Bab 38
Malam itu, selepas majlis bersanding yang penuh kegembiraan, Ammara masuk ke bilik lebih awal, rasa rimas dengan badan yang melekit lepas seharian majlis. Dia capai pajamas yang simple, loose top warna pastel dengan seluar panjang kain cotton lembut.
Rambutnya yang basah, dia keringkan perlahan dengan tuala sambil berdiri di tepi hujung katil. Pipi masih berwarna merah dan walaupun berada di dalam bilik yang tenang, dia tetap merasa sedikit canggung.
Tak lama kemudian, pintu bilik perlahan-lahan terbuka. Tengku Izzqandar masuk, langkahnya tenang dan penuh keyakinan. Namun, ada sesuatu yang lain dalam pandangannya, satu sinar yang membuat Ammara merasa… sesuatu yang berbeza.
Ammara berpaling sedikit sambil masih mengeringkan rambut, dengan nada santai berkata, “Dah balik ke yang lain? Saya mandi tadi sebab rasa badan melekit. Sorry tak bagitau awak sebab awak tadi tengah borak dengan Uncle Zul.”
Dia cuba tersenyum kecil, berusaha lari dari rasa canggung yang datang dengan kehadiran Tengku Izzqandar yang kini berada dalam biliknya.
Namun, tidak ada jawapan dari Tengku Izzqandar. Suasana seolah-olah menjadi lebih sunyi, hanya kedengaran derapan langkah perlahan-lahan mendekat.
Ammara berhenti mengeringkan rambutnya, hatinya mulai berdegup lebih kencang. Dia menoleh dan mendapati Tengku Izzqandar kini semakin dekat. Mata lelaki itu tetap tertumpu padanya, seolah-olah dunia luar tidak lagi wujud.
Mata itu… penuh dengan perasaan yang membuat dada Ammara seakan tersekat. Dia teragak-agak dan tanpa sedar, kakinya bergerak sedikit ke belakang hingga tubuhnya kini tersandar pada dinding bilik.
Ammara, yang rasa jantungnya dah nak pecah, cepat-cepat angkat tuala kecil yang dipegang, letak di antara mereka berdua macam perisai kecil dan dengan suara tergesa-gesa dia berkata, “Saya period!!”
Tengku Izzqandar tertawa kecil sambil melangkah tenang ke meja kecil sisi katil. Tangannya capai telefon bimbit yang terletak di situ. Ammara yang masih berdiri di tepi dinding, perlahan-lahan menarik nafas lega.
Tengku Izzqandar mengangkat telefon dan berkata santai, sambil sempat jeling wajah isterinya yang masih merah malu,
“Saya nak ambil ni, sebenarnya. Nak arah Firdaus maklumkan unit media untuk update yang saya dah sah jadi suami awak, Ammara.” ujarnya sambil ketawa kecil, seolah-olah menikmati sangat gelagat comel isteri barunya.
Ammara menunduk sedikit, menarik hujung tuala di tangan, lalu berkata dengan suara perlahan, “Perlu ke bagitahu? Isteri awak bukan siapa-siapa pun… bukan model, bukan artis.”
Tengku Izzqandar tergelak perlahan. Dia letak telefon di tangan kemudian mendekat sedikit, tanpa menakutkan, tanpa menekan. Cuma dengan tatapan lembut yang buatkan Ammara rasa dunia makin senyap.
“Hahahah.. mestilah awak bukan siapa-siapa”
Tengku Izzqandar diam sejenak, senyuman semakin dalam sebelum dia sambung perlahan, penuh makna,
“Tapi itu hanya bagi dunia luar, sayang. Bagi saya.. bagi Iris.. awak adalah segalanya.”
Gulp. Ammara terkaku.
Suara lelaki itu begitu ikhlas, seolah-olah mengikat satu janji dalam setiap perkataan.
“Saya nak bagitahu satu dunia, yang Ammara Delalila ni dah jadi milik saya seorang. Tak ada sesiapa pun yang boleh culik dia dari saya.”
Kata-kata itu meluncur tenang, tapi menikam manis ke dalam hati Ammara. Dia hanya mampu senyum tipis, pandangan tunduk ke lantai, sedang dalam diam… hatinya berkecamuk penuh rasa haru.
Suasana bilik sunyi sebentar, bukan sunyi yang kosong tapi sunyi yang penuh makna, seolah-olah waktu sengaja berhenti untuk meraikan dua hati yang baru bersatu. Tengku Izzqandar melangkah perlahan ke meja solek untuk membuka perhiasan tangan, jam.
Tak lama, Tengku Izzqandar bersuara lagi, suaranya kali ini lebih lembut, lebih emosional.
“Iris happy sangat hari ini… Sejak saya ada dia, hari ni lah, pertama kali saya tengok dia betul-betul bahagia.”
Dia senyum perlahan, memandang dinding seolah-olah terbayang wajah kecil Iris yang tak henti-henti tersenyum tadi.
“Macam dunia ni dia punya.”
Sunyi yang nyaman itu tiba-tiba dipecahkan oleh suara perlahan Ammara, penuh jujur tanpa sedar,
“Saya… tiba-tiba rindu dia lah.”
Tengku Izzqandar mengangkat kening sedikit, mendengar suara comel itu.
Ammara sambung lagi, “Selalunya saya yang dodoikan dia. Hari ni… saya tak sempat pun. Sibuk dengan majlis.” nada suaranya kedengaran sedikit sedih, seolah-olah terasa ada ruang kosong dalam hati dia sendiri.
Ammara tiba-tiba menapak ke almari kecil, capai tuala lain dan dililit kemas di kepala, dijadikan tudung ringkas untuk menutup rambut basahnya.
Dia berbalik semula memandang Tengku Izzqandar sambil tersenyum kecil.
“Saya keluar kejap tau, nak tengok Iris. Rasa macam dah lama sangat tak tengok dia,” ucapnya lembut, penuh keinginan seorang ibu.
Tengku Izzqandar hanya tersenyum. Senyum yang bukan sekadar setuju tapi senyum penuh bahagia, penuh rasa syukur yang sukar diungkapkan. Dia mengangguk perlahan, seolah-olah mengizinkan dengan seluruh hatinya.
Ammara melangkah pergi, pintu bilik dikuak perlahan dan bayang tubuh kecil itu pun hilang di sebalik daun pintu.
Tengku Izzqandar berdiri diam di situ, merenung ke arah pintu yang sudah tertutup rapat. Sekelilingnya sunyi tapi hatinya riuh dengan satu rasa bahagia yang tak pernah dia rasa sebelum ini.
Dia tunduk sedikit, senyumannya melebar lagi tanpa sedar. “Ya Allah… terima kasih.” bisiknya dalam hati.
Share this novel