Bab 13: Pertanyaan Tak Terjawab

Romance Series 1569

Sejak lagu Tidurlah Puteriku bergema di dewan sekolah, fikiran Nadia tidak pernah tenang.

Setiap kali dia cuba melupakan melodi itu, ia kembali berputar di dalam kepalanya. Dan kini, mimpi-mimpi aneh mula menghantuinya.
 
Dia bermimpi sedang berada di sebuah rumah kecil yang asing tetapi terasa begitu akrab.

Di tangannya, dia membuai seorang kanak-kanak kecil yang tertidur sambil menyanyikan lagu yang sama.

Senyumannya, dan kehangatan rumah itu seolah-olah menariknya kembali ke sesuatu yang pernah hilang.
 
Setiap kali dia terbangun dari mimpi itu, dadanya terasa berat, seperti ada sesuatu yang tidak selesai.

Di biliknya yang sunyi, Nadia termenung panjang, memandang keluar jendela. “Siapa mereka? Kenapa perasaan ini semakin kuat?” bisiknya sendiri.

Kehangatan Hubungan dengan Qaseh
Di sekolah, hubungannya dengan Qaseh menjadi semakin rapat.

Kanak-kanak itu sering menemaninya di bilik guru selepas waktu persekolahan, membawa cerita-cerita kecil yang menceriakan hari-harinya.

Qaseh menjadi seperti cahaya kecil dalam hidup Nadia, yang kini sering kelam oleh persoalan yang tidak dapat dijawab.
 
Suatu hari, Qaseh mendekatinya dengan wajah ceria sambil membawa sebuah kotak kecil. “Cikgu, ini kek cawan untuk cikgu!” katanya dengan penuh semangat.
 
Nadia terkejut, tersenyum lebar. “Qaseh, terima kasih! Cantiknya kek cawan ni. Awak buat sendiri ke?”
 
“Tidaklah. Saya dengan nenek beli sama-sama. Tapi saya yang pilih warna ni. Warna biru sebab nenek kata cikgu suka warna ni,” jawab Qaseh sambil tersenyum lebar.
 
Nadia ketawa kecil, memeluk Qaseh erat. “Awak sangat istimewa, Qaseh. Terima kasih banyak.”
 
Ketika mereka berdua masih di bilik guru yang sudah kosong, Qaseh tiba-tiba bersuara, “Cikgu, boleh kita ambil gambar bertiga? Saya, cikgu, dan ayah saya?” Qaseh bertanya dengan mata yang bersinar, penuh dengan harapan.

Nadia tersenyum tanpa ragu. “Sudah tentu! Mana ayah awak?”

Amir, yang sedang berdiri di tepi pintu dengan wajah tenang, sedikit terkejut mendengar permintaan itu. Dia memandang Qaseh, kemudian ke arah Nadia.

Dadanya terasa berat. Hati kecilnya berbisik bahawa ini bukan idea yang baik, tetapi mata Qaseh yang penuh harapan membuatkan dia tidak mampu berkata tidak.

“Qaseh…” Amir memulakan, cuba mencari alasan yang munasabah. “Mungkin lain kali. Ayah rasa ini bukan masanya.”

“Kenapa pula? Takkanlah gambar pun ayah tak nak ambil?” Qaseh memuncungkan bibirnya, tanda merajuk. “Tolonglah, ayah. Sekejap je. Untuk saya?”

Amir menarik nafas panjang, memandang Nadia seketika. Wanita itu kelihatan keliru tetapi tetap memberikan senyuman kecil yang seolah-olah cuba menenangkan situasi. Akhirnya, Amir mengalah.

“Baiklah, Qaseh. Sekejap saja, ya,” katanya, dengan nada yang pasrah tetapi lembut.
Qaseh bersorak gembira, menarik tangan Nadia dan memaksa Amir duduk di sofa kecil di bilik guru itu.

Dia mengambil tempat di tengah-tengah pangkuan Nadia, memegang erat tangan cikgunya, sambil tersenyum lebar ke arah kamera.

Amir, walaupun senyumannya muncul di wajah, hatinya dipenuhi dengan emosi yang bercampur-baur.

Dia tidak dapat lari dari rasa serba salah, tetapi dia tahu betapa pentingnya momen ini untuk anaknya.

“Klik!” Gambar itu dirakam.
 
Namun, sesuatu tentang posisi itu menyentuh hati Nadia. Ketika Qaseh ketawa dan menunjukkan gambar di telefon, Nadia merasakan deja vu yang aneh. Posisi itu terasa begitu akrab, tetapi dia tidak dapat mengingatinya.
 
“Cantiknya gambar ni,” kata Qaseh, tertawa kecil. “Macam… macam keluarga sebenar.”
 
Nadia hanya diam, tersenyum lemah. Tetapi di hatinya, ada sesuatu yang mula menggugah.

Namun, dia tidak mampu mengingati apa-apa, ingatannya tentang masa lalu masih terkunci kemas. Hanya nalurinya sahaja yang mula menjentik jiwa.
 
***************************************
Di dalam kereta, Amir memandu dalam kesunyian yang tegang. Qaseh di tempat duduk belakang, berceloteh ceria tentang betapa cantiknya gambar tadi.

“Ayah, gambar tadi macam dalam cerita dongeng! Kita macam keluarga kecil yang bahagia,” katanya dengan nada penuh gembira.

Amir tidak membalas. Tangannya menggenggam stereng dengan erat, dan fikirannya melayang jauh. Gambar yang mereka ambil tadi, mengingatkannya tentang sesuatu peristiwa silam.

Posisi itu, suasana itu… semuanya terasa terlalu serupa. Hatinya terasa seperti direjam dengan sesuatu yang sukar dijelaskan.

Tiba-tiba, ingatan lamanya muncul kembali, menghantui fikirannya. Gambar keluarga mereka yang diambil 8 tahun lalu bersama isteri dan anaknya, hari ini terulang kembali.

Degup jantungnya semakin laju. Wajahnya menjadi pucat. Bagaimana mungkin momen itu berlaku lagi, dengan posisi yang hampir sama?
 
Sebaik sahaja tiba di rumah, Qaseh melompat keluar dari kereta dengan riang, terus berlari ke dalam rumah. “Ayah, saya nak tunjuk gambar ni pada nenek!"

Amir hanya mengangguk lemah, memerhatikan anaknya dengan senyuman tawar. Namun, kakinya terasa berat untuk melangkah masuk.

Dia duduk kembali di kerusi pemandu, tangan masih menggenggam stereng. Nafasnya terasa berat, dan matanya terarah pada tempat duduk kosong di sebelahnya.

Nadia… jika kau tahu apa yang aku rasa sekarang…

Amir meraba dompet di poketnya, menarik keluar sesuatu yang telah lama dia simpan. Sebuah gambar lama yang lusuh.

Di dalam gambar itu, dia dan Nadia duduk bersama, dengan kanak-kanak kecil di tengah pangkuan Nadia. Sama seperti gambar tadi.

Matanya berkaca.
“Kenapa kau tak ingat, Nadia? Kenapa kau tak nampak?” bisiknya perlahan, dengan suara yang sarat dengan penyesalan dan kerinduan.

Namun, dia tahu, terlalu banyak rahsia yang dia simpan. Terlalu banyak luka yang tidak pernah sembuh.

Dan kini, takdir yang sudah tertulis, mengulangi sesuatu yang sepatutnya sudah terkubur dalam masa lalu.

Tamat Bab 13

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience