Bab 50
Keluar saja dari bilik pemeriksaan, suasana di koridor klinik terasa lapang. Tengku Izzqandar pegang tangan Ammara erat, tak lepas macam tak rela pisah barang seinci.
Tapi saat itu juga, telefon Tengku Izzqandar berdering. Nama Keisya tertera di skrin.
Dia angkat tanpa banyak soal.
“Hello, Keisya?”
Suara di hujung talian kedengaran panik. “Tengku… Iris tak ada. Saya baru perasan dia tak ada kat taman permainan. Saya pusing seluruh kawasan, tak jumpa dia!”
Tengku Izzqandar menarik nafas dalam-dalam, cuba menenangkan dirinya. “Apa maksud awak Iris tak ada?”
“Dia hilang, Tengku. Saya cuba call Ammara, tapi telefon dia tak on!”
Langkah Tengku Izzqandar terhenti serta-merta, matanya terbeliak, penuh kecemasan.
“Apa… Iris hilang?” suaranya kini tegang, jelas menggambarkan ketegangan yang semakin memuncak.
Ammara yang tadi tersenyum kini pucat, tubuhnya tergigil sedikit. “Kenapa…? Apa jadi dengan Iris?” bisik Ammara, suara mulai bergetar.
Tengku Izzqandar menutup telefon dengan pantas, pandangannya bertemu dengan mata isterinya.
“Iris… hilang.”
Segala kegembiraan yang baru sahaja mereka rasakan hilang serta-merta, digantikan dengan kegelisahan yang mendalam.
_________________________________
Langkah Ammara panjang dan tergesa bila dia nampak kelibat Keisya di depan kawasan permainan. Tanpa membuang masa, Ammara terus menghampiri kawannya.
“Macam.. macam mana Iris boleh jauh dari kau?” suara Ammara sedikit meninggi, bergetar kerana terlalu risau.
Keisya tergamam, kelam-kabut nak menjawab. “A-aku pergi kejap kat situ..” Keisya tunjuk ke arah booth berdekatan, suaranya serak.
“Iris cakap dia tunggu kat dalam ni, sebab dia nak main…” bahunya terhenjut, hampir menangis.
“…tapi bila aku balik sini… Iris dah tak ada, Ara. Aku dah cari keliling tapi tak jumpa.”
Ammara mendengus kasar, wajahnya sudah merah menahan marah dan cemas. “Tapi sepatutnya kau tunggu aku datang baru pass Iris pada aku!”
Keisya terkebil-kebil, matanya sudah merah. “Aku… aku minta maaf, Ara. Aku betul-betul tak sangka jadi macam ni. Aku-”
“Sayang...” Suara rendah dan tenang Tengku Izzqandar kedengaran di sisi, cuba menenangkan isterinya yang hampir hilang kawalan.
Tapi Ammara tidak mampu menahan dirinya lagi. Wajahnya ketat, hatinya hanya fikir tentang anak kecilnya.
“Kau kalau tak boleh jaga anak aku, tak payah!” Ammara melontarkan kata-kata keras itu sebelum terus berpaling dan berlalu pergi tanpa menoleh.
Keisya teresak di tempatnya. Dia pandang Tengku Izzqandar dengan mata basah. “Maafkan saya, Tengku… saya… saya tak ada niat. Saya betul-betul minta maaf.” suara Keisya terketar, penuh rasa bersalah.
Tengku Izzqandar hanya diam beberapa saat, menarik nafas panjang walaupun dalam hati dia sendiri berkecamuk.
“Sekarang bukan masa nak salahkan sesiapa. Apa yang penting, cari Iris dulu.” katanya tenang, matanya tajam.
Dengan itu, Tengku Izzqandar terus berjalan laju mengejar langkah isterinya. Dalam masa yang sama, tangannya pantas mendail satu nombor.
Ammara berjalan laju sambil matanya melilau ke setiap penjuru mall. Jantung dia berdegup tak tentu arah. “Iris… Iris…” bibirnya berbisik, takut nak menjerit sebab takut makin menakutkan Iris kalau dia dengar.
Tengku Izzqandar di sisi, sesekali menahan bahu Ammara bila wanita itu hampir terlanggar orang lain. “Sayang, bertenang.. kita akan jumpa Iris,” bisik Tengku Izzqandar, suaranya serak kerana menahan perasaan sendiri.
Ammara menggeleng, air mata dah bergenang di mata. “Macam mana kalau dia takut? Kalau orang jahat sakitkan dia, saya…” Suara Ammara terputus-putus.
Kali ini Tengku Izzqandar pula geleng, “Tak sayang. Iris anak saya, tiada siapa yang dapat sakitkan dia. Kita cari sama-sama, jangan fikir bukan-bukan.”
Mereka terus bergerak, melalui setiap kedai, lorong, taman permainan kecil. Tak lama, Tengku Izzqandar rasa tangannya digenggam kuat oleh Ammara.
“Awak… tu Iris kan?” soal Ammara seakan berbisik, telunjuknya tepat menghala ke satu sudut, dekat belakang booth ice-cream. Ada tubuh kecil berjongkok, macam tengah menangis.
Ammara hampir pengsan rasa syukur. Tanpa tunggu suaminya, dia terus berlari ke arah itu.
“Irissss!” jerit Ammara, kali ini suara penuh kelegaan.
Iris terkejut, angkat muka yang sudah basah dengan air mata. "Mamaaa…” Iris bangun dan terus berlari mendapatkan Ammara.
Ammara peluk Iris erat seeratnya. Hidungnya menyentuh rambut Iris, dicium bertalu-talu. “Mama cari Iris” suaranya bergetar, penuh sebak.
Wajah kecil Iris basah dengan air mata, matanya merah dan tubuhnya menggigil ketakutan. Dia terus memeluk Ammara erat, seolah-olah tak mahu dilepaskan lagi.
Tengku Izzqandar terus melutut di sisi mereka dan usap kepala Iris. “Papa sini, Iris.”
Iris berpaling peluk Tengku Izzqandar pula sambil tersedu-sedu. "Iris tak nak ikut orang lain, Papa. Iris takut."
Tangisnya masih tersedu-sedu, penuh ketakutan. Ammara dan Tengku Izzqandar berpandangan, ada sebak yang sama bertakung di mata mereka, hati mereka remuk melihat anak kecil mereka dalam keadaan begitu.
Share this novel