Bab 14
Ammara menghela nafas perlahan. Rumah terasa sunyi bila Mak Som keluar sekejap ke pasar dan Tengku Izzqandar pula ada mesyuarat penting, katanya ada projek besar di Penang.
Ammara duduk di sofa, membelek majalah fesyen tapi matanya asyik tertumpu ke arah jam dinding.
Tiba-tiba, suara kecil memecah sepi.
“Aunty… Iris lapar..” suara Iris kedengaran perlahan dari arah tangga.
Ammara segera bangun dan bergegas ke arah Iris yang sedang berdiri sambil memeluk unicorn, pipinya kemerahan dan ada peluh halus di dahi. Anak kecil itu kelihatan pucat, tapi senyumannya tetap ada.
“Iris nak makan apa?” Ammara segera menekap belakang tangan ke dahi Iris. “Panas badan Iris…”
“Iris nak makan buah apel” jawab Iris dengan suara sedikit serak.
Ammara angguk perlahan, "Boleh tapi kalau Iris request nak makan nasi berlauk, Iris kena tunggu Bubu Som dulu tau sebab aunty cantik Iris tak pandai masak." jujur Ammara, dia memimpin tangan Iris berjalan ke arah meja makan.
Iris cuma senyum, duduk di kerusi, kepala dia letak di meja sambil tangan kanan masih memegang unicorn nya.
Iris angkat kepala semula "Aunty.. roti bakar ni, Iris boleh makan ke?" soalnya perlahan.
Langkah Ammara terhenti, dia pandang baki roti pagi tadi. "Boleh je sayang.." dengan senyuman manis, dia menuang air suam ke dalam cawan kecil.
"Aunty potong buah dulu ya" Ammara teruskan langkah semula.
Iris angguk perlahan sambil menyuap roti bakar tadi ke dalam mulutnya.
Ammara mencapai pisau dan alas potong sambil menyanyi lagu kegemarannya,
'I still have the letter you wrote when,
You told me that i was the only girl,
You'd ever want in your life,
I guess my friends were right,
Each day goes by and each night i cry
Somebody saw you-'
Belum Ammara menghabiskan chorus lagu itu,
Tiba-tiba..
“Auntyyyy!”
Jeritan nyaring itu buat Ammara hilang fokus, jarinya terhiris. "Ouch!!" Ammara berdecit.
"Kenapa sayang?" laung Ammara dari dapur.
Diam. Tiada jawapan.
Ammara berpaling ke arah singki untuk mencuci lukanya. Tak lama, dia berlari kembali ke arah Iris dan di situ, tubuh kecil itu sudah terduduk lemah di lantai, kepalanya tersandar pada kaki bangku, wajahnya pucat lesi.
Ammara terus berlutut, memangku Iris yang lemah tak bermaya. Wajah comel itu terpejam, hangat sekali dahinya.
"Oh my god.." mata Ammara terbeliak bila matanya menangkap leher Iris yang sudah kemerah-merahan. Bibir Iris juga merah dan sedikit bengkak.
Matanya meliau-liau seakan buntu mencari sebab kenapa Iris boleh sedemikian rupa. Seketika matanya terhenti di pinggan yang masih terisi baki roti bakar tadi, dia capai pinggan itu kemudian merapatkan ke hidungnya, "Kacang! Iris alergik kacang!"
"Kenapa aku tak ingat, roti ni Mak Som sapu kacang?” panik mula menjalar dalam setiap inci tubuh Ammara. Tangannya menggeletar cuba menepuk lembut pipi Iris, yang ada cuma nafas yang tersekat-sekat.
Tanpa berfikir panjang, Ammara capai telefon yang terletak di atas meja dan dail nombor terakhir.
'My Man' nama dalam kenalannya itu ditekan. Tangannya menggigil. Jari-jarinya menekan butang speaker, dan bila nada dering bersambung, suaranya tersekat.
“Tengku… I-Iris. Tolong.. muka dia dah merah. I tersilap bagi dia makan roti inti kacang dan.. dan sekarang dia sesak nafas!”
Share this novel