Bab 9: Janji yang Terlupakan

Romance Series 1569

Dewan hotel malam itu dihiasi indah, dipenuhi dengan cahaya lampu yang mencerminkan suasana elegan. Guru-guru tampil mempesona dalam pakaian terbaik mereka.

Gelak tawa dan perbualan ceria memenuhi ruangan, tetapi bagi Amir, malam itu hanyalah satu lagi ujian untuk menahan kepedihan yang tidak tertanggung.
 
Dia duduk di meja paling hujung, cuba mengasingkan diri daripada perhatian. Tetapi matanya tetap tidak dapat dialihkan daripada Nadia, yang kelihatan anggun dalam gaun pastel lembut.

Wanita itu berdiri tidak jauh, berbual mesra dengan rakan-rakan sejawat yang lain, tersenyum seperti tiada apa yang pernah hilang dalam hidupnya.
 
Pengerusi majlis naik ke pentas dengan mikrofon di tangan.

“Hadirin sekalian, kini tibalah saat yang kita tunggu-tunggu. Persembahan khas daripada guru muzik kita yang berbakat besar, Cikgu Nadia!”
 
Tepukan bergema di seluruh dewan. Nadia melangkah naik ke pentas, senyuman manis terukir di wajahnya. Dia memegang mikrofon dengan tenang, matanya menyapu hadirin.
 
“Terima kasih semua. Malam ini, saya ingin menyanyikan sebuah lagu yang saya cipta sendiri,” katanya dengan nada lembut tetapi jelas.
 
Amir terasa nafasnya terhenti. Lagu itu. Dia tahu lagu yang akan dinyanyikan sebelum bait pertama pun bermula.

Ketika melodi itu mengisi ruang, dia dapat merasakannya. Itu lagu Teguh! Lagu yang pernah menjadi lambang cinta mereka.
 
Setiap lirik yang dinyanyikan Nadia menusuk hati Amir. Ingatannya kembali ke malam ketika janji itu pertama kali diungkapkan.
 
“Amir, janji saya, setiap kali awak dengar saya menyanyikan lagu ini, awak perlu memberikan saya sekuntum bunga. Tidak kira di mana, tidak kira bila.”
 
“Dan kalau suatu hari nanti… awak tak mahu menerima bunga itu lagi?” tanya Amir dengan nada bergurau.

Nadia ketawa kecil. “Itu mustahil, Amir. Saya akan sentiasa menerima bunga itu. Sebab bunga itu adalah tanda cinta kita yang takkan pernah pudar. Awak janji, Amir?”
 
“Ya, saya janji. Setiap kali awak nyanyi lagu ini, saya akan beri bunga. Tak kira bila, tak kira di mana,” jawab Amir dengan penuh rasa cinta.
 
Malam ini, janji itu kembali menghantui Amir. Wanita di pentas itu ialah wanita yang sama, tetapi dia tidak lagi mengingati janji mereka.
 
Ketika lagu itu hampir selesai, Amir bangkit dari tempat duduknya. Tangannya kosong, tetapi matanya terpaku pada sekuntum bunga ros merah di atas meja berhampiran.

Dia mengambil bunga itu tanpa ragu, langkahnya perlahan menuju ke pentas.
 
Nadia menyelesaikan nyanyiannya dengan mata tertutup, penuh penghayatan. Dia mendengarkan tepukan bergema di seluruh dewan.

Tetapi ketika dia membuka mata, dia melihat Amir berdiri di hadapannya. Semua orang di dewan memandang mereka dengan penuh tanda tanya.
 
Amir menghulurkan bunga itu. Tangannya sedikit bergetar, tetapi dia tetap berdiri tegak. Matanya berkaca, tetapi dia menahan air matanya daripada jatuh.
 
“Nadia… ini untuk awak,” katanya perlahan.
 
Nadia memandang bunga itu dengan pandangan terkejut. Dewan menjadi senyap seketika, dan semua mata tertumpu pada mereka.

Wajah Nadia berubah menjadi serba salah. Dia menoleh ke arah guru-guru di bawah pentas, dan bisikan halus mula kedengaran.
 
“Amir…” katanya perlahan, suaranya hampir tersekat. “Saya tak boleh terima ini. Saya minta maaf.”
 
Bunga itu masih di tangan Amir. Dia kaku di tempatnya, tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Matanya berkaca, dan akhirnya air mata yang dia cuba tahan tumpah jua. Dia berdiri di situ, terpaku, hatinya luluh dalam diam.

Cikgu Hanif, yang duduk di salah satu meja, segera bangkit dan melangkah ke pentas. Dia memegang bahu Amir dengan lembut. “Amir, sudah… jom turun,” bisiknya.
 
Amir tidak bergerak. Matanya masih tertumpu pada Nadia, yang kini memandangnya dengan wajah keliru dan bersalah.

Bunga di tangannya tergantung di udara, seolah-olah menunggu untuk diterima, tetapi dia tahu bunga itu tidak akan ke mana-mana.
 
“Amir, jom,” kata Hanif sekali lagi, nada suaranya lebih mendesak.
 
Akhirnya, Amir membiarkan dirinya ditarik turun. Tangannya masih memegang bunga itu erat, tetapi hatinya sudah hancur.

Setiap langkah terasa berat, dan dia dapat merasakan semua mata di dewan memandangnya dengan pelbagai emosi. Ada yang simpati, ada yang keliru, dan ada yang sinis.
 
Di atas pentas, Nadia berdiri kaku, memandang bunga yang masih di tangan Amir. Dia ingin berkata sesuatu, tetapi lidahnya kelu.

Dalam hati, dia tidak faham kenapa tindakan Amir itu membuatkan hatinya berasa seperti dihimpit beban yang berat.

************************************
 
(Janji yang Tetap Dipegang)
Malam itu, Amir pulang ke rumah sendirian. Qaseh tidak bersamanya; anak kecil itu tinggal di rumah bersama Mak Mah, tidak menyedari apa yang berlaku malam ini. Amir duduk di ruang tamu, memandang bunga ros yang masih di tangannya.
 
Matanya berkaca, dan dia akhirnya membiarkan dirinya menangis dalam kesunyian.

“Nadia…” bisiknya perlahan, suara itu hampir tidak kedengaran.

“Aku masih ingat janji itu. Aku masih pegang cinta itu… walaupun kau tak ingat lagi.”
 
Di tempat lain, Nadia duduk di tepi katilnya. Dia memandang cermin, cuba memahami apa yang dia rasa malam ini. Fikirannya melayang kepada bunga ros yang dihulurkan Amir.
 
“Kenapa bunga itu… terasa begitu penting?” bisiknya, tetapi tiada jawapan yang datang. Yang ada hanyalah kekosongan dalam hati yang tidak dapat dia jelaskan.

“Kenapa aku rasa seperti telah mengecewakan dia?” bisiknya perlahan. Hatinya terasa tidak keruan.
 
Lagu Teguh yang dia nyanyikan malam itu kembali bermain dalam ingatannya. Setiap lirik, setiap melodi, terasa seperti sesuatu yang pernah dia alami tetapi tidak mampu diingati sepenuhnya.

Dia mengambil telefon bimbitnya dan membuka galeri gambar. Foto dirinya bersama Zafran terpampang di skrin, tetapi untuk pertama kalinya, dia tidak merasakan kehangatan yang biasa dia rasai. Sebaliknya, rasa bersalah semakin menghimpitnya.
 
“Zafran baik… dia sempurna,” kata Nadia kepada dirinya sendiri, tetapi hatinya tidak mahu percaya sepenuhnya.

Tamat Bab 9

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience