Prolog
Denting hujan renyai-renyai menari halus di tingkap kereta. Dalam kereta mewah berwarna hitam itu, suasana sunyi. Hanya desiran enjin dan bunyi jalan yang menjadi latar.
Tengku Izzqandar Khalid bersandar tenang di tempat duduk belakang, namun matanya tidak lepas daripada memandang bayi kecil yang lena di pelukan Mak Som di sebelahnya.
"Iris tidur pulas, macam tak ada apa yang pernah buat dia menangis" Mak Som bisik lembut, senyum kecil terselit di bibir.
"Sejak dia lahir, susah nak meragam.." sambung wanita yang berumur dalam lingkungan 50 tahun itu.
Tengku Izzqandar tidak membalas. Matanya masih pada wajah kecil itu, Iris Khalila, puteri kecilnya. Nafasnya ditarik dalam, seolah menghala udara masuk terus ke hati yang masih berat dengan sisa luka.
Tiga bulan lalu.
"Kenapa tiba-tiba, Marina?" suaranya ketika itu tersekat di halkum, menggigil bukan kerana marah tapi kerana sayang yang telah bertukar menjadi sisa.
Marina tidak menangis, tidak juga goyah. Malah senyum nipis di bibirnya yang dulu menjadi kegilaan Tengku Izzqandar, kini hanya menyakitkan.
"Sorry, Izz. I dah tak rasa apa-apa dalam perkahwinan ni" katanya. Ringkas.
"Kenapa bila I dah terlanjur sayang pada you.. you nak tinggalkan I? Kenapa setelah kita dah ada harta paling bermakna?"
Dia pandang Iris kecil yang masih merah ketika itu, terbaring lena di dalam buaian hospital.
"Lepaskan I. Cinta I pada you dah hilang."
Dan waktu itu, Tengku Izzqandar tahu.. tak semua yang kita genggam erat akan kekal. Ada yang terlepas walaupun kita tak pernah lepaskan.
Dia cepat-cepat mengusir peristiwa itu dari benaknya. Tidak mahu menambah beban dengan mengingati kata-kata terakhir dari wanita yang pernah membuat hati dia berdetak hebat buat pertama kali dalam hidupnya.
Kini dia hidup seperti dirinya yang dahulu. Kerja, mesyuarat, syarikat. Dia kembali hidup seperti robot.
Dia buang cinta itu jauh jauh, cinta itu menyakitkan. Tapi bila dia pandang Iris..
Dia tersenyum, cinta itu masih wujud.. cuma bukan lagi untuk seorang wanita. Tapi untuk anak kecil yang kini menjadi satu-satunya nyawa yang dia akan pertahankan.
Dan bermula dari hari ini, dia tahu..
Dia akan jadi pelindung. Pelindung si kecil itu.
Tak perlu cinta dari wanita. Asalkan dia ada Iris.
Atau..
Itu hanya yang dia fikirkan.
Sebelum takdir mempertemukannya dengan seorang gadis.. bernama Ammara Delalila.
Share this novel