Bab 26: Suara Hati yang Semakin Jelas

Romance Series 1569

Dua hari berlalu.

Namun Nadia masih tidak dapat melupakan petang itu.

Petang di rumah Amir.

Petang yang sepatutnya biasa.

Tetapi entah mengapa meninggalkan kesan yang luar biasa dalam dirinya.

Malam pertama selepas lawatan itu, dia hampir tidak tidur.

Malam kedua juga begitu.

Setiap kali memejamkan mata, satu suara kecil akan muncul kembali.

"...ibu..."

Kemudian disusuli satu lagi bisikan yang membuatkan dadanya terasa sesak.

"...jangan pergi..."

Nadia tidak faham.

Dia benar-benar tidak faham.

Mengapa dua perkataan itu begitu mengganggunya?

Mengapa dia menangis ketika memandu pulang petang itu?

Mengapa sehingga sekarang hatinya masih terasa berat?

Dia sudah cuba mencari jawapan.

Namun tidak menemukannya.

Yang ada hanyalah rasa kehilangan yang tidak dapat dijelaskan.

Seolah-olah ada sesuatu yang pernah menjadi miliknya suatu ketika dahulu...

tetapi telah hilang tanpa dia sedari.

*************************************

Pagi Rabu itu, Nadia melangkah masuk ke bilik muzik lebih awal daripada biasa.

Dia cuba menumpukan perhatian kepada kerja.

Menyusun fail.

Mengemas rak alat muzik.

Menyemak buku latihan.

Namun fikirannya tetap melayang.

Tok.

Tok.

Tok.

Pintu diketuk perlahan.

"Masuk."

Pintu terbuka.

Dan Nadia terus tersenyum.

Qaseh berdiri di hadapannya.

Masih sedikit pucat.

Masih belum pulih sepenuhnya.

Tetapi senyumannya sudah kembali seperti biasa.

"Assalamualaikum, cikgu."

"Waalaikumsalam."

Nadia segera bangun.

"Awak dah sihat?"

"Dah."

"Betul?"

Qaseh mengangguk laju.

"Betul."

Nadia masih belum puas hati.

Tanpa sedar, tangannya naik menyentuh dahi Qaseh.

Kanak-kanak itu terus ketawa kecil.

"Cikgu ni macam doktor pula."

"Bagus. Tak panas dah."

"Saya kata saya dah sihat."

Nadia tersenyum lega.

Entah mengapa.

Melihat Qaseh kembali sihat membuatkan hatinya terasa ringan.

"Awak tak patut datang kalau masih sakit."

"Saya memang dah sihat."

"Cepatnya sembuh."

Qaseh tersengih.

"Sebab cikgu datang."

Nadia terpinga-pinga.

"Hah?"

"Sebab cikgu datang tengok saya."

Dia menjawab selamba.

Polos.

Jujur.

Seolah-olah itulah jawapan paling logik di dunia.

Namun entah mengapa, dada Nadia terasa hangat.

Dia hanya mampu tersenyum.

*************************************

"Cikgu."

"Ya?"

Qaseh mengeluarkan sesuatu dari belakang badannya.

Sekuntum bunga kertas.

Tidak besar.

Tidak sempurna.

Malah sedikit senget.

Tetapi jelas dibuat dengan penuh teliti.

"Untuk cikgu."

Nadia mengambilnya perlahan.

"Awak buat ni?"

Qaseh mengangguk.

"Semalam."

"Kenapa bagi cikgu?"

"Sebab cikgu baik."

Jawapan itu terlalu mudah.

Tetapi cukup membuatkan hati Nadia tersentuh.

"Terima kasih."

"Sama-sama."

Qaseh tersengih puas.

Kemudian dia seperti teringat sesuatu.

"Cikgu."

"Ya?"

Wajahnya tiba-tiba menjadi serius.

"Kalau seseorang hilang ingatan..."

Senyuman Nadia perlahan-lahan hilang.

"...dia masih sayang orang yang dia lupa tak?"

Untuk beberapa saat, Nadia tidak menjawab.

Soalan itu terlalu pelik.

Terlalu tiba-tiba.

Namun entah mengapa...

ia terasa dekat dengan dirinya.

"Saya tak tahu."

Qaseh menundukkan kepala sedikit.

"Oh."

Nadia memandang bunga kertas di tangannya.

Lama.

Seolah-olah sedang mencari jawapan di suatu tempat yang jauh.

Kemudian dia bersuara perlahan.

"Kadang-kadang..."

Dia berhenti seketika.

"Orang boleh lupa banyak perkara."

Qaseh diam mendengar.

"Lupa nama."

"Lupa tempat."

"Lupa kenangan."

Suaranya tenang.

Lembut.

"Tapi perasaan..."

Nadia mengangkat pandangan.

"...selalunya lebih degil daripada ingatan."

Qaseh mengerutkan dahi.

"Maksudnya?"

Nadia tersenyum kecil.

"Saya rasa hati selalu ingat apa yang penting."

Qaseh terdiam.

Kemudian perlahan-lahan senyumannya kembali muncul.

Seolah-olah dia baru sahaja mendengar jawapan yang dicarinya.

*************************************

Tanpa mereka sedari...

seseorang sedang berdiri di luar pintu bilik muzik.

Amir.

Dia datang untuk membuat semakan inventori di bilik Muzik.

Namun langkahnya terhenti apabila terdengar suara dari dalam bilik.

Dia tidak mendengar semuanya.

Tetapi dia sempat mendengar ayat terakhir Nadia.

..."Saya rasa hati selalu ingat apa yang penting."

Untuk beberapa saat, Amir hanya berdiri diam.

Ayat itu bergema dalam fikirannya.

Lalu tanpa sedar, satu harapan kecil muncul kembali di sudut hatinya.

*************************************

Tidak lama kemudian, Qaseh meminta diri untuk kembali ke kelas.

Sebaik sahaja kanak-kanak itu keluar...

dia hampir terlanggar Amir yang sedang berdiri di luar.

"Ayah!"

Amir tersenyum.

"Dah habis ganggu cikgu?"

Qaseh ketawa kecil sebelum berlari pergi.

Amir menggeleng sambil memandang anaknya.

Kemudian dia mengetuk pintu bilik muzik.

Nadia yang sedang menyusun bunga kertas di atas meja mengangkat wajah.

"Oh."

"Saya ganggu?"

"Tak."

Amir melangkah masuk.

Di tangannya terdapat borang senarai semak inventori.

"Saya nak buat pemeriksaan inventori."

Nadia mengangguk.

"Hujung sana tu ada beberapa barang yang rosak."

Amir menoleh ke arah yang ditunjukkan.

"Yang mana satu?"

"Lampu pentas kecil tu dah tak menyala."

"Yang dekat rak alat muzik?"

"Ya."

Amir segera mencatat sesuatu pada borangnya.

Kemudian dia bergerak ke beberapa sudut bilik untuk membuat pemeriksaan ringkas.

Tidak lama kemudian, dia kembali ke meja Nadia.

"Rasanya itu saja."

Nadia hanya tersenyum dan mengangguk.

Namun Amir tidak terus beredar.

Beberapa saat suasana menjadi sunyi.

Akhirnya dia bersuara.

"Terima kasih."

Nadia mengerutkan dahi.

"Untuk apa?"

"Sebab datang tengok Qaseh hari tu."

Nadia terdiam agak lama sebelum dia menjawab.

"Saya cuma melawat murid."

Amir tersenyum kecil.

"Tapi dia sangat gembira."

Entah mengapa, Nadia turut tersenyum.

"Saya pun tak tahu kenapa saya risau sangat pasal dia."

Ayat itu keluar begitu sahaja.

Tanpa dirancang.

Tanpa ditapis.

Dan sebaik sahaja dia mengucapkannya...

dia sendiri sedikit terkejut.

Amir memandangnya.

Lama.

Kemudian berkata perlahan.

"Mungkin ada orang yang kita sayang tanpa kita sedar."

Nadia terus memandangnya.

Beberapa saat.

Kemudian dia ketawa kecil.

"Awak ni."

"Kenapa?"

"Macam bercakap dalam teka-teki."

Amir turut tersenyum.

"Maaf."

Namun jauh di dalam hatinya...

dia sedang menahan seribu perasaan.

Kerana dia tahu.

Lebih daripada sesiapa pun.

Bahawa Nadia memang menyayangi Qaseh.

Dia cuma belum mengingatinya.

*************************************

Petang itu, selepas semua murid pulang...

Nadia masih berada di bilik muzik.

Bunga kertas pemberian Qaseh masih berada di atas mejanya.

Dia membelek bunga itu perlahan-lahan.

Kemudian tanpa sedar...

dia teringat lagu itu sekali lagi.

Tidurlah Puteriku.

Bagaimana dia boleh menghafalnya?

Bagaimana dia boleh menyanyikannya tanpa melihat lirik?

Perkara itu masih tidak masuk akal.

Perlahan-lahan dia membuka komputer riba.

Dia menaip beberapa perkataan.

"Tidurlah Puteriku"

Tiada hasil.

Tiada pencipta lagu.

Tiada rakaman.

Tiada maklumat.

Seolah-olah lagu itu tidak pernah wujud.

Nadia mengerutkan dahi.

Semakin dia mencari jawapan...

semakin banyak persoalan yang muncul.

*************************************

Malam itu, Nadia duduk bersendirian di balkoni rumah.

Angin malam bertiup lembut.

Di tangannya masih terletak bunga kertas kecil yang diberikan Qaseh.

Telefonnya tiba-tiba berbunyi.

Tengku Zafran.

Nadia menjawab panggilan itu.

"Helo."

"Helo, sayang."

Nadia tersenyum.

Namun kali ini senyumannya terasa hambar.

"Awak penat?"

tanya Tengku.

"Sedikit."

"Ada masalah?"

Nadia memandang ke langit malam.

Entah bagaimana hendak dijelaskan.

Tentang seorang murid.

Tentang sebuah lagu.

Tentang satu perkataan.

Tentang satu perasaan yang semakin sukar difahami.

Akhirnya dia hanya menjawab,

"Entahlah."

Dan buat pertama kali...

Tengku Zafran merasakan sesuatu sedang berubah.

Sesuatu yang selama ini berada dalam genggamannya...

sedang perlahan-lahan menjauh.

*************************************

Di rumah yang lain...

Amir duduk di beranda.

Qaseh sudah tidur.

Mak Mah juga sudah masuk ke bilik.

Tangannya memegang secawan kopi yang hampir sejuk.

Fikirannya kembali kepada kata-kata Nadia pagi tadi.

..... "Saya rasa hati selalu ingat apa yang penting."

Perlahan-lahan Amir mendongak memandang langit.

Sudah lapan tahun dia menunggu.

Sudah lapan tahun dia berdoa.

Dan buat pertama kalinya...

dia berani menyimpan harapan.

Mungkin...

hati Nadia benar-benar sedang mencari jalan pulang.

Tamat Bab 26

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience