Bab 25
Tengku Izzqandar masih memandangnya, matanya redup… tapi ada tanya yang tersembunyi.
Ya, dulu Ammara memang begitu... jujur. Terbuka. Penuh rasa. Dan dia perasan… dulu Ammara pernah suka padanya. Tapi ayat terakhir itu 'Tapi tu dulu lah…' perlahan-lahan menikam dalam, seolah memberi isyarat yang semua rasa itu mungkin sudah lama berlalu.
“Kalau boleh teruskan, kenapa berhenti?” soalan itu keluar perlahan, bukan mendesak tapi penuh rasa yang tak sempat diungkap dulu.
Ammara tersentak sedikit. Matanya beralih, dia segera menarik kek coklat, “Jom potong kek.” suaranya ceria dibuat-buat, tangan sudah sibuk membuka kotak kek coklat yang terletak di tepi.
“Iris! Come, potong kek sama-sama!”
Iris yang sejak tadi leka makan buah, menoleh dengan wajah gembira. “Yay! Kek time!”
Tengku Izzqandar hanya memerhati. Soalannya dibiarkan tergantung di udara, tidak dijawab.
Iris cepat-cepat duduk di antara mereka, matanya bersinar melihat kek coklat di hadapan. Ammara hulurkan pisau kek kecil, tangan Ammara dan Iris menyentuh kek serentak, potongan pertama dibuat dengan gelak tawa kecil yang mengisi udara malam.
Seketika kemudian, Iris mencubit sedikit krim di hujung jari. Tanpa amaran, dia calit lembut pada hidung Ammara.
“Iris!” jerit kecil Ammara, tergelak, terkejut.
“Ohh… biasa dia ni!” katanya sambil menyapu krim dari hidung.
Matanya berkilat, wajah penuh dengan senyuman nakal “Now your turn, Iris!”
Tanpa menunggu lama, Ammara bangun mengejar Iris yang sudah melompat lari sambil menjerit kecil. Mereka berlari berkejaran keliling tikar, tawa bergema dalam malam yang tenang.
Tengku Izzqandar hanya memerhati dari tempat duduknya.
Dan untuk seketika… dia lupa akan beban dunia. Lupa akan sunyi yang lama bersarang.
Kerana di hadapannya kini, dua insan itu telah menghidupkan semula sesuatu yang lama hilang dalam hatinya, rasa yang hampir dia lupakan… dan kini perlahan-lahan mengetuk kembali.
_________________________________
Gelak tawa tadi sudah reda. Malam kembali tenang. Hanya bunyi cengkerik dan hembusan angin yang menemani suasana. Di atas tikar yang sudah sedikit berselerak dengan pinggan dan tisu, Iris tertidur pulas, kepala kecilnya bersandar di riba Ammara, nafasnya teratur dan damai.
Ammara mengusap lembut rambut anak kecil itu, senyuman manis menghiasi wajahnya.
“Iris budak baik…” katanya perlahan, seolah hanya untuk dirinya sendiri.
“Dia jarang mengeluh. Selalu ceria. Dia buat orang sekeliling dia rasa bahagia… termasuk saya.”
Matanya terus menatap wajah polos yang lena di pangkuannya, jemari masih bermain lembut di ubun-ubun Iris, penuh kasih dan keikhlasan.
Tengku Izzqandar tidak bersuara. Tapi dia mendengar setiap kata. Matanya tidak lepas dari memandang Ammara, wajah wanita itu tampak paling damai dalam cahaya bulan, dengan senyum yang tak dibuat-buat.
Dia sedar… malam ini bukan sekadar malam makan kek atau tawa kosong.
Malam ini, dia sedang menyaksikan sesuatu yang dia tak sangka dia sebenarnya dambakan. Sebuah keluarga. Walau tak sempurna. Tapi penuh rasa.
Dan entah kenapa, saat itu… Tengku Izzqandar rasa sunyi dalam dirinya mula reda, hanya dengan melihat Ammara dan Iris, bersama seperti itu.
Ammara masih leka membelai rambut Iris, matanya redup, senyuman tak pernah lari dari bibir. Cahaya bulan menyimbah lembut wajahnya, seolah-olah malam pun sedang berbisik diam.
Tengku Izzqandar hanya memandang. Dadanya sedikit sesak, bukan kerana sakit tapi kerana rasa yang muncul perlahan-lahan, tanpa dipaksa.
“You’d make a good mother…”
Suara dia perlahan, hampir berbisik tapi cukup jelas untuk singgah di telinga Ammara. Entah kenapa, kata-kata itu keluar tanpa dia sempat menapis.
Ammara terkaku.
Tangannya terhenti di rambut Iris. Matanya membulat sedikit, namun dia tidak menoleh. Dia hanya tunduk memandang anak kecil yang masih lena di ribanya, cuba mencari kekuatan untuk bertindak balas.
Senyuman kecil muncul di bibirnya. Bukan sinis, bukan sedih. Tapi… ada sesuatu yang dalam.
“Dulu saya pernah berharap jadi ibu Iris.”
Dia angkat pandangan, akhirnya bertembung dengan mata Tengku Izzqandar.
“Tapi harapan tu… bukan milik saya.”
Tengku Izzqandar terdiam. Tak sangka kata-kata sepatah tadi membuka luka yang dia sendiri tak tahu masih berdarah.
Ammara cepat-cepat ubah nada, cuba tarik balik kehangatan yang tadi hampir meleleh jadi air mata.
“Tapi tak apa… Iris cukup buat saya rasa lengkap.”
Dia senyum lagi.
“Dan saya tahu, saya bukan siapa-siapa tapi kalau saya boleh bahagiakan dia walaupun sekejap… itu pun dah cukup.”
Tengku Izzqandar masih memandangnya. Kata-kata Ammara tadi lembut, tapi tajam. Menusuk ke satu ruang dalam dirinya yang lama dia kunci rapat.
Dia tarik nafas perlahan. Dan untuk pertama kali, dia membiarkan dirinya jujur.
“You are someone, Ammara.”
Suaranya rendah, tapi jelas.
Ammara berpaling perlahan, terkejut. Mata mereka bertembung sekali lagi. Kali ini tak ada senyuman untuk sembunyikan rasa. Yang tinggal hanya dua pasang mata, saling menatap, saling mencari makna di sebalik diam.
“I know I’ve missed a lot…”
Tengku Izzqandar bersuara lagi, perlahan.
“But if I have even the smallest chance… to fix anything. I want to try.”
Ammara menunduk. Dadanya berombak halus. Dia tak tahu nak balas apa sebab hatinya sendiri sedang bergelora, cuba menolak, tapi juga ingin percaya.
"Saya tahu, Iris akan rasa kurang tanpa awak. Dan.. begitu juga saya.”
Share this novel