Bab 35
Ammara tunduk hormat sedikit. “Saya balik dulu.”
Langkahnya perlahan tapi pasti. Shift malam menanti di hospital dan Iris yang sudah lena di kerusi belakang kereta perlukan rehat. Dia tak mahu ganggu lagi waktu yang sudah cukup manis hari ini.
Namun baru saja dia berpusing,
“Ammara… kejap.”
Langkah Ammara terhenti. Suara itu, rendah tapi ada sesuatu dalam nada itu yang buat dia menoleh semula. Tengku Izzqandar sedang berdiri di hadapannya, tangan di belakang badan. Wajahnya serius, tapi mata coklat pekat itu bersinar lain, lembut, dalam penuh rahsia.
“Saya ada benda nak tunjuk pada awak.”
Ammara sedikit keliru. “Apa dia?”
Dengan tenang, Tengku Izzqandar keluarkan sesuatu dari belakang. Sebuah kotak baldu biru kecil, elegan dan ringkas. Dia hulurkan perlahan ke arah Ammara, seolah-olah memegang sesuatu yang sangat berharga.
“Buka.”
Ammara menyambut kotak itu dengan tangan yang sedikit menggigil. Perlahan, dia membuka penutupnya dan di dalamnya, terletak seutas cincin platinum, reka bentuk sederhana tapi menawan, bertatahkan sebutir berlian kecil yang berkilau seperti refleksi perasaan mereka yang selama ini tertahan.
Dia terdiam. Nafas terasa terhenti seketika.
Tengku Izzqandar bersuara, lembut tapi menusuk jiwa.
“Cincin ni… untuk hari kita jadi satu, Ammara. Untuk hari awak sah jadi isteri saya.”
Dia senyum nipis.
“Cantik tak?”
Ammara tak mampu jawab. Dia cuma genggam kotak itu erat-erat, seolah sedang pegang degup jantungnya sendiri. Dia mendongak, memandang mata lelaki itu.
“Kenapa… bagi saya sekarang?” suaranya perlahan, seperti takut soalan itu akan pecahkan keindahan momen itu.
Tengku Izzqandar melangkah selangkah lagi ke depan, mendekatkan jarak di antara mereka.
“Sebab saya tak nak awak ragu. Saya tak pilih awak sebab Iris saja.”
Dia berhenti sejenak, tarik nafas perlahan. Pandangannya tepat, tiada lagi bayang masa lalu yang mengganggu.
“Saya pilih awak sebab saya mahu awak.”
Ammara tunduk sedikit, cuba kawal perasaan yang makin menggigit. Tapi matanya sudah mula berkaca.
Tengku Izzqandar merendahkan suara lagi, perlahan… seolah hanya untuk didengar hati Ammara sendiri.
“Sebab awak adalah rumah… yang saya cari selama ni, dalam sepi hidup saya.”
Ammara telan liur perlahan. Matanya masih jatuh pada cincin dalam kotak baldu itu. Dia hembus nafas pendek, senyum kecil, senyum yang buat pipinya naik sedikit merah.
Dengan gaya kononnya tenang, Ammara menutup kotak cincin perlahan dan hulurkan semula pada Tengku Izzqandar.
“Kalau macam tu… awak simpan je lah, saya terima waktu majlis. Sekarang saya balik dulu, Tengku.”
Dia cakap sambil tersengih, melangkah selamba nak pergi.
Tengku Izzqandar yang dari tadi menahan senyum akhirnya ketawa kecil.
Ammara sengaja pandang ke belakang, mata redup dengan kening ternaik sikit, sambil sambung.
“Saya tak nak ambil sekarang, takut tak dapat tidur sebab asyik pandang cincin tu je.”
Tengku Izzqandar tergelak lagi, kali ni matanya langsung tak lepas pandang Ammara yang dah mula berjalan ke kereta.
Waktu pintu kereta ditarik, Ammara sempat menjeling lagi sekali sambil cakap, “Good night, Tengku. Simpan baik-baik cincin tu. Jangan bagi orang lain pulak.”
Tengku Izzqandar bersandar pada kereta sambil senyum meleret, tangan bersilang peluk tubuh, hatinya bergema dengan suara dalam hati.
“Awak dah cop tempat tu, Ammara.”
Malam tu, dunia terasa macam hanya ada mereka berdua.
Share this novel