Bab 39
Subuh itu sunyi. Cuma sesekali deruan angin menampar dedaun di luar rumah. Dalam sunyi itu.. satu suara bergema, meresap ke dalam hati Ammara.
Suara merdu, penuh tenang, membaca surah Al-Waqiah.
Anmara yang terjaga dari lena, membuka mata perlahan. Dia lantas duduk, memicingkan mata mencari sumber suara itu.
Dan di sudut bilik, di atas sejadah biru lembut, Tengku Izzqandar duduk bersila. Tenang, putih suci dalam baju t shirt hitam, kain pelikat sederhana dan kopiah putih bersih. Quran terbuka di riba.
Ammara terpegun. Hatinya tiba-tiba berbunga, mekar dalam rasa yang dia sendiri tak sempat kenali. Perlahan, tanpa sedar, dia turun dari katil. Melangkah senyap ke sisi Tengku Izzqandar. Duduk perlahan, tak mahu mengganggu.
Dia hanya memandang. Memerhati. Menghayati.
Tak lama kemudian, bacaan itu terhenti. Tengku Izzqandar menutup surahnya dengan lafaz rendah, penuh khusyuk, "Sadakallahulazim.”
Dia berdiri perlahan, meletakkan Quran ke atas rak buku kecil di sudut bilik kemudian dia kembali duduk di atas sejadah, tepat menghadap Ammara.
Saat mata mereka bertaut, Tengku Izzqandar menghadiahkan senyuman kecil.. senyuman yang cukup untuk mencairkan seluruh dinding yang Ammara bina dalam dirinya.
Ammara yang terpaku, akhirnya bersuara perlahan, “Awal awak bangun… semalam lewat tidur kan?”
Tengku Izzqandar tersenyum dengan mata yang tenang, auranya seperti seseorang yang baru turun dari langit ketujuh.
“Saya tak ada sebab untuk tinggalkan solat,” ujarnya perlahan.
“Solat kan kewajipan. Saya kena paksa diri bangun…” nada suara itu sejuk, menenangkan.
Ammara hanya memandang, terpesona dengan aura lelaki di depannya. Tak pernah dia lihat Tengku Izzqandar dalam rupa begini.
Pagi ini, dia bagaikan melihat sisi lain suaminya.. sisi yang begitu mendalam, begitu indah.
Tengku Izzqandar sambung lagi, suaranya lembut, "Lagipun… saya saja bangun lebih awal.. supaya ada masa panjang untuk bercerita dengan Dia.”
Sambil berkata, dia perlahan menarik tangan Ammara ke dalam genggamannya. Hangat. Teguh. Genggaman yang penuh makna.
Tengku Izzqandar tunduk sedikit, memandang tangan kecil itu di dalam genggamannya. Jari-jemari halus yang baru beberapa jam lepas, dia sarungkan cincin tanda sah sebagai isteri.
Dengan suara yang hampir berbisik, dia sambung lagi, “Saya nak cerita dengan Dia… betapa gembiranya hati saya bila Dia takdirkan saya berjodoh dengan awak, Ammara.”
“Saya sujud syukur… sungguh-sungguh.”
Dia membelai lembut jari-jemari Ammara, bermain-main manja seolah-olah takut jari itu hilang dari genggamannya.
Ammara cuma duduk kaku, matanya bergenang tanpa dia sedar. Suaranya seolah lumpuh. Hatinya… ah, hatinya bagai disentuh terus ke dasar jiwa.
Dia hanya mampu memandang lelaki itu. Lelaki yang kini, perlahan-lahan mencuri setiap inci ruang di hatinya semula.
Ammara memandang suaminya di hadapan. Tengku Izzqandar masih menunduk, jari jemarinya masih bermain perlahan dengan tangan kecil Ammara. Ada ketenangan yang mendalam di wajahnya.
Tiba-tiba setitis air jatuh ke tangan Ammara.
Dia tersentak kecil. Airmata?
Ammara menunduk sedikit wajahnya, berusaha mencari pandangan suaminya yang masih tunduk.
“Awak…?” panggil Ammara perlahan, suaranya penuh keprihatinan.
Tengku Izzqandar akhirnya mengangkat muka.
Wajah itu.. basah dengan air mata. Pipinya lencun. Matanya merah.
Hati Ammara terasa seakan dihiris perlahan.
Dia… menangis?
Tengku Izzqandar cuba ukir senyuman kecil yang goyah tapi yang keluar hanya suara yang serak, patah-patah.
“Terima kasih…”
“Terima kasih sebab sudi terima saya…”
“Insan yang tak sempurna ni… sebagai suami awak.”
Air mata jatuh lagi dari hujung mata Tengku Izzqandar namun dia teruskan dengan suara yang seakan bergetar menahan rasa.
“Terima kasih juga sebab sudi terima Iris…”
“Ikhlas sayang anak saya walaupun… darah dia tak mengalir dari darah awak.”
Ammara terkaku. Matanya tak berkelip, menatap wajah lelaki yang kini menyerahkan seluruh hatinya tanpa berselindung.
Tengku Izzqandar atur nafasnya perlahan sebelum pandangannya kembali bertaut ke mata Ammara.
Pandangan itu… penuh rayu, penuh luka yang tertanam jauh di dasar jiwa.
“Jangan tinggal saya, Ammara…” pintanya perlahan, hampir seperti bisikan di ruang subuh itu.
“Dah ramai tinggal saya…”
“Ayahnda…”
“Bonda…”
“Issandra, adik perempuan saya…”
Setiap patah kata disebut dengan luka yang tak mampu dibungkus lagi.
“Dan waktu saya dah rasa hidup saya lengkap semula…”
“Dia pun tinggalkan saya.”
Tengku Izzqandar pejam mata rapat seketika, seolah menghalau bayangan luka itu namun airmatanya terus mengalir.
Ammara hanya duduk diam. Terkedu. Rasa kasihan. Rasa ingin memeluk. Rasa ingin membalut semua luka itu dengan dirinya.
Untuk pertama kali, dia benar-benar melihat betapa dalamnya luka lelaki ini. Betapa kuatnya dia menyimpan semuanya sendirian selama ini.
Share this novel