HHMD - Bab 18

Romance Completed 2222

Bab 18

Tengku Izzqandar duduk di ruang tamu yang sunyi, hanya ditemani fail kerja yang langsung tak mampu menarik perhatiannya malam itu. Sekilas, pandangannya jatuh ke arah tangga… menanti seandainya suara ceria itu akan muncul memanggil Iris untuk makan malam, seperti selalu.

Namun, yang ada cuma senyap. Tiada gurauan manja, tiada langkah ringan.

Teguh tangannya menggenggam fail, namun hatinya goyah. Dia teringat saat Ammara tersenyum menenangkan Iris yang ketakutan dan dia juga teringat wajah sugul yang dihiasi mata bengkak sewaktu dia menyuruh Ammara pulang.

“Dia berubah… sebab aku” bisik Tengku Izzqandar perlahan.

Di tingkat atas, dari celahan pintu yang sedikit terbuka, dia melihat Ammara sedang mendodoikan Iris. Mata itu nampak letih tapi tetap lembut. Tangannya masih luka, namun tidak pernah dia dengar keluhan.

Tapi satu yang paling ketara, senyuman Ammara tak sama lagi.

Waktu dia melintasi bilik itu, mata mereka bertemu sekejap. Ammara tunduk, seperti mengelak.

“Ammara,” panggil Tengku Izzqandar perlahan.

Ammara menoleh, “Ya, Tengku?”

“Awak okay?”

Satu senyuman kecil terukir di bibir Ammara, nipis dan kosong. “Saya okay. Iris tidur lena.”

Tenang. Formal. Tiada lagi suara meleret yang membahasakan dirinya I.

Tengku Izzqandar angguk perlahan. Dia mahu berkata lebih, tapi entah kenapa lidahnya kelu. Ammara bangun, mengemaskan sedikit selimut di tubuh kecil Iris.

“Saya turun kejap, nak siapkan beg sekolah Iris untuk esok.” katanya, sebelum melangkah keluar tanpa menunggu balasan.

Dan di sebalik pintu bilik, Tengku Izzqandar hanya berdiri kaku… terlalu sunyi hingga hatinya sendiri terasa kosong.

Untuk pertama kalinya, dia rindu senyuman Ammara Delalila. Yang dulu, bukan yang sekarang.

_________________________________

Hari berganti hari. Tapi satu yang tak berubah, Ammara masih sama… dalam diam.

Dia tetap bangun awal pagi, siapkan sarapan Iris, temani ke tadika, sambut bila pulang. Dia masih Ammara yang sama, cuma bukan yang dulu. Bukan Ammara yang akan celoteh tentang siri kartun Iris, bukan juga Ammara yang akan pura-pura merengek bila kena marah sebab selalu usik Tengku Izzqandar.

Kini, dia tenang. Terlalu tenang, sampai Tengku Izzqandar rasa itu bukan Ammara Delalila.

“Awak dah makan?” tanya Tengku Izzqandar suatu pagi, bila mereka kebetulan bertembung di dapur.

Ammara angguk kecil, senyum nipis.

“Dah, roti dan susu” katanya lembut, kemudian beralih mencuci gelas.

Tak ada gurauan seperti dulu, tiada renungan penuh makna, tak ada mata yang lari-lari malu. Semuanya hilang, bersama insiden di hospital hari tu.

Tengku Izzqandar hanya memerhati dari tempat duduknya. Dia tak tahu kenapa makin hari… makin dia rindu.

Rindu suara Ammara yang ceria, rindu dia menyebut “Iris, papa Iris garang kan?”

Rindu Ammara yang akan sengaja duduk di sebelah rapat sangat kononnya nak tunjuk gambar comel Iris.

Tapi sekarang?

Yang tinggal cuma seorang wanita muda yang menjaga anaknya sebaik mungkin, tanpa lagi cuba menambat hatinya seperti dulu.

Dan itulah yang paling buat dia rasa… kosong.

Dia tak sangka, dia boleh rindukan seseorang yang satu masa dulu dia anggap hanya mengganggu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience