Bab 15
Hospital Swasta,
Langit malam yang kelam menambah suram suasana. Kilat sesekali menyambar jauh di kaki langit dan dari luar pintu kaca hospital, bayang tubuh tegap Tengku Izzqandar terpaku memandang ke dalam bilik pesakit.
Di sebalik cermin itu, terbaring anak kecilnya. Iris, tubuh kecil itu lemah dengan wayar halus berselirat di tangan dan oksigen lembut di hidung. Dahi mungilnya masih panas, pipinya kelihatan lebih pucat dari biasa.
Wajah tenang Tengku Izzqandar tidak menggambarkan gelora di dadanya. Tapi matanya, mata seorang bapa bercakap banyak. Luka. Risau. Geram. Semua bersatu.
Langkahnya laju menghala ke satu sudut di luar bilik, tempat Ammara berdiri, kaku menanti.
“Ammara.”
Nada itu dingin. Tajam. Menghiris tanpa ampun.
Ammara angkat wajah perlahan. Wajahnya sayu. Serba salah. Rasa bersalah menekan dada hingga sukar bernafas.
“Awak buat apa sebenarnya?” Tengku Izzqandar melangkah mendekat. Bahunya sedikit naik turun menahan marah.
“I.. i lupa yang Iris-"
“Kenapa cuai jaga anak saya?!”
Nada suaranya naik. Mata lelaki itu berkilat dengan emosi yang hampir meletup. Tangannya mengepal.
“Saya tinggalkan Iris pada awak sebab saya percaya, tapi sekarang?” nada suara itu pecah, penuh amarah yang berselindung luka.
Ammara tunduk, menahan rasa yang menghimpit dada. Suaranya tersekat di kerongkong. Dia mahu jelaskan, mahu katakan dia tak sangka… dia terlupa.. tapi apa yang mampu dia kata? Memang terang lagi bersuluh dia yang bersalah.
“Awak cakap awak dah tahu semua tentang Iris. Dan makanan apa yang Iris tak boleh makan. Apa ni, Ammara?" sambung lelaki itu. Penuh amarah.
"I.. i minta.. maaf." lirih suaranya akhirnya pecah. Mata berkaca. Rasa bersalah menyelimuti jiwa.
Tengku Izzqandar memandangnya. Nafasnya kasar.
“Jangan sayang Iris sebab saya, Ammara.”
Ammara mengangkat pandangan, terkejut dengan ayat itu.
Tengku Izzqandar sambung perlahan, suaranya rendah… tapi cukup untuk merobek jiwa. “Iris ikhlas sayang awak. Jangan jadikan dia sebagai jambatan untuk penuhi kemahuan hati awak.”
Dan dengan itu, Tengku Izzqandar berpaling. Dia melangkah kembali ke sisi anaknya, meninggalkan Ammara yang kini berdiri kaku, dada bergelut antara rasa bersalah… dan rasa yang tak mampu dia namakan.
_________________________________
Cahaya lampu malam dari luar jendela jatuh samar ke dalam bilik. Suasana sunyi, hanya kedengaran bunyi mesin pernafasan perlahan menemani tubuh kecil di atas katil. Merah di wajah Iris sudah beransur pulih cuma kerana demam panas, Iris terbuai kesan dari ubat. Wajahnya tenang, seolah cuma sedang lena tidur biasa.
Pintu dibuka perlahan.
Ammara melangkah masuk, perlahan-lahan dan tanpa suara. Dia tahu Tengku Izzqandar baru keluar sekejap untuk berbincang dengan doktor dan entah kenapa hatinya meronta nak masuk, nak pandang anak kecil itu sendiri.
Langkahnya membawa dia ke sisi katil. Dia duduk perlahan. Tangannya mencari tangan kecil Iris, lembut digenggam.
Matanya kabur.
“Maafkan aunty, Iris…”
Suara itu serak, bergetar.
“Aunty cuai. Aunty patut jaga Iris elok-elok, tapi aunty gagal…”
Satu keluhan berat keluar bersama air mata yang gugur tanpa disuruh. Dia tunduk. Hatinya sesak.
Dan entah bagaimana… ayat itu datang mengetuk kembali dari ruang hatinya yang paling dalam.
“Jangan sayang Iris sebab saya, Ammara. Iris ikhlas sayang awak.”
Ammara menggigit bibir.
Sakit. Pedih. Kerana dia tahu… Tengku Izzqandar betul.
Dia bukan datang dalam hidup Iris dengan niat tulus. Dia dekat dengan Iris sebab dia suka papanya. Dia ambil hati Iris sebab itu cara paling mudah untuk mendekatkan diri dengan lelaki yang dia jatuh hati diam-diam.
Dia pandang wajah Iris, wajah polos yang tak tahu apa-apa.
“Aunty… memang sayang Iris sebab Papa awak, Iris.”
“Maafkan aunty, Iris…” bisiknya lagi.
Dan air matanya tumpah lagi, deras. Tangannya mengusap perlahan ubun-ubun Iris. “Aunty janji takkan cuai lagi. Aunty janji…”
Dia tunduk lebih rapat, mencium dahi anak kecil itu yang masih sedikit panas. Tangisnya terpendam dalam, tak bersuara, hanya hati yang tahu betapa hancurnya perasaan Ammara malam itu.
Share this novel