin Salwa sambil senyum.
Iris angkat kepala. “Good morning, Tok Mamah. Mama dulu manja jugak ke?”
Dato Kamal yang duduk di sofa ruang tamu menyampuk sebelum isterinya sempat jawab.
“Aip… mama Iris lagi manja tau. Sampai Tok Babah tak sempat manja dengan Tok Mamah sebab mama Iris tak nak lepas langsung!”
Ammara yang tengah memeluk Iris, tersentak kecil.
“Tok Babah!” Dia menahan malu, sambil ketawa kecil.
Ketawa meletus di sekeliling meja makan. Suasana rumah itu kini dipenuhi dengan gelak tawa, bukan sekadar bunyi tapi rasa bahagia yang betul-betul sampai ke hati.
Mereka berlima duduk di meja makan.
Tengku Izzqandar mengambil tempat di sebelah Ammara. Dia mengambil sudu dan menyenduk mee goreng ke pinggan isterinya tanpa berkata apa-apa, hanya tersenyum kecil.
Ammara yang mahu menyuap Iris perlahan sambil bercakap-cakap kecil, penuh manja terpinga-pinga.
“Nak roti inti apa?”
"Pea.. peanut pun boleh."
Selesai menyapu inti kacang di atas roti, Tengku Izzqandar mengerling dengan senyum nakal. Dia bersuara perlahan hanya untuk Ammara.
“Oh, manja rupanya. Nampaknya saya kena tahanlah kalau lepas ni Ammara tak nak lepas saya.”
Ammara terbatuk kecil, menahan malu sambil menjeling geram ke arah suaminya.
Iris pula, tak faham situasi tapi ketawa ikut sama.
“Mama kena kongsi papa dengan Iris tau!”
Seketika, seluruh meja diselubungi tawa hangat. Pagi itu… adalah permulaan kepada cinta yang benar-benar hidup. Dalam kesederhanaan, mereka menemui erti ‘rumah’ bukan pada dinding villa, tapi pada hati yang kini saling melengkapi.
_________________________________
Pintu pagar automatik perlahan-lahan terbuka. Kereta Tengku Izzqandar meluncur masuk ke halaman rumah dua tingkat yang sebelum ini sering sunyi, sepi… hanya ditemani deru angin dan bunyi jam berdetik.
Tapi hari ini, suasana lain.
Dari muka pintu, Mak Som berdiri dengan senyum lebar, kain batik tersangkut kemas di bahu.
“Selamat datang pengantin baru,” sapa Mak Som dengan suara ceria dan penuh makna, sambil melambai kecil.
Ammara tersenyum, keluar dari kereta dan menolong Iris yang memeluk beg sekolah unicornnya. Iris riang melompat turun, terus berlari kecil ke arah Mak Som dan memeluk pinggang wanita itu.
“Bubu Sommmm!” jerit kecilnya, penuh manja.
Mak Som ketawa besar, membelai kepala Iris. “Aduh, makin berat tuan puteri Bubu Som ni… dah nak mula sekolah dah!”
Tengku Izzqandar turun dari sebelah pemandu, berjalan tenang ke arah mereka.
Ammara memandang rumah itu, rumah yang dulunya sunyi, redup dan terlalu teratur. Tapi hari ini, bagaikan ada nyawa baru.
Tengku Izzqandar berdiri di sisi Ammara. Pandangannya singgah ke wajah isteri dan anaknya, kemudian beralih ke rumah yang kini terasa seperti benar-benar sebuah “rumah”.
Mak Som tersenyum, seakan tahu apa yang bermain di fikiran tuannya.
“Dulu rumah ni sunyi… sekarang baru rasa hidup. Riuh sikit dengan suara budak kecik, gelak tawa tuan puteri, dan langkah puan muda kita,” ujarnya sambil menjeling manja ke arah Ammara.
Ammara tersenyum malu, pipinya sedikit berwarna.
Tengku Izzqandar mengangguk kecil, suaranya perlahan tapi tegas, “Ya… rumah ini dah tak sepi lagi. Dah lengkap.”
Mereka bertiga melangkah masuk ke dalam, satu keluarga kecil yang sedang memulakan bab baru dalam kehidupan mereka, penuh harapan dan rasa syukur.
Share this novel