Series
1569
Keesokan paginya, bilik guru dipenuhi dengan perbualan yang lebih panas daripada biasa. Suasana yang biasanya tenang berubah menjadi tempat gosip yang penuh bisikan.
Nama Amir kini menjadi topik utama. Peristiwa malam tadi, ketika dia memberikan bunga kepada Nadia di atas pentas, menjadi bahan perbualan semua guru.
“Tak faham betul, apa yang Cikgu Amir fikirkan?” bisik Cikgu Suraya sambil menyusun kertas di mejanya.
“Aku rasa dia dah hilang akal,” tambah Cikgu Rahim, menggeleng kepala. “Itu tunang orang kot. Bukankah kita sepatutnya tahu batas?”
“Malulah kita kalau perkara ini tersebar,” sambung Suraya lagi, kali ini dengan nada sedikit keras. “Dia tak fikir imej sekolah ke?”
Beberapa orang guru lain yang mendengar hanya mengangguk kecil, tanda bersetuju. Walaupun mereka tidak bersuara, pandangan mata mereka jelas menunjukkan ketidakpuasan terhadap Amir.
Dalam diam, bilik guru itu dipenuhi dengan aura dingin yang menyesakkan.
Amir melangkah masuk ke dalam bilik guru dengan wajah tenang, tetapi dia tidak dapat mengabaikan perasaan canggung yang menyelubungi dirinya.
Beberapa orang guru berhenti berbual sebaik sahaja dia melangkah masuk, seperti menyembunyikan sesuatu. Yang lain pula melemparkan pandangan sinis, membuatkan Amir terasa seperti dipersalahkan tanpa perbicaraan.
“Amir, malam tadi kau betul-betul buat kejutan, ya?” tegur Cikgu Rahim dengan nada berbaur jenaka, tetapi ada sindiran halus yang jelas terasa.
Amir cuba tersenyum, walaupun hatinya sakit. “Aku cuma beri bunga. Tak ada niat apa-apa pun.”
“Tapi bunga kepada tunang orang, Amir?” celah Suraya dengan nada sinis. “Apa awak cuba buktikan sebenarnya?”
Amir terdiam. Dia tahu sebarang penjelasan tidak akan mengubah pandangan mereka.
“Saya cuma rasa itu sesuatu yang patut saya buat… untuk menghormati lagu yang dia nyanyikan.”
“Patut buat?” Suraya hampir ketawa kecil.
“Amir, kita semua tahu awak pernah rapat dengan Nadia. Tapi tolonglah, dia dah bertunang. Jangan buat perkara yang memalukan macam tu lagi.”
Amir menunduk, memandang kertas di tangannya tanpa berkata apa-apa. Setiap perkataan itu terasa seperti pisau yang menusuk hatinya. Dia cuba menahan diri, tetapi matanya mula berkaca. Dia tidak boleh menunjukkan kelemahannya di depan mereka.
***********************************
(Kesunyian yang Berbicara)
Sepanjang hari itu, Amir merasakan dunia semakin sunyi. Rakan-rakannya yang dulu mesra kini lebih banyak menjauh.
Di kantin, tempat duduk di sebelahnya kosong walaupun kantin penuh. Di bilik guru, hanya beberapa orang yang bersuara kepadanya, dan itu pun hanya tentang urusan kerja.
Amir duduk sendirian di sudut bilik guru, memandang jauh ke luar tingkap. Hatinya penuh dengan kekeliruan.
Dia tidak pernah berniat untuk melanggar batas, tetapi tindakannya malam tadi telah disalahertikan sepenuhnya. Dia hanya ingin menunaikan janji lama. Janji yang kini dianggap salah oleh semua orang.
Pada waktu petang, Cikgu Hanif mendekati Amir yang masih di bilik guru. Dengan nada yang lebih lembut, dia berkata,
“Amir, aku tahu kau bukan macam yang mereka cakap. Tapi kau kena faham, apa yang kau buat malam tadi… susah untuk orang terima.”
Amir memandang Hanif, matanya penuh kesedihan. “Aku cuma nak hargai lagu itu, Hanif. Lagu itu bukan sekadar lagu biasa untuk aku. Itu… kenangan.”
Hanif menghela nafas panjang. “Aku faham, Amir. Tapi kau kena jaga diri. Dunia ni kejam, dan orang akan sentiasa cari salah kita.”
Amir mengangguk perlahan, walaupun kata-kata itu hanya menambahkan beban di hatinya. Dia tahu, apa pun yang dia lakukan, pandangan negatif itu tidak akan hilang dengan mudah.
Malam itu, Amir duduk di ruang tamunya, memandang gambar lama Nadia dan Qaseh yang disimpannya selama ini. Hatinya bergolak antara rasa cinta yang masih utuh dan rasa bersalah yang terus menghantui.
“Aku kena buat keputusan,” bisik Amir kepada dirinya sendiri. “Jika semua ini membawa lebih banyak luka… mungkin sudah tiba masanya aku belajar melepaskan.”
Dengan keputusan itu, Amir bersedia untuk cuba melangkah pergi, walaupun dia tahu hatinya akan terus berdarah. Tetapi adakah benar dia mampu melepaskan cinta yang begitu dalam, atau takdir akan kembali menyulam mereka bersama?
Tamat Bab 10
Share this novel