HHMD - Bab 52

Romance Completed 2222

Bab 52

Pintu besi yang berat itu ditolak perlahan, mengeluarkan bunyi berkeriut garang. Ruangan itu sunyi, hanya ditemani lampu kuning suram yang menggantung dari siling. Bau darah dan peluh memenuhi udara.

Di tengah-tengah ruang itu, seorang lelaki tersandar lemah di kerusi besi, tangannya diikat ke belakang, wajahnya lebam, bibirnya pecah dan darah menitik perlahan dari dahi ke dagu.

Bunyi tapak kasut bergema, perlahan tapi penuh tekanan. Setiap langkah seolah-olah menghantar isyarat maut.

Tengku Izzqandar Khalid, berhenti betul-betul di hadapan lelaki itu.

Tengku Izzqandar tidak bercakap. Dia hanya memandang, seolah-olah meneliti setiap inci wajah lelaki malang itu.
Matanya tajam, dingin, kosong dari belas kasihan.

Lelaki itu mendongak perlahan, matanya separuh terbuka. Melihat wajah Tengku Izzqandar, tubuhnya menggigil sendiri.

“Kau tahu siapa aku?” suara Tengku Izzqandar serak, dalam dan menakutkan. Bukan satu soalan. Lebih kepada satu kenyataan yang menggetarkan tulang belakang.

Lelaki itu hanya mampu mengangguk lemah.

Tengku mendekat, membongkokkan sedikit tubuhnya. Tangannya menyentuh bahu lelaki itu, sekadar sentuhan ringan tapi cukup untuk menghantar getar ketakutan.

“Bila kau sentuh anak dan isteri aku, kau dah main dengan api yang kau takkan mampu padamkan,” bisik Tengku Izzqandar di telinga lelaki itu, perlahan, penuh racun dingin.

Dia berdiri semula, wajahnya tetap tenang. Tapi matanya, mata itu menyimpan amarah yang mampu membunuh tanpa menyentuh.

“Marina…”

Dia sebut nama itu, sambil mengelilingi kerusi lelaki itu.

“Dia yang suruh kau, kan?”

Lelaki itu menunduk, takut untuk mengangkat wajah.

Tengku Izzqandar hanya ketawa kecil, sinis yang menggerunkan.

“Tell her…” suara Tengku Izzqandar perlahan, tetapi cukup tajam untuk menikam telinga lelaki itu.

“The next time she tries to touch my family…” Tengku Izzqandar berhenti betul-betul di belakang lelaki itu, menunduk ke paras telinga.

”…there will be no next time.”

Dia luruskan tubuh, memberi isyarat pada orang kanannya di penjuru bilik. Lelaki itu terus mengangguk, tahu apa yang perlu dibuat.

Tengku Izzqandar Khalid, lelaki yang tenang di hadapan keluarganya tapi menjadi mimpi ngeri kepada musuh-musuhnya.

Tanpa menoleh lagi, dia melangkah keluar dari ruang itu, membiarkan lelaki malang itu menggeletar ketakutan dalam kegelapan.

_________________________________

Langkah Tengku Izzqandar perlahan saat dia masuk ke dalam rumah. Suasana malam itu sepi, hanya bunyi pendingin hawa yang berbunyi perlahan di setiap penjuru.

Tengku membuka butang pertama kemejanya, membiarkan sedikit ruang untuk bernafas. Dia berjalan terus ke bilik utama, ke tempat di mana dunianya menanti.

Perlahan, dia tolak daun pintu. Lampu bilik hanya disuluh lembut oleh lampu meja di sudut. Di atas katil, dua insan kecil itu lena dalam pelukan satu sama lain.

Ammara memeluk Iris erat, seolah takut kehilangan lagi. Iris pula, dengan mulut sedikit terbuka, tidur pulas tanpa gangguan.

Tengku mendekati katil. Dia melutut di sisi mereka, wajahnya jatuh di antara dua insan itu.

Tangannya terangkat, mengusap perlahan rambut panjang Ammara yang terjuntai di tepi wajah. Hatinya bergetar.

“Sayang…” bisikannya perlahan.

Tak mahu sedarkan mereka. Dia kemudian tunduk, mengecup dahi Ammara penuh kasih sebelum beralih ke Iris dan mencium ubun-ubun anak kecil itu.

Waktu itu, Ammara sedikit bergerak. Matanya perlahan terbuka, kabur. Dia lihat bayang tubuh tinggi suaminya di hadapannya.

“Awak…” suara Ammara serak mengantuk, tangannya automatik mencari jemari Tengku.

Tengku Izzqandar terus menghulur tangan, genggam erat tangan itu.

“Kenapa tak tidur lagi?” tanya Ammara, suara kecil dalam separuh sedar.

Tengku hanya tersenyum kecil, lalu menjawab perlahan “Saya nak pastikan orang yang paling saya sayang selamat dulu sebelum saya tidur.”

Ammara hanya senyum.

Tengku pandang wajah letih Ammara, penuh sayang. Dia naik ke atas katil perlahan, berbaring di sebelah mereka, membiarkan satu tangan kekal di atas perut Ammara sambil tangan satu lagi merangkul Iris.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience