Bab 7
Bunyi ketikan keyboard memenuhi ruang pejabat peribadi di tingkat atas rumah agam milik keluarga Tengku Izzqandar. Lelaki itu duduk tegak di meja kerja, kemeja biru langit digulung lengan ke siku. Skema warna fail digital di skrin besar sepadan dengan fokusnya yang tiada tolak ansur.
Hinggalah ada bunyi tapak kaki kecil, sangat perlahan tapi cukup untuk mengalihkan tumpuannya.
"Papa.."
Tengku Izzqandar mengangkat wajah. Iris berdiri di muka pintu, tangan kecilnya memeluk patung unicorn yang baru dia belikan beberapa hari lalu. Rambutnya sedikit kusut, dan wajahnya jelas tidak ceria seperti selalu.
"Iris, kenapa tak tidur lagi?" soal Tengku Izzqandar sambil bersandar ke belakang, matanya masih belum lari dari anaknya.
Iris berjalan perlahan, kemudian naik ke ribaan papa dia tanpa sepatah kata. Tengku Izzqandar langsung menutup laptopnya perlahan, dan mengusap rambut anaknya.
"Papa.."
"Hmm?"
"Iris nak ada kawan dekat rumah ni."
Tengku Izzqandar senyum, cuba untuk tenang. "Hana boleh datang sini kalau Iris nak. Papa boleh call Daddy Hana, kita set playdate."
Iris geleng dan kali ini dia letakkan kepala atas bahu papanya.
"Iris nak yang selalu ada dengan Iris. Macam mummy Hana yang selalu ada dengan Hana."
Tengku Izzqandar terdiam. Suara anak kecil itu walaupun perlahan, cukup jelas untuk menikam perasaannya sendiri.
"Hana lucky sebab ada mummy dia yang selalu peluk dia masa tidur. Masak untuk dia. Teman dia tengok kartun.."
Nafas Tengku Izzqandar berat. Dia peluk Iris erat.
"Dah lewat, Iris. Jom tidur."
"Okey" jawab Iris perlahan, tapi dia masih tak berganjak.
Dari sedikit jauh, berdiri Mak Som di belakang dinding, tak sampai hati nak mengganggu. Dia hanya mendengar dengan diam dan dalam diam itu, dia tahu, dua beranak itu sunyi dengan cara mereka sendiri.
_________________________________
Cahaya pagi menyusup masuk dari tingkap besar ruang makan rumah agam itu, menyinari sepinggan croissant mentega dan secawan kopi hitam pekat yang masih berasap.
Tengku Izzqandar duduk seorang di hujung meja makan panjang, lengkap berkemeja putih yang digulung lengan hingga ke siku. Matanya tidak lekang dari dokumen yang terbuka di tablet di hadapannya. Sekali-sekala, dia menyuap sarapan tanpa benar-benar menikmati rasa.
Di sisi kanan, berdiri setia Mak Som, wanita separuh abad yang sudah dianggap seperti keluarga sendiri. Dia tidak hanya menjaga rumah, tapi menjaga hati-hati yang tinggal di dalamnya.
"Izz, Mak Som nak cakap sikit boleh?" suara Mak Som lembut, penuh hati-hati.
Tengku Izzqandar angkat pandangan, meletakkan tablet. "Boleh Mak Som."
Mak Som genggam tangannya sendiri sebelum bersuara perlahan, "Mak Som tahu ni bukan urusan Mak Som tapi Mak Som nak cakap sikit pasal Iris."
Dahi Tengku Izzqandar sedikit berkerut, tapi dia tetap memberi ruang. "Kenapa dengan Iris?"
Mak Som hela nafas sebelum berkata, "Semalam Mak Som terdengar Iris bercakap dengan Izz pasal dia nak ada seseorang yang selalu ada dengan dia."
"Iris.. dia sunyi, Izz." sambung Mak Som selepas menjeda sekejap.
Tengku Izzqandar terdiam.
"Bukan Mak Som nak kata apa. Tapi kadang-kadang, bila Mak Som lalu bilik dia, Iris termenung. Kadang dia main anak patung dan cakap sendiri, pura-pura ada 'mama'. Dia rindu kasih macam tu, Izz. Rindu yang kita tak boleh isi dengan duit atau mainan.”
Tengku Izzqandar senyap. Matanya tajam merenung cawan kopinya. Tapi Mak Som tahu, hatinya sedang ribut.
"Mak Som tahu Izz dah buat yang terbaik. Tapi mungkin.. mungkin Iris perlukan seorang ibu untuk dia lebih rasa lengkap."
Suara Mak Som perlahan semakin menipis di hujung bicara. Tapi kata-katanya melekat di dinding hati Tengku Izzqandar.
Akhirnya dia bersuara, tenang tapi jelas terasa gementar kecil yang dia sembunyikan, "Saya tak mampu beri dia seorang ibu, Mak Som. Bukan sekarang."
Mak Som senyum tipis "Kalau belum mampu, tak mengapa. Tapi.. jangan tutup pintu harapan tu terus, Izz."
Share this novel