HHMD - Bab 16

Romance Completed 2222

Bab 16

Bunyi pintu dibuka perlahan.

Tengku Izzqandar melangkah masuk, langkahnya tenang tapi matanya segera tertancap pada sosok Ammara yang masih duduk di sisi Iris. Bahu gadis itu sedikit membongkok, seperti cuba menahan perasaan dan wajahnya… jelas menunjukkan kesedihan yang tak dapat disembunyikan.

Dia tidak berkata apa-apa seketika. Cuma berdiri di ambang pintu, memerhati senyap.

“Awak baliklah dulu…” suara Tengku Izzqandar akhirnya memecah sepi. Nada suaranya tidak sekeras tadi. Sudah jauh lebih terkawal.

Ammara tersentak kecil. Dia bangun perlahan, mengusap sekali lagi kepala Iris sebelum menarik nafas panjang.

Dia angguk, tanpa kata.

Tapi ketika dia berpaling, Tengku Izzqandar perasan sesuatu. Mata Ammara merah, wajahnya sugul. Dan di pergelangan tangan wanita itu…

“Tangan kenapa?” soal Tengku Izzqandar, keningnya sedikit berkerut. “Dah dapatkan rawatan?”

Ammara memandang tangan sendiri, dia tarik hujung lengan baju untuk menyorok luka itu. Kemudian perlahan-lahan mengangkat wajah. Mata mereka bertemu. Namun kali ini, tiada senyuman. Tiada gurauan seperti selalu.

“Saya okay…” jawab Ammara perlahan, hampir berbisik. Suaranya kedengaran kosong. Lelah.

Dan sebelum Tengku Izzqandar sempat berkata apa-apa lagi, Ammara tunduk sedikit seperti memberi hormat, sebelum berundur keluar dari bilik.

Langkahnya perlahan.

Tengku Izzqandar hanya mampu memerhati. Matanya mengekori tubuh itu sampai hilang di balik pintu. Tangannya dikepal perlahan.

Entah kenapa… dada dia rasa sesak malam itu.

Bukan sebab Iris. Tapi sebab seseorang yang baru sahaja melangkah pergi.

_________________________________

Cahaya pagi menyelinap masuk melalui langsir putih yang separuh terbuka. Tengku Izzqandar duduk di sisi katil, mata tak lepas memandang anak kecilnya yang mulai mengerut dahi, memberi tanda-tanda sudah sedar.

“Papa…” suara lemah itu membuatkan dia segera membongkok, menggenggam jemari kecil itu erat.

“Iris?” suara Tengku Izzqandar serak, penuh rasa syukur. “Sayang dah bangun?”

Iris angguk perlahan, matanya masih kabur. Dia menjeling ke sekeliling, mencari-cari.

“Aunty cantik mana, papa?”

Tengku Izzqandar tersentak sedikit. Sebelum sempat dia menjawab, pintu bilik terbuka.

“Iris!”

Ammara melangkah laju ke arah katil. Wajahnya cemas, tapi matanya berbinar saat melihat Iris membuka mata. Tanpa ragu, dia terus mendakap tubuh kecil itu erat ke dada.

“Maafkan Aunty, sayang… Aunty cuai. Aunty patut jaga Iris elok-elok. Maaf sangat…”

Belum sempat Iris membalas, suara kecilnya memintas dengan semangat, “Papa jangan marah Aunty! Iris yang tak ingat Iris alergik kacang!”

Tengku Izzqandar terdiam.

Tapi sebelum dia sempat memberi reaksi, Ammara pantas menggeleng sambil mengusap kepala Iris, “Tak, Iris. Bukan salah Iris. Aunty yang cuai… Aunty yang salah sebab lupa, tak jaga Iris betul-betul. Iris tak salah.”

Mak Som yang berdiri di belakang hanya mampu menunduk, sebak melihat keakraban dua insan itu. Tengku Izzqandar memandang mereka tanpa suara. Hatinya diam-diam… terasa disentuh.

Mungkin… dia terlalu cepat menilai semalam.

Dan mungkin juga, dia sudah mula terbiasa dengan kehadiran seorang wanita… dalam hidup mereka berdua.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience