Bab 17
Tengku Izzqandar berdiri memandang keluar tingkap kaca pejabatnya, menghadap panorama kota yang sibuk namun jauh dari hiruk-pikuk hatinya sendiri. Sunyi dalam ruang pejabat eksklusif itu cuma diiringi oleh bunyi samar enjin kenderaan dari jalan raya jauh di bawah sana.
Sejak peristiwa di hospital itu, Ammara sudah bukan Ammara yang sama. Senyum cerianya yang dulu mudah mekar, kini jarang benar muncul. Gurau senda dan suara manja yang sering dia layangkan untuk mencuri perhatian Tengku Izzqandar, hilang entah ke mana.
Yang tinggal hanyalah seorang wanita yang tekun dan diam.
Hari-hari berlalu dengan rutin yang tak pernah gagal. Iris dihantar dan dijemput dari tadika tepat waktu. Bekal Iris sentiasa siap, lengkap dengan nota kecil berbau kasih sayang yang ditulis tangan. Bila Iris demam sedikit, Ammara berjaga sepanjang malam. Bila Iris mengeluh letih, Ammara sudah bersedia dengan peluk dan usap penuh tenang.
Dia bukan lagi Ammara yang mahu mencuri hati seorang lelaki. Kini dia cuma Aunty Cantik yang hanya mahu melihat Iris sihat, selamat, dan bahagia.
Ada luka dalam hati Ammara yang dia sendiri cipta. Dan wanita itu memilih untuk menutup lukanya dengan kasih yang senyap, yang hanya dipenuhi oleh satu nama. Iris.
Ketukan perlahan di pintu menyusul, lalu suara tenang Firdaus kedengaran dari belakangnya, “Tengku, sepuluh minit lagi.”
Tengku Izzqandar tidak berpaling. Dia hanya mengangguk perlahan, masih membiarkan dirinya terkurung dalam diam dan fikir yang bersimpang-siur.
Share this novel