HHMD - Bab 28

Romance Completed 2222

Bab 28

Malam itu sunyi. Hanya bunyi pendingin hawa perlahan mengisi ruang, dan nafas halus Iris yang lena di katil kecilnya menjadi peneman. Di meja sudut bilik, Ammara menyusun semula fail dan buku cerita yang sempat dibaca tadi.

Tengku Izzqandar duduk di sofa sejak tadi. Diam. Seolah memerhati malam menelan waktu.

Bila dia akhirnya bangun dan melangkah perlahan ke arah Ammara, langkahnya berat bukan kerana penat, tapi kerana sesuatu yang ingin diluahkan.

“Ammara…”

Nada suara itu perlahan, seperti takut merosakkan ketenangan bilik yang penuh rasa yang tak disebut.

Ammara menoleh, senyum sedikit. Tenang seperti biasa. “Ya, Tengku?”

Masih ada jarak antara mereka. Formal. Tertib. Tapi entah kenapa, diam di antara itu terasa seperti menjerit.

Dia berdiam sebentar, memegang jemarinya sendiri. “Awak balik terus sekarang ke? Nak saya iring dari belakang?”

Pertanyaannya ringkas. Biasa. Tapi ada nada risau yang terlalu mudah dibaca oleh hati yang peka.

Ammara tersenyum kecil, menggeleng perlahan. “Tak perlu, Tengku. Saya okay.”

Jawapan itu tetap sopan. Tetap selamat. Seperti selalu.

Tengku Izzqandar angguk sedikit. Tapi matanya masih pada wajah itu. Wajah yang walau penat selepas shif petang, tetap datang jenguk Iris. Tetap ambil masa, walau sesaat.

“Lepas ni… kalau dah lewat macam ni, awak tak payah datang pun tak apa. Iris faham. Awak pun ada kerja. Awak penat.”

Ammara senyum lagi. Tapi kali ini ada sesuatu dalam senyuman itu. Lembut, tapi sayu.

“Saya okay, Tengku. Kebetulan patient tak ramai sangat hari ni jadi boleh lah saya jumpa Iris walaupun sekejap.”

Dia mengalihkan pandangan, jemarinya menyentuh buku cerita terakhir sebelum menutupnya perlahan.

Tengku Izzqandar hanya diam.

Dan ketika Ammara berpusing untuk keluar, langkahnya terhenti seketika di ambang pintu.

Dia menoleh, tidak sepenuhnya, cukup untuk suaranya sampai.

“Terima kasih, Tengku.”

Sekilas, ada senyum kecil di hujung bibirnya, satu senyum yang hanya muncul bila seseorang benar-benar tersentuh, walaupun tak mahu akui.

Tengku Izzqandar berdiri memandang, tubuh Ammara perlahan-lahan hilang dari pandangan. Tapi kata-kata itu… tertinggal. Tertinggal bersama perasaan yang tak sempat diucapkan.

_________________________________

Dia masih berdiri di sisi pintu, walaupun bayang Ammara sudah lama hilang di balik dinding rumah. Lampu bilik sudah malap, hanya tinggalkan bias cahaya dari lampu lorong yang menyinari sedikit ruang.

Tengku Izzqandar menarik nafas perlahan, cuba menenangkan debaran yang tak sepatutnya ada. Tapi dia tahu… debar itu bukan kerana bimbang. Bukan kerana risau keselamatan.

Ia lebih dalam dari itu.

Dia melangkah semula ke sofa. Duduk diam, matanya jatuh pada buku cerita yang tadi dibaca Ammara untuk Iris,masih terbuka pada muka surat terakhir, seolah tergantung. Seperti sesuatu yang belum selesai.

“Terima kasih, Tengku.”

Ayat itu terngiang kembali dalam fikirannya. Ringkas, tapi caranya Ammara sebut… cara dia senyum sebelum pergi…

Tengku Izzqandar genggam jemarinya sendiri. Ada sesuatu dalam hatinya yang tiba-tiba terasa longgar seperti dinding yang selama ini dia bina perlahan-lahan mula retak.

Dia teringat semua detik kecil, senyuman Ammara waktu menyambut Iris dari sekolah, perhatian lembut yang dia beri tanpa pernah harapkan balasan.

Ammara tak pernah minta apa-apa.

Tapi dia hadir… dan kehadirannya buat rumah ini terasa hidup.

Dan sekarang, dia sedar. Bukan sekadar rasa hormat. Bukan sekadar rasa terhutang budi. Ia lebih dari itu.

Dia rindu. Bila Ammara tiada, dia rasa ada ruang yang kosong.

Dia lega. Bila dengar suara Ammara, walaupun hanya beberapa patah kata.

Dia… jatuh hati. Tanpa dia sedar, tanpa dia rancang.

Tengku Izzqandar tunduk, menyandar perlahan. Malam terasa panjang tiba-tiba, dan hatinya… buat pertama kali sejak sekian lama, tidak pasti.

Tapi satu hal dia tahu pasti, hati itu sudah mula memilih. Dan nama yang terukir dalam diamnya… adalah Ammara.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience