Series
1569
Amir melihat ke luar tingkap kereta, matanya kosong memandang lautan hijau yang melintas pantas di hadapannya. Setiap kilometer yang mereka lalui ke rumah Dato' Rizal terasa seperti satu perjalanan yang tiada penghujung.
Ibunya di sebelah, duduk diam, tetapi Amir tahu hati Mak Mah sedang berbicara. Berbicara untuk meredakan segala kecemasan yang bergumpal di dalam dirinya.
Dua tahun telah berlalu sejak Amir meninggalkan kampung untuk bekerja di Singapura. Semuanya demi satu tujuan, untuk membuktikan dirinya mampu mengumpulkan cukup wang agar dapat meminang Nadia.
Kerja kerasnya di negara asing itu tidak pernah mudah. Sering kali dia terpaksa bekerja lebih dari 12 jam sehari, melakukan pelbagai kerja, dari pencuci pinggan hingga ke pembantu kedai. Walaupun penat, setiap malam dia memikirkan wajah Nadia, wajah yang paling dirinduinya. Itu yang memberinya kekuatan.
Mak Mah memecahkan keheningan di dalam kereta. “Amir, kamu yakin dengan keputusan ini? Kamu tahu apa yang Dato’ Rizal pernah katakan sebelum ini.”
Amir mengangguk perlahan. “Mak, saya kena cuba. Kalau saya tak cuba, saya akan menyesal seumur hidup. Saya tak kisah kalau dia masih marah, asalkan saya tahu saya dah buat yang terbaik.”
********************************
(Sehari Sebelum Pinangan)
Sejak malam semalam, Mak Mah tidak dapat tidur dengan tenang. Hatinya berat. Dia tahu, cinta Amir pada Nadia tidak pernah luntur, tetapi dunia yang mereka diami tidak sama. Mak Mah, dengan penuh kasih, berbicara dengan anaknya di ruang tamu kecil mereka.
“Amir, kamu tahu Mak selalu sokong kamu. Tapi Mak takut kamu akan kecewa nanti,” katanya, memandang wajah anaknya yang tenang tetapi penuh harapan.
“Mak, saya tahu. Tapi Nadia layak dapat peluang bersama orang yang cintakan dia. Saya takkan berhenti selagi belum cuba,” balas Amir, matanya bersinar dengan tekad.
Mak Mah menghela nafas panjang. Dia tahu anaknya sudah membuat keputusan. “Kalau begitu, Mak akan sentiasa berada di belakang kamu. Apa pun yang terjadi, kita akan hadapi bersama.”
*****************************
(Hari Pinangan)
Pagi itu, Amir dan Mak Mah tiba di rumah besar Dato’ Rizal. Bangunan mewah itu masih seperti dulu, tetapi kehangatan yang pernah dirasai Amir di sana kini sudah lama hilang. Nadia sedang menunggu di ruang tamu, wajahnya sedikit tegang tetapi penuh harapan. Dia menundukkan pandangan, cuba mengelak bertentang mata dengan Amir.
Dato’ Rizal akhirnya masuk ke ruang tamu dengan langkah yang berat. Wajahnya dingin, menampakkan ketegasan seorang lelaki yang tidak suka dicabar.
“Jadi, apa yang kamu nak?” tanyanya dengan nada dingin, memandang Amir dengan mata yang tajam.
Amir menarik nafas panjang sebelum bersuara. “Dato’, saya datang untuk meminang Nadia. Saya tahu saya tak punya banyak harta, tapi saya berjanji saya akan jaga dia dengan sepenuh hati.”
Suasana di ruang tamu menjadi sunyi. Mata semua tertumpu kepada Dato’ Rizal, menunggu reaksinya. Namun, lelaki itu hanya ketawa kecil, nada yang penuh dengan sindiran.
“Amir, kamu lupa siapa diri kamu? Kamu cuma anak orang gaji di rumah ini. Kamu fikir cinta itu cukup untuk beri kebahagiaan pada Nadia? Tidak! Dia perlukan lelaki yang setanding dengan kedudukan dia,” katanya tegas.
Nadia yang mendengar itu menahan air mata. Dia tahu ayahnya tidak akan menerima Amir, tetapi mendengar kata-kata itu secara langsung membuatkan hatinya luluh.
“Ayah… Amir lelaki yang baik. Dia bekerja keras. Dia layak,” kata Nadia dengan suara yang bergetar.
“Diam, Nadia!” bentak Dato’ Rizal. “Saya takkan biarkan kamu merendahkan maruah keluarga ini.”
Amir menggenggam tangannya erat. Dia mahu mempertahankan dirinya, tetapi rasa hormat kepada Dato’ Rizal menghalangnya. “Dato’, saya bukan nak cabar kedudukan keluarga ini. Saya cuma mahu beri yang terbaik untuk Nadia.”
Namun, kata-kata itu tidak merubah apa-apa. Dato’ Rizal hanya menggeleng dengan dingin. “Keluar dari rumah ini. Jangan pernah jejakkan kaki kamu ke sini lagi.”
Amir terdiam, hatinya seperti dirobek. Namun, dia tahu cinta mereka lebih besar daripada kata-kata Dato’ Rizal.
*****************************
(Selepas Pinangan Ditolak)
Beberapa hari kemudian, mereka menyeberangi sempadan ke Thailand, ditemani Mak Mah yang memahami betapa kuatnya cinta mereka. Dalam sebuah masjid kecil di sebuah kampung asing, mereka disatukan dengan lafaz akad nikah yang penuh emosi.
“Aku terima nikahnya… Nadia binti Rizal… dengan mas kahwin…” suara Amir bergetar, tetapi penuh keyakinan.
Air mata mengalir di pipi Nadia ketika dia sah menjadi isteri kepada lelaki yang paling dicintainya. Walaupun suasana sederhana, momen itu menjadi kenangan paling indah dalam hidup mereka.
Mak Mah menggenggam tangan kedua-duanya selepas majlis selesai. “Amir, Nadia… hidup kamu selepas ini takkan mudah. Tapi mak yakin, cinta kamu cukup kuat untuk mengatasi segalanya.”
Selepas pernikahan, mereka berpindah ke sebuah kampung kecil yang terpencil di sempadan negeri. Tempat itu jauh dari kemewahan, tetapi cukup untuk mereka memulakan hidup baharu tanpa gangguan..
***************************
(Kehidupan Baru)
Setiap pagi, Nadia bangun awal untuk membantu Mak Mah di dapur. Tangannya yang halus kini terbiasa dengan kerja rumah. Mak Mah sering memandang menantunya dengan penuh kasih sayang.
“Nadia,” kata Mak Mah suatu pagi, “kamu tak pernah hidup macam ni. Tak susah ke?”
Nadia tersenyum, menyapu peluh di dahinya. "Mak, susah tu tak penting. Yang penting, saya ada Amir dan Mak. Itu cukup untuk saya."
Amir pula bekerja keras di bengkel kereta di pekan berhampiran. Setiap kali pulang, dia disambut dengan senyuman Nadia dan hidangan sederhana di meja kecil mereka.
Namun, di sebalik senyuman itu, Nadia masih memikirkan ayahnya. Setiap malam, dia termenung memandang bintang-bintang, berharap agar suatu hari nanti, Dato’ Rizal akan memahami cintanya.
Di rumah besar, Dato’ Rizal berdiri di balkoni, memandang ke arah taman yang sunyi. Di mejanya, sebuah bingkai gambar Nadia masih berdiri tegak. Matanya penuh dengan kerinduan, tetapi egonya menghalangnya untuk mencarinya.
“Nadia…” bisiknya perlahan. “Di mana kamu sekarang?”
Di rumah kecil mereka, Nadia memandang Amir yang sedang membaiki gitar kecilnya bersama Mak Mah di ruang tamu. Dia tersenyum. Hatinya penuh dengan rasa syukur, walaupun dia tahu perjalanan mereka baru sahaja bermula.
TAMAT BAB 3
Share this novel