Bab 44: Bisik-Bisik yang Menjadi Luka

Romance Series 1569

Suasana di bilik guru yang sebelum ini riuh dengan gurauan kini terasa sedikit berkurangan.

Suara masih ada, gelak masih kedengaran, tetapi semuanya seperti tertahan.

Peristiwa majlis makan malam tahunan itu masih belum hilang daripada fikiran mereka.

Nadia yang tiba-tiba bangun.

Nadia yang menangis.

Nadia yang memandang Amir...

...dan akhirnya...

Nadia rebah di hadapan semua orang.

Farah yang sedang menyusun buku latihan di mejanya beberapa kali memandang ke arah meja Nadia. Meja itu masih kosong. Pemiliknya belum tiba.

Di sebelahnya, Hanif sedang menyemak buku latihan murid, tetapi sejak tadi pen merah di tangannya lebih banyak berhenti daripada bergerak.

Akhirnya Farah bersuara perlahan.

"Hanif."

"Hmm?"

"Awak masih fikir pasal malam tu?"

"Kalau saya kata tak, awak percaya?"

Farah menghela nafas kecil.

"Saya pun sama."

Untuk beberapa ketika, kedua-duanya diam.

Bilik guru tidak begitu ramai pagi itu. Beberapa orang guru sudah masuk ke kelas. Beberapa orang lagi sedang bersedia untuk mengajar. Namun ada juga yang berpura-pura sibuk, sedangkan telinga mereka jelas tertarik kepada perbualan itu.

Farah merendahkan suaranya.

"Saya tak faham. Puisi tu biasa saja kalau orang lain dengar. Sedih, memang sedih.
Tapi Nadia..."

Dia terhenti seketika, seolah-olah sedang mencari perkataan yang sesuai.

"Nadia macam... terkena sesuatu."

Hanif memandangnya.

"Jangan guna perkataan tu."

Farah faham maksud Hanif. Perkataan itu terlalu mudah disalahertikan.

Tetapi sebelum dia sempat menjawab, seorang guru perempuan yang duduk tidak jauh dari mereka menyampuk perlahan.

"Kadang-kadang benda macam ni memang pelik."

Farah dan Hanif menoleh.

Guru itu, Cikgu Salmah, menutup buku rekod mengajarnya. Wajahnya kelihatan serba salah, tetapi matanya menyimpan keyakinan yang tidak mahu disembunyikan.

"Saya bukan nak tuduh sesiapa," katanya perlahan. "Tapi saya pernah dengar kes macam ni."

Hanif mengerutkan dahi.

"Kes macam mana?"

Cikgu Salmah memandang sekeliling terlebih dahulu sebelum menyambung.

"Orang tiba-tiba berubah. Asyik teringat seseorang. Tak boleh tidur. Hati tak tenang. Kadang-kadang..."

Dia berhenti.

Farah mula tidak selesa.

"Kadang-kadang apa?"

Cikgu Salmah menelan liur.

"Kadang-kadang orang tua-tua kata, ada orang buat sesuatu."

Bilik guru menjadi lebih senyap daripada sebelumnya.

Ayat itu tidak kuat.

Tetapi cukup untuk menjalar ke telinga beberapa orang.

Hanif meletakkan pen di atas meja.

"Cikgu Salmah, hati-hati."

"Saya tahu," balas wanita itu cepat. "Saya bukan kata Cikgu Amir buat. Saya cuma cakap... benda macam ni orang selalu kaitkan."

Farah memandang ke arah pintu bilik guru.

Entah mengapa, hatinya menjadi tidak sedap.

"Saya tak rasa Amir macam tu."

Hanif mengangguk perlahan.

"Amir bukan orang begitu."

"Betul," kata Farah. "Dia pendiam. Dia jaga Qaseh. Dia tak pernah kacau sesiapa."

Cikgu Salmah tidak membantah. Tetapi wajahnya juga tidak kelihatan benar-benar yakin.

"Itulah masalahnya," katanya perlahan. "Orang yang pendiam kadang-kadang kita tak tahu isi hatinya."

Hanif terus memandang wanita itu.

"Kalau kita tak tahu isi hati orang, jangan kita isi dengan sangkaan sendiri."

Kata-kata itu membuatkan Cikgu Salmah terdiam.

Farah memandang Hanif sekilas. Ada rasa lega di hatinya kerana lelaki itu berani menegur. Namun pada masa yang sama, dia tahu sesuatu telah pun berlaku.

Benih syak sudah jatuh.

Dan benih seperti itu, jika tidak dicabut segera, akan tumbuh menjadi sesuatu yang sukar dikawal.

*********************************

Nadia tiba di sekolah sedikit lewat daripada biasa.

Wajahnya masih pucat. Matanya masih menyimpan kesan kurang tidur.

"Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam."

Jawapan yang diterima kedengaran biasa.

Tetapi Nadia dapat merasakan sesuatu.

Beberapa pasang mata memandangnya lebih lama daripada biasa. Kemudian cepat-cepat beralih ke tempat lain apabila dia menoleh.

Dia cuba mengabaikannya.

Mungkin kerana peristiwa malam itu.

Mungkin kerana dia pengsan di hadapan semua orang.

Mungkin mereka cuma risau.

Namun semakin dia cuba menenangkan diri, semakin kuat rasa tidak selesa itu mencengkam dadanya.

Dia duduk di mejanya dan membuka buku latihan murid. Matanya menatap tulisan yang tersusun di halaman pertama, tetapi fikirannya tidak benar-benar berada di situ.

Puisi itu masih hidup di kepalanya.

Bait-bait itu masih bergerak perlahan seperti bayang-bayang.

Nadia menutup mata seketika.

Tetapi apabila matanya tertutup, bayangan itu muncul semula.

Seorang lelaki.

Sebatang pokok.

Darah.

Tangisan.

Dia segera membuka mata.

Nafasnya terasa berat.

"Nadia."

Farah sudah berdiri di hadapannya.

Nadia tersentak kecil.

"Ya?"

Farah memandang wajah sahabatnya dengan penuh kebimbangan.

"Awak betul-betul okey?"

Nadia memaksa senyum.

"Okey."

Farah tidak terus menjawab. Dia tahu senyuman itu bukan senyuman orang yang benar-benar dalam keadaan baik.

"Kalau awak nak balik awal, saya boleh tolong beritahu pentadbir."

Nadia menggeleng perlahan.

"Tak apa. Saya boleh kerja."

Farah mengangguk.

Ada sesuatu yang ingin ditanya.

Namun akhirnya dia hanya berkata, "Jangan paksa diri."

Nadia tersenyum kecil.

"Terima kasih."

Farah kembali ke mejanya.

Tetapi sebelum duduk, matanya sempat menangkap sesuatu.

Amir baru sahaja melangkah masuk ke bilik guru.

Lelaki itu berhenti seketika di muka pintu apabila melihat Nadia. Hanya sesaat. Terlalu singkat untuk disedari oleh kebanyakan orang.

Tetapi Farah menyedarinya.

Hanif juga.

Amir tidak menghampiri Nadia. Dia hanya berjalan ke mejanya seperti biasa, meletakkan fail, kemudian duduk dalam diam.

Namun dalam diam itu, bilik guru terasa lebih berat.

************************************

Waktu rehat, bisik-bisik itu mula bergerak lebih jauh.

Bukan dalam bentuk tuduhan yang jelas.

Bukan dengan suara yang lantang.

Tetapi melalui ayat-ayat yang sengaja digantung.

"Entah kenapa dia jadi macam tu."

"Pelik juga, kan?"

"Sejak kebelakangan ni memang lain."

"Puisi itu pun bukan puisi biasa agaknya."

"Ada orang kata, kalau hati seseorang tiba-tiba berubah..."

Ayat itu tidak perlu dihabiskan.

Kerana orang yang mendengar sudah pandai menyambung sendiri.

Hanif yang kebetulan melalui ruang pantry bilik guru terdengar sebahagian daripada perbualan itu. Langkahnya terhenti.

Dia memandang beberapa orang guru yang sedang berbual.

"Kalau ada benda nak cakap, cakap depan-depan."

Suasana terus senyap.

Salah seorang guru lelaki tersenyum hambar.

"Kami bukan cakap apa pun, Hanif."

"Baguslah kalau bukan."

Hanif mengambil cawan di rak dan menuang air panas ke dalamnya.

Kemudian dia berkata lagi tanpa memandang mereka.

"Sebab kita guru. Kita ajar murid jangan menuduh tanpa bukti."

Tiada siapa membalas.

Hanif membawa cawannya keluar dari ruang pantry.

Di luar, Farah sedang berdiri tidak jauh dari situ. Jelas sekali dia juga mendengar.

"Teruk kalau benda ni merebak," kata Farah perlahan.

Hanif mengangguk.

"Memang."

"Awak rasa Amir tahu?"

Hanif memandang ke arah meja Amir.

Lelaki itu sedang menunduk menyemak buku latihan. Wajahnya tenang, tetapi ketenangan itu terlalu sunyi untuk dipercayai.

"Saya rasa dia tahu lebih banyak daripada yang kita sangka."

Farah menoleh.

"Maksud awak?"

Hanif terdiam seketika.

Kemudian menggeleng perlahan.

"Entahlah."

Dia sendiri tidak pasti apa yang dimaksudkannya.

Yang dia tahu, setiap kali melihat Amir memandang Nadia dan Qaseh, ada sesuatu yang tidak dapat dijelaskan pada wajah lelaki itu.

Bukan sekadar simpati.

Bukan sekadar rasa hormat.

Tetapi luka.

Luka yang terlalu lama disimpan.

************************************

Petang itu, Tengku Zafran datang untuk menjemput tunangnya.

Dia tidak masuk ke bilik guru. Dia hanya menunggu di kawasan parkir berhampiran pejabat sekolah.

"Awak nampak penat."

Nadia tersenyum lemah.

"Sedikit."

Di dalam kereta, perjalanan pulang bermula dalam keadaan sunyi.

Nadia memandang ke luar tingkap.

Zafran pula memandu tanpa banyak bicara.

Beberapa kali dia menoleh ke arah wanita di sebelahnya. Nadia masih di situ, duduk berhampirannya, tetapi entah mengapa terasa semakin jauh.

Jarak itu tidak dapat diukur dengan tangan.

Namun Zafran merasainya.

"Nadia."

"Ya?"

"Sejak malam itu, awak banyak diam."

Nadia tidak terus menjawab.

"Saya cuma penat."

"Awak selalu kata begitu."

Nada suara Zafran masih lembut, tetapi ada luka yang tidak mampu disembunyikan.

Nadia memandangnya.

"Saya tak tahu nak cakap apa."

"Pasal Amir?"

Soalan itu keluar sebelum Zafran sempat menahannya.

Nadia terus diam.

Diam itulah yang paling menyakitkan Zafran.

Kalau Nadia marah, dia mungkin boleh bertahan.

Kalau Nadia menafikan, dia mungkin boleh percaya.

Tetapi Nadia hanya diam.

Dan diam itu membuatkan segala ketakutan dalam dirinya semakin besar.

"Saya tak tuduh awak apa-apa," kata Zafran perlahan. "Saya cuma nak faham."

Nadia menundukkan pandangan.

"Saya sendiri tak faham."

Jawapan itu jujur.

Terlalu jujur.

Namun kepada Zafran, kejujuran itu tidak membawa ketenangan. Sebaliknya ia membuatkan dia semakin takut.

Kerana jika Nadia sendiri tidak memahami perasaannya, bagaimana dia mahu meyakinkan lelaki yang sedang menunggu untuk menikahinya?

************************************

Malam itu, Zafran pulang ke rumah keluarganya dengan fikiran yang berserabut.

Di ruang tamu, ibunya sedang berbual dengan seorang saudara perempuan yang datang berkunjung.

"Zafran."

"Ya, mama?"

"Wajah kamu muram dari tadi. Bergaduh dengan Nadia?"

"Tidak."

"Kalau tidak, kenapa muka macam itu?"

Zafran tersenyum hambar.

"Penat."

Saudara perempuan ibunya, Mak Long Rohana, memandangnya dengan mata yang lebih tajam. Wanita itu sudah berusia, tetapi cara dia membaca wajah orang membuatkan Zafran sedikit tidak selesa.

"Ini bukan muka penat."

Zafran diam.

Mak Long Rohana meletakkan cawan di atas meja.

"Ini muka orang risau kehilangan sesuatu."

Ibunya segera memandangnya.

"Zafran?"

Zafran menarik nafas panjang. Dia tidak mahu bercerita. Tidak mahu membuka ruang untuk orang lain masuk ke dalam urusan hatinya.

Tetapi malam itu, rasa takutnya sudah terlalu penuh.

"Nadia berubah," katanya akhirnya.

Ibunya terdiam.

"Berubah macam mana?"

"Dia banyak diam. Banyak termenung. Macam... macam fikirannya bukan dengan saya."

Mak Long Rohana memandangnya dengan lebih serius.

"Ada orang lain?"

Zafran segera menggeleng.

"Saya tak tahu."

Namun selepas beberapa saat, dia menyambung perlahan.

"Ada seorang guru lelaki di sekolah dia."

Ibunya mengerutkan dahi.

"Guru lelaki?"

"Namanya Amir."

Nama itu meluncur keluar dengan berat.

"Majlis makan malam sekolah baru-baru ini, lelaki itu baca puisi. Selepas itu Nadia pengsan."

Ibunya kelihatan terkejut.

"Pengsan?"

Zafran mengangguk.

"Sebelum pengsan, dia menangis. Dia... macam kenal lelaki itu."

Ruang tamu menjadi sunyi.

Mak Long Rohana memandang ibunya. Kemudian memandang Zafran semula.

"Zafran, mak long bukan nak menakutkan kamu."

Zafran sudah dapat meneka arah ayat itu.

"Mak long..."

"Dengar dulu."

Wanita itu bersuara perlahan, tetapi tegas.

"Kadang-kadang perkara macam ini bukan sekadar soal hati."

Zafran memejamkan mata seketika.

Dia lelaki yang dididik dengan logik. Dengan pendidikan. Dia tidak mudah percaya perkara yang tidak dapat dibuktikan.

Tetapi malam itu, hatinya sedang terlalu lemah untuk menolak semuanya.

"Mak long jangan mula."

"Saya tak kata apa-apa."

"Tapi mak long sedang fikir sesuatu."

Mak Long Rohana menghela nafas.

"Kalau seorang perempuan yang sudah hampir berkahwin tiba-tiba berubah, asyik termenung, asyik teringat orang tertentu, sampai pengsan bila orang itu baca sesuatu..."

Dia berhenti.

Tidak menghabiskan ayat.

Namun ayat yang tidak dihabiskan itu jauh lebih mengganggu daripada tuduhan yang jelas.

Ibunya mula gelisah.

"Rohana, jangan cakap macam-macam."

"Saya cuma suruh berhati-hati."

Zafran berdiri.

"Saya naik dulu."

"Zafran," panggil ibunya.

Dia berhenti, tetapi tidak berpaling.

"Apa pun yang berlaku, jangan buat keputusan dalam marah."

Zafran menelan liur.

"Saya tak marah, mama."

Tetapi dia tahu itu tidak sepenuhnya benar.

Dia bukan hanya marah.

Dia takut.

Dan ketakutan kadang-kadang jauh lebih berbahaya daripada kemarahan.

************************************

Di biliknya, Zafran berdiri lama di hadapan tingkap.

Kata-kata Mak Long Rohana berulang dalam fikirannya.

Asyik termenung.

Asyik teringat orang tertentu.

Pengsan selepas mendengar puisi.

Dia cuba menolak semua itu.

Cuba meyakinkan dirinya bahawa semua itu mengarut.

Namun setiap kali dia cuba menolak, wajah Nadia muncul kembali.

Wajah Nadia yang semakin jauh.

Wajah Nadia yang tidak lagi bersinar apabila berbicara tentang perkahwinan.

Wajah Nadia yang menangis ketika memandang Amir.

Zafran menggenggam langsir dengan kuat.

Dia tidak mahu percaya.

Tetapi dia juga tidak punya jawapan.

Akhirnya, dalam keheningan malam itu, satu soalan keluar daripada bibirnya.

Perlahan.

Pahit.

Dan penuh ketakutan.

"Apa sebenarnya yang awak dah buat pada Nadia, Amir?"

************************************

Di tempat lain, Amir duduk bersendirian di beranda rumahnya.

Malam itu tenang, tetapi hati Amir tidak.

Sejak pulang dari sekolah, dia dapat merasakan sesuatu yang ganjil.

Beberapa pandangan yang cepat-cepat dialihkan.

Beberapa suara yang tiba-tiba terhenti apabila dia melintas.

Dia tidak bodoh.

Dia tahu bila orang mula bercakap tentang dirinya.

Namun Amir hanya diam.

Seperti selalu.

Dia sudah terlalu biasa menjadi orang yang tidak diberi peluang menjelaskan apa-apa.

Dulu, dia dituduh tidak layak.

Kini, entah apa pula yang sedang disangkakan kepadanya.

Hati Amir terasa pedih.

Jika benar orang mahu menuduhnya, biarlah.

Dia sudah biasa menanggung luka.

Tetapi jangan sampai Qaseh terluka.

Jangan sampai Nadia semakin jauh kerana bisik-bisik manusia.

Dalam diam, dia berdoa.

Bukan supaya orang percaya kepadanya.

Bukan supaya namanya dibersihkan.

Tetapi supaya Nadia cukup kuat menghadapi apa sahaja yang sedang kembali ke dalam hidupnya.

Kerana bagi Amir...

Kebenaran hanya perlu tiba pada waktunya.

Dan dia masih percaya...

waktu itu akan datang.

Tamat Bab 44

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience