Bab 26
Beberapa minggu pun berlalu.
Sejak mula bekerja di Hospital Mawar Indah, hari-hari Ammara semakin padat. Masa terasa laju berlari dari pagi hingga malam, hidupnya dipenuhi dengan pesakit, laporan, dan panggilan jabatan yang tak henti.
Waktu bersama Iris jadi semakin kurang. Kadang-kadang hanya sempat menatap wajah anak itu ketika menghantarnya ke sekolah, dan pulangnya pula Iris sudah pun tidur lena.
Ammara duduk di sudut biliknya. Komputer riba terpasang, skrin penuh dengan fail laporan pesakit. Matanya letih, tapi jari masih menaip tanpa henti.
Sunyi.
Cuma bunyi kipas siling yang berpusing perlahan. Tiba-tiba, telefon bimbitnya berbunyi perlahan. Satu mesej masuk.
Tengku Izzqandar - "Ammara, Iris cakap dia rindu awak.”
Ammara terdiam.
Jari-jemarinya terhenti di atas papan kekunci. Dia menatap skrin telefon, lama. Sekelip mata, semua letih dan tekanan hari ini seolah hilang. Yang tinggal cuma satu rasa dalam dada: sayu.
“Saya rindu dia juga…”
Dia pandang lagi mesej dari Tengku Izzqandar. Dia pegang telefon erat, kemudian menaip perlahan, hati-hati… tapi kali ini dia tahu, dia perlu balas.
“InsyaAllah, petang ni saya jumpa Iris.”
Dihantar.
Dan entah kenapa, waktu mesej itu terpapar sebagai Delivered, rasa kosong di hatinya sedikit terisi.
Tangannya masih menggenggam telefon. Dalam diam, dia senyum kecil, penuh rindu yang tak pernah padam.
“Tak sabar jumpa Iris.”
_________________________________
Petang itu, langit berwarna jingga keemasan. Matahari mula turun perlahan-lahan, mewarnai laman kecil rumah agam dengan cahaya yang lembut.
Ammara melangkah keluar dari keretanya, dia masih dalam baju kurung moden yang dia pakai sejak dihospital tadi. Langkahnya laju, seolah ada sesuatu yang sedang menunggu. Atau lebih tepat, seseorang.
Pintu gelangsar terbuka perlahan. Belum sempat dia memanggil nama Iris…
“Aunty!!!”
Satu suara kecil memecah senyap petang.
Iris berlari dari arah gerbang kereta tanpa alas kaki, rambutnya sedikit kusut, tapi senyumannya paling tulus yang Ammara pernah lihat.
Dan tanpa ragu, anak kecil itu terus melompat ke dalam pelukan Ammara.
Ammara terjatuh sedikit ke belakang, lututnya hampir mencecah tanah tapi dia sempat peluk tubuh kecil itu erat-erat.
“Iris…” suaranya bergetar.
“Maaf sayang, Aunty dah jarang jumpa Iris”
Iris geleng sambil menyorokkan wajah di bahu Ammara.
“Tak apa. Iris tunggu hari-hari. Iris tahu Aunty mesti datang juga…”
Ammara pejam mata, peluk lebih kuat. Hati yang kosong selama berminggu-minggu, akhirnya penuh kembali, hanya dengan satu pelukan dari si kecil itu.
Dari jauh, Tengku Izzqandar berdiri di balik pintu kaca, memerhati dalam diam.
Dia tak menyampuk. Tak ingin ganggu momen itu.
Cuma… dadanya rasa lain. Ada sesuatu tentang cara Ammara peluk Iris yang buat dia sedar, kasih sayang sebenar, tak perlu banyak kata. Ia terasa. Ia hidup.
Dan di saat itu, dia tahu… mungkin rumah ini perlukan Ammara.
Tapi yang lebih pasti, dia juga perlukan Ammara.
Malam itu, meja makan sederhana terasa jauh lebih meriah daripada biasa.
Iris duduk di tengah antara Ammara dan Tengku Izzqandar, pipinya kemerah-merahan kerana terlalu banyak bercerita, tentang sekolah, tentang kawan baru, tentang cikgu yang “kelakar tapi garang sikit.”
“Tapi cikgu tu suka bagi stiker tau! Tapi Iris tak dapat lagi…” adunya sambil muncung kecil terbit.
Ammara ketawa kecil, menyuap sesudu nasi ke mulut Iris.“Tak apa, nanti Iris tunjuk perangai paling baik, mesti dapat stiker paling besar.”
Iris mengangguk laju, “Yes! Iris nak stiker unicorn!”
Tengku Izzqandar duduk di sebelah, memerhati dalam diam. Wajahnya tenang, tapi matanya tak lepas dari mengerling ke arah Ammara yang malam ini kelihatan lain… bukan kerana pakaian, tapi kerana aura. Dia kelihatan seperti tempat tinggal. Seperti rumah.
“Aunty, aunty rasa siapa kawan Iris paling comel?” soal Iris tiba-tiba, mata bundarnya bersinar penuh harap.
Ammara sengaja buat gaya berfikir keras, tangan diletak di dagu, “Hmmm… mestilah Iris yang paling comel. Kawan-kawan lain tu semua kalah terus.”
Iris ketawa berderai, bahunya terhinggut-hinggut, "Yayy! Iris menang!”
Tengku Izzqandar senyum kecil, tidak menahan, "Papa setuju.”
Ammara mendongak, mata mereka bertembung.
Sekelip mata terasa panjang. Ada sesuatu dalam pandangan Tengku Izzqandar. Tenang, tapi… ada isi. Ada maksud yang dia tak mampu ungkap.
Ammara lekas alih pandang, konon sibuk menyuap Iris lagi. “Ish budak ni… comel sangat sampai semua orang mengaku kalah.”
Iris angguk puas, tak sedar momen sunyi yang singgah seketika.
Tapi sunyi itu… bukan kekok.
Ia sunyi yang selesa. Yang buat dada terasa lapang.
Sunyi yang, tanpa suara pun, hati mereka saling mendekat.
Share this novel