Bab 11: Kesunyian yang Mencekik

Romance Series 1569

Seminggu berlalu sejak insiden di majlis makan malam. Amir menjadi semakin pendiam di sekolah. Dia menjalankan tugasnya seperti biasa, tetapi sering tenggelam dalam dunia fikirannya sendiri.

Guru-guru lain masih membicarakan tentang insiden pemberian bunga itu, dan meskipun ada yang mulai melupakan, kesannya tetap tergantung di hati Amir.

Nadia, di sisi lain, juga berubah. Jika dahulu dia sering tersenyum ceria, kini senyumannya hanya sekadar hiasan. Dia merasa kekosongan yang sukar diterangkan, terutama setiap kali dia melihat Qaseh.

Anak kecil itu membawa ketenangan aneh dalam dirinya, tetapi juga membangkitkan kerinduan yang dia sendiri tidak faham.
 
Amir mula menjauhkan diri. Dia mengelak dari berbual panjang dengan Nadia, hanya sekadar memberi senyuman kecil jika mereka bertembung di koridor.

Setiap kali Nadia mengajaknya berbicara, Amir akan mencari alasan untuk pergi.

“Cikgu Amir, awak ada masa sekejap?” tanya Nadia suatu hari.

Amir berpaling, matanya bertemu dengan pandangan Nadia yang penuh harapan. Dia terdiam seketika sebelum menjawab, “Saya ada mesyuarat dengan Guru Besar. Maaf, lain kali ya.”

Nadia hanya mengangguk perlahan, tetapi jauh di lubuk hatinya, dia tahu punca perubahan sikap Amir. Peristiwa pemberian bunga dan tomahan yang berlegar dalam kalangan guru-guru pasti menjadi beban yang menghimpit lelaki itu.

Nadia dapat merasakan luka yang ditinggalkan oleh situasi itu, tetapi dia tidak tahu bagaimana untuk mendekati Amir tanpa menambah perit di hatinya.

Sementara itu, hubungan Nadia dan Qaseh semakin akrab. Qaseh sering singgah di bilik guru selepas tamat waktu persekolahan untuk berbual dengan Nadia. Mereka akan duduk bersama, berbual tentang apa sahaja, dari aktiviti di rumah hinggalah cerita lucu di sekolah.

“Cikgu Nadia,” kata Qaseh suatu petang, “kalau saya ada cikgu lain, saya rasa saya takkan suka macam saya suka cikgu.”

Nadia tersenyum, mengusap rambut Qaseh dengan lembut. “Kenapa awak cakap macam tu? Semua cikgu sayang awak, tahu?”

Qaseh memandang Nadia dengan mata yang besar dan jujur.

“Tapi cikgu lain tak sama. Cikgu buat saya rasa… macam ada ibu.”

Nadia terkedu. Kata-kata itu memukul hatinya. Dia tidak tahu kenapa, tetapi setiap kali Qaseh menyebut tentang ibu, hatinya terasa berat.

*************************************
 
Pada suatu malam, ketika Nadia sedang memeriksa buku latihan murid di rumah, fikirannya melayang. Dia teringatkan Qaseh, senyuman anak kecil itu, dan bagaimana dia selalu merasa damai di sisi Qaseh. Tetapi kenapa? Kenapa anak itu terasa begitu dekat dengannya?

Nadia menutup buku di tangannya. Dia termenung di sofa, memandang kosong ke arah tingkap yang memantulkan sinar bulan. Hatinya penuh dengan pertanyaan yang tidak mampu dia jawab sendiri.

“Kenapa rasa ini tak hilang?” bisiknya perlahan. Matanya mula berkaca. Dia tidak mengerti apa yang hatinya cuba sampaikan, tetapi dia tahu satu perkara...dia merindui sesuatu, atau mungkin seseorang.

“Siapa aku sebenarnya... sebelum aku hilang ingatan?” bisiknya perlahan.
 
Di suatu kawasan yang lain, Amir sedang termenung di depan meja makan, pandangannya jatuh ke arah Qaseh yang sedang tidur di sofa. Anak itu kelihatan tenang, tetapi Amir tahu, hati kecil Qaseh juga memendam sesuatu.

“Aku hanya perlu reda,” bisik Amir kepada dirinya sendiri. “Dia bukan lagi Nadia yang aku kenal. Dia bukan isteri aku.”

Tetapi bagaimana dia boleh reda? Setiap kali dia melihat Qaseh bersama Nadia, hatinya seperti diramas. Anak itu kelihatan begitu bahagia di sisi wanita yang sepatutnya menjadi ibunya.

“Ya Allah, jika dia masih Nadia aku… tolonglah kembalikan dia. Bukan untuk aku, tetapi untuk Qaseh. Anak ini perlukan ibunya.”

Tamat Bab 11

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience