Bab 8: Fitnah yang Menyakitkan

Romance Series 1569

Amir memandang Nadia dari jauh, seperti biasa. Hatinya terasa hangat setiap kali melihat wanita itu tersenyum atau berbual dengan rakan-rakan sejawatnya.

Dia tidak pernah melangkah lebih dekat atau mengganggu, tetapi hanya sekadar memerhati, dan cuba mengingati wajah yang pernah menjadi seluruh dunianya. Setiap kali dia melihat Nadia, hatinya seperti dirobek, dan matanya mula berkaca tanpa dia sedari.
 
Hari-hari berlalu, dan tingkah laku Amir yang sering memandang Nadia mula menarik perhatian beberapa rakan sejawat.

Cikgu Farah, yang terkenal dengan sikap ingin tahunya, mula perasan bahawa setiap kali Nadia berada di bilik guru, Amir kelihatan tidak tenteram.
 
“Hanif, kau perasan tak Amir tu macam lain sejak Nadia masuk sini?” tanya Farah perlahan pada suatu pagi.
 
Cikgu Hanif mengerutkan dahi. “Apa maksud kau?”
 
Farah memandang ke arah Amir yang sedang duduk sambil mencuri-curi pandang ke arah Nadia.

“Dia selalu tengok Nadia. Aku rasa dia ada hati dengan Nadia.”
 
Hanif memandang Amir dengan penuh perhatian.

“Kalau betul, bahaya ni. Nadia kan dah bertunang. Kalau Zafran tahu, boleh jadi kecoh.”

  *******************************************

(Fitnah yang Semakin Meluas)
Cerita tentang Amir mula tersebar dalam kalangan guru-guru. Pada awalnya hanya sekadar bisikan kecil, tetapi lama-kelamaan ia menjadi gosip utama di bilik guru.
 
“Patutlah Amir nampak murung kebelakangan ni. Rupanya dia suka Nadia,” bisik salah seorang guru wanita kepada rakannya.
 
“Dia kan dah tahu Nadia tu tunangan orang. Tak elok kalau dia terus buat macam ni,” jawab rakannya dengan nada sinis.

Amir mula perasan perubahan suasana di dalam bilik guru. Setiap kali dia masuk, perbualan berhenti secara tiba-tiba. Pandangan sinis dan bisikan halus mengelilinginya.

Hatinya menjadi semakin berat, tetapi dia tetap mendiamkan diri. Dia tahu, apa sahaja yang dia katakan tidak akan mengubah pendapat mereka.

  ***********************************
(Hubungan Qaseh dan Nadia)
Di sebalik semua tekanan yang dihadapi Amir, hubungan antara Qaseh dan Nadia tetap kukuh. Malah, mereka menjadi semakin rapat.

Qaseh sering datang ke bilik guru selepas waktu sekolah, menunggu ayahnya selesai bekerja. Dia akan duduk bersama Nadia, berbual tentang pelbagai perkara.
 
“Cikgu, hari ni saya belajar buat kraf tangan di kelas. Saya nak tunjuk kat cikgu,” kata Qaseh sambil mengeluarkan hasil kerjanya dari beg.
 
“Wah, cantiknya! Awak memang pandai, Qaseh,” puji Nadia sambil mengusap kepala kanak-kanak itu.
 
“Cikgu suka kraf macam ni?” tanya Qaseh dengan mata yang bersinar.
 
“Suka sangat. Kalau saya ada anak macam awak, mesti saya akan bangga sangat,” jawab Nadia dengan senyuman hangat.
 
Qaseh tersenyum lebar, tetapi di dalam hatinya, dia merasa pilu. Dia tahu wanita di depannya adalah ibunya, tetapi dia tidak dapat mengatakan apa-apa. Dia hanya mampu menikmati setiap momen yang mereka habiskan bersama.
 
*************************************

Pada suatu petang, Tengku Zafran muncul di bilik guru untuk menjemput Nadia pulang. Ketika dia melangkah masuk, suasana bilik guru menjadi senyap.

Beberapa orang guru segera menghampiri Zafran, memuji keperibadiannya, tetapi matanya tertumpu kepada Amir yang sedang duduk di sudut bilik.
 
“Encik Amir, boleh kita bercakap sebentar?” tanya Zafran dengan nada tegas tetapi sopan.
 
Amir mengangguk perlahan. “Ya, tentu.”

Zafran membawa Amir ke sudut yang lebih jauh dari guru-guru lain. Wajahnya tenang, tetapi nadanya serius.

“Saya dengar cerita tentang cikgu dan Nadia. Saya harap itu cuma salah faham.”
 
Amir terdiam, tidak tahu bagaimana untuk menjelaskan. Dia cuba membuka mulut, tetapi kata-kata tidak keluar.
 
“Saya tak tahu apa yang sebenarnya berlaku. Tapi saya harap cikgu tahu, Nadia adalah tunang saya. Saya minta cikgu hormat hubungan kami,” kata Zafran sebelum berlalu pergi.
 
Amir berdiri kaku di tempatnya. Kata-kata Zafran seperti belati yang menusuk terus ke hatinya. Dia tidak pernah berniat untuk mengganggu Nadia, tetapi kehadirannya di sekolah ini, ditambah pula dengan perasaannya yang tidak dapat dibendung, telah mencetuskan salah faham yang besar.
 
Pada malam itu, di rumahnya, Qaseh duduk di pangkuan Amir sambil bermain dengan boneka kecilnya. Amir memeluk anaknya erat, mencari kekuatan dalam kehangatan pelukan itu.
 
“Ayah... kenapa ayah sedih?” tanya Qaseh dengan suara kecil.
 
Amir menghela nafas panjang. “Ayah tak apa-apa, sayang. Ayah cuma penat.”

Qaseh memandang wajah ayahnya yang jelas kelihatan murung. Dia ingin bertanya lebih lanjut, tetapi akhirnya dia hanya memeluk Amir dengan lebih erat. Di dalam hatinya, dia tahu ada sesuatu yang tidak kena.
 
Amir menatap potret lama Nadia di dinding. Matanya mula berkaca lagi.

“Nadia… aku tak tahu sampai bila aku boleh teruskan macam ni. Aku tak mampu nak buat kau ingat, tapi aku juga tak sanggup tengok kau bersama orang lain.”

Di tempat lain, Nadia sedang duduk di balkoni rumahnya. Fikirannya melayang kepada Qaseh, kanak-kanak yang semakin dekat di hatinya.

“Kenapa setiap kali saya bersama Qaseh, saya rasa seperti saya pernah mengenalinya? Apa sebenarnya yang saya tak ingat?” bisiknya perlahan.

TAMAT BAB 8

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience