Series
1569
Pagi itu, Nadia melangkah masuk ke kelas Muzik Tahun 4 dengan senyuman seperti biasa.
"Selamat pagi, cikgu!"
"Selamat pagi semua."
Suara murid-murid memenuhi bilik muzik yang ceria itu.
Di dinding tergantung pelbagai alat muzik. Tamborin, rekoder dan beberapa buah ukulele kecil tersusun kemas di rak.
Namun pagi itu, mata Nadia tertumpu kepada seorang murid sahaja.
Qaseh.
Kanak-kanak itu duduk diam di tempatnya.
Tidak seperti kebiasaannya.
Biasanya Qaseh antara murid yang paling aktif menjawab soalan.
Paling kuat menyanyi.
Paling cepat tersenyum.
Tetapi hari ini dia kelihatan lesu.
"Qaseh."
"Ya, cikgu?"
"Awak sihat?"
Qaseh segera mengangguk.
"Sihat."
Nadia memandangnya beberapa saat.
Kemudian meneruskan pengajaran.
Walaupun jauh di sudut hati, dia masih berasa tidak sedap.
***************************************
"Baiklah murid-murid."
Nadia berdiri di hadapan kelas sambil memegang sehelai kad manila.
"Hari ini kita belajar tentang lirik lagu."
Beberapa murid bersorak kecil.
Mereka memang gemar apabila kelas Muzik melibatkan aktiviti menulis.
"Lagu yang baik bukan sekadar sedap didengar."
Nadia menulis beberapa perkataan di papan putih.
Kasih sayang.
Persahabatan.
Keluarga.
Harapan.
"Semua lagu biasanya lahir daripada perasaan."
Murid-murid memandang penuh minat.
"Jadi cikgu nak tanya."
Nadia berpaling ke arah mereka.
"Apakah maksud kasih sayang?"
Tangan mula terangkat.
"Saya!"
"Saya!"
"Saya!"
Nadia tersenyum.
"Baik. Faris."
"Kasih sayang ialah bila ibu belikan mainan."
Seluruh kelas ketawa.
"Bagus juga jawapan tu."
"Nurul?"
"Kasih sayang ialah bila ayah bawa pergi jalan-jalan."
"Bagus."
Beberapa jawapan lagi diberikan.
Kemudian mata Nadia tertumpu kepada Qaseh.
"Qaseh pula?"
Kanak-kanak itu mengangkat wajah perlahan.
Berfikir seketika.
Kemudian menjawab.
"Kasih sayang ialah bila seseorang tetap sayangkan kita walaupun dia jauh."
Serta-merta kelas menjadi senyap.
Nadia turut terdiam.
Jawapan itu terlalu mendalam.
Terlalu matang.
Untuk seorang kanak-kanak berusia sepuluh tahun.
"Kenapa awak cakap macam tu?"
tanya Nadia perlahan.
Qaseh tersenyum kecil.
"Sebab ayah saya selalu cakap..."
Dia berhenti seketika.
"...walaupun ibu saya jauh, ibu tetap sayang saya."
Entah mengapa, dada Nadia terasa sesak.
Perasaan yang aneh.
Perasaan yang tidak mampu dijelaskan.
Dia memandang Qaseh lebih lama daripada biasa.
Namun akhirnya dia hanya tersenyum.
"Itu jawapan yang sangat baik."
Qaseh membalas senyuman kecil.
Tetapi wajahnya masih kelihatan pucat.
***************************************
Beberapa minit kemudian, murid-murid diberikan tugasan menulis lirik pendek tentang kasih sayang.
Suasana kelas menjadi tenang.
Hanya bunyi pensel dan suara perlahan murid-murid yang berbincang sesama sendiri.
Ketika itulah Nadia perasan sesuatu.
Qaseh berhenti menulis.
Penselnya terjatuh.
Wajahnya semakin pucat.
"Qaseh?"
Kanak-kanak itu cuba mengangkat kepala.
Namun pandangannya kelihatan berpinar.
"Cikgu..."
Belum sempat dia menghabiskan kata-katanya...
tubuh kecil itu terhuyung.
Nadia terus berlari.
"Qaseh!"
Seluruh kelas terkejut.
Beberapa murid bangun dari tempat duduk.
Nadia sempat menyambut tubuh Qaseh sebelum rebah ke lantai.
Tangannya segera menyentuh dahi kanak-kanak itu.
Panas.
Terlalu panas.
"Ya Allah..."
Buat pertama kali pagi itu, rasa tidak sedap hatinya berubah menjadi ketakutan.
"Faris, cepat panggil guru bertugas!"
"Baik, cikgu!"
Murid itu segera berlari keluar.
Qaseh membuka mata sedikit.
"Cikgu..."
"Jangan cakap."
Suara Nadia bergetar tanpa disedarinya.
"Cikgu ada."
Tangannya mengusap rambut Qaseh perlahan.
Persis seorang ibu yang sedang menenangkan anaknya.
***************************************
Beberapa minit kemudian, Qaseh dibawa ke bilik rawatan.
Guru bertugas membantu membaringkannya di atas katil kecil yang disediakan.
"Suhu badan dia agak tinggi," kata guru bertugas selepas memeriksa termometer digital.
Nadia mengangguk perlahan.
Matanya tidak pernah beralih daripada wajah Qaseh.
"Dah hubungi ayah dia?"
"Dah. Cikgu Amir sedang datang."
Nadia menarik nafas lega.
Namun entah kenapa, dia tetap tidak berganjak dari sisi katil tersebut.
"Cikgu, kelas awak macam mana?"
"Saya dah tinggalkan latihan untuk murid."
"Tak apa. Biar saya jaga dia."
Nadia memandang Qaseh.
Kemudian menggeleng perlahan.
"Tak mengapa."
"Saya tunggu ayah dia datang."
Guru bertugas hanya mengangguk.
***************************************
Tidak lama kemudian, Amir tiba.
Langkahnya laju.
Wajahnya jelas cemas.
"Qaseh."
Dia terus menghampiri katil.
Tangannya menyentuh dahi anaknya.
Panas.
Sangat panas.
"Mungkin dia terlalu letih," kata Nadia perlahan.
"Sejak pagi lagi dia nampak tak bermaya."
Amir mengangguk.
"Terima kasih."
Nadia hanya menggeleng.
"Tak perlu berterima kasih."
Kemudian suasana menjadi sunyi.
Untuk beberapa saat.
Amir memandang Qaseh.
Kemudian tanpa sengaja, pandangannya beralih kepada Nadia.
Wanita itu sedang memegang tuala kecil di tangannya.
Wajahnya penuh kebimbangan.
Persis seseorang yang sedang menjaga orang yang paling disayanginya.
Dan tiba-tiba...
kenangan lama menyerbu masuk tanpa diundang.
Malam-malam ketika Qaseh masih kecil.
Demam.
Batuk.
Menangis.
Dan Nadia yang berjaga sehingga Subuh.
Mengelap dahi anak mereka.
Menyuap ubat.
Mendukung Qaseh ke sana sini.
Dada Amir terasa sesak.
Lapan tahun.
Namun pemandangan di hadapannya masih sama.
Bezanya...
wanita itu tidak lagi mengenali mereka.
Amir segera mengalihkan pandangan.
Takut emosinya terbaca.
***************************************
Beberapa ketika kemudian, telefon Amir berbunyi.
Mak Mah.
Amir menjawab panggilan itu.
Selepas beberapa saat, dia memandang Nadia.
"Saya telefon mak sekejap di luar. Biar dia bersedia kalau Qaseh perlu dibawa pulang."
Nadia mengangguk.
"Saya jaga dia."
Amir keluar.
Pintu kembali tertutup.
Bilik rawatan menjadi sunyi semula.
Hanya bunyi kipas yang berputar perlahan.
Qaseh bergerak sedikit.
Matanya terbuka separuh.
Pandangan kanak-kanak itu kabur.
"Cikgu..."
"Ya."
"Saya dah susahkan cikgu."
Nadia tersenyum kecil.
"Jangan cakap macam tu."
"Tapi saya demam."
"Itu bukan salah awak."
Qaseh memandang wajah Nadia.
Lama.
Seolah-olah sedang mencari sesuatu.
Kemudian dia menghulurkan tangan kecilnya.
Tanpa berfikir panjang, Nadia menyambut huluran itu.
Jari kecil Qaseh menggenggam tangannya erat.
Hangat.
Lembut.
Dan entah mengapa...
genggaman itu membuatkan dada Nadia terasa sebak.
Qaseh tersenyum lemah.
Matanya semakin layu.
Kemudian dalam suara yang hampir tidak kedengaran...
dia berbisik.
"Ibu..."
Nadia membeku.
Seluruh tubuhnya kaku.
Jantungnya seolah-olah berhenti berdegup.
"Ibu..."
Bisikan itu keluar sekali lagi.
Lebih perlahan.
Lebih sayu.
Namun sebelum Nadia sempat berkata apa-apa...
Qaseh sudah tertidur semula.
Bilik rawatan kembali sunyi.
Tetapi Nadia tidak lagi mendengar bunyi kipas.
Tidak lagi mendengar suara murid di luar.
Dia hanya mendengar satu perkataan.
Berulang-ulang.
Di dalam kepalanya.
"Ibu."
Tangannya masih berada dalam genggaman Qaseh.
Dan buat pertama kali...
air matanya jatuh tanpa sebab yang mampu difahaminya.
***************************************
Malam itu, Nadia duduk bersendirian di dalam biliknya.
Buku latihan yang terbuka di atas meja langsung tidak disentuh.
Televisyen terpasang.
Tetapi dia tidak tahu rancangan apa yang sedang ditayangkan.
Fikirannya jauh melayang.
Ke bilik rawatan sekolah.
Ke wajah Qaseh.
Ke genggaman tangan kecil itu.
Dan kepada satu perkataan yang masih bergema dalam hatinya.
"Ibu."
Nadia memejamkan mata.
Cuba melupakan.
Cuba menganggapnya perkara biasa.
Mungkin Qaseh mamai.
Mungkin Qaseh tersilap.
Mungkin itu tidak membawa apa-apa makna.
Namun semakin dia cuba melupakan...
semakin kuat perkataan itu bergema.
Seolah-olah ada sesuatu yang telah lama hilang...
sedang memanggilnya untuk pulang.
Tamat Bab 24
Share this novel