Series
1569
Malam itu, Nadia sukar menumpukan perhatian pada apa yang sedang dilakukannya.
Beberapa kali dia membuka buku yang ingin dibaca. Beberapa kali juga dia menutupnya semula tanpa memahami walau satu halaman.
Fikirannya tetap kembali kepada perkara yang sama.
Qaseh.
Dan satu perkataan yang terlepas daripada bibirnya petang tadi.
Maaf.
Nadia mengeluh perlahan.
Dia masih tidak memahami kenapa perkataan itu keluar begitu sahaja.
Qaseh hanya bercerita tentang ibunya.
Tentang rasa kosong yang dipendam sejak sekian lama.
Namun entah mengapa, Nadia pula yang terasa seperti orang yang bersalah.
Maaf.
Seolah-olah dia sedang meminta ampun atas sesuatu yang tidak pernah dilakukannya.
Atau mungkin...
sesuatu yang tidak dapat diingatinya.
Nadia segera menggeleng.
Dia tidak mahu fikirannya melayang terlalu jauh.
Namun untuk malam kedua berturut-turut, nama Qaseh menjadi perkara terakhir yang bermain dalam fikirannya sebelum dia terlena.
**********************************
Keesokan harinya, sekolah berjalan seperti biasa.
Murid-murid memenuhi koridor dengan suara riang mereka. Guru-guru pula sibuk bergerak dari satu kelas ke satu kelas.
Nadia sedang berjalan menuju ke bilik guru apabila dia ternampak seorang murid duduk bersendirian di bangku berhampiran kantin.
Qaseh.
Anak kecil itu sedang memegang sekeping roti yang masih berbungkus.
Tetapi dia tidak memakannya.
Entah mengapa, Nadia berhenti melangkah.
"Qaseh."
Qaseh segera mengangkat kepala.
Wajahnya terus berubah ceria.
"Cikgu!"
Nadia menghampiri.
"Kenapa tak makan lagi?"
Qaseh memandang roti di tangannya.
"Saya tak lapar sangat."
Nadia mengerutkan dahi.
"Pagi tadi sarapan tak?"
Qaseh terdiam.
Itu sudah cukup memberikan jawapan.
Tanpa berkata apa-apa lagi, Nadia berpaling ke arah kantin.
Tidak lama kemudian dia kembali dengan sekotak susu coklat di tangan.
"Nah."
Qaseh memandang kotak susu itu.
"Cikgu..."
"Minum."
"Tapi..."
"Qaseh nak cikgu marah?"
Anak kecil itu segera menggeleng.
Nadia tersenyum kecil.
"Kalau macam tu, habiskan."
Qaseh mengambil susu tersebut perlahan-lahan.
Matanya tidak lepas memandang wajah Nadia.
"Terima kasih, cikgu."
Nadia hanya mengangguk sebelum menyambung langkahnya ke bilik guru.
Baginya, perkara itu sangat kecil.
Terlalu kecil.
Namun dia tidak sedar bahawa Qaseh memegang kotak susu itu lebih lama daripada yang sepatutnya.
Seolah-olah ia sesuatu yang sangaot berharga.
**********************************
Petang itu, Amir dan Qaseh masuk ke dalam kereta seperti biasa selepas tamat waktu persekolahan.
Sebaik sahaja enjin dihidupkan, Qaseh tersenyum sendirian.
Amir yang sedang memasang tali pinggang keledar memandang sekilas.
"Senyum apa tu?"
Qaseh cepat-cepat memalingkan muka ke luar tingkap.
"Tak ada."
"Betul?"
Qaseh mengangguk laju.
Tetapi senyumannya masih belum hilang.
Amir hanya menggeleng kecil.
Dia mengenali anaknya.
Terlalu mengenali.
Qaseh bukan pandai menyembunyikan kegembiraan.
Beberapa minit kemudian, akhirnya anak kecil itu sendiri yang membuka cerita.
"Hari ni Cikgu Nadia belikan susu."
Amir memandangnya.
"Yakah?"
Qaseh mengangguk.
"Susu coklat."
Seolah-olah itu perkara paling menarik yang berlaku pada hari tersebut.
Amir tersenyum.
Namun senyumannya perlahan-lahan pudar apabila melihat sinar pada mata anaknya.
Sinar yang sudah lama tidak dilihat.
Harapan.
"Mungkin cikgu nampak Qaseh tak sarapan."
"Ya."
Qaseh mengangguk.
Tetapi beberapa saat kemudian dia menambah perlahan.
"Atau mungkin sebab cikgu ambil berat pasal saya."
Amir tidak terus menjawab.
Dia hanya memandang jalan raya di hadapan.
Hatinya mula terasa tidak sedap.
**********************************
Malam itu, ketika sedang menyiapkan kerja sekolah, Qaseh mengeluarkan kotak susu yang telah kosong daripada begnya.
Amir yang kebetulan lalu di ruang tamu berhenti melangkah.
"Kenapa simpan benda tu?"
Qaseh segera menutup kotak susu itu dengan kedua-dua tangannya.
Macam orang menyembunyikan harta karun.
"Saja."
Amir mengangkat kening.
"Saja?"
Qaseh tersengih.
Kemudian dia menundukkan kepala sedikit.
"Sebab Cikgu Nadia yang bagi."
Amir terdiam.
Entah mengapa, jawapan itu membuatkan dadanya terasa berat.
Bukan kerana dia cemburu.
Bukan kerana dia marah.
Tetapi kerana dia tahu apa yang sedang berlaku.
Perhatian kecil daripada Nadia sedang menjadi sesuatu yang besar dalam hati anaknya.
Terlalu besar.
**********************************
Malam semakin larut.
Qaseh sudah berada di atas katil.
Seperti biasa, Amir duduk di sisi sebelum anaknya tidur.
Beberapa minit berlalu dalam keadaan sunyi.
Kemudian Qaseh bersuara.
"Ayah."
"Ya?"
Qaseh memandang siling.
"Saya masih teringat semalam."
Amir menoleh.
"Teringat apa?"
"Masa cikgu tanya pasal ibu."
Amir tidak terkejut.
Dia sudah dapat meneka.
Namun dia tetap mendengar.
"Hari ni cikgu belikan susu."
Amir tersenyum nipis.
"Baguslah."
Qaseh mengangguk perlahan.
Kemudian dia diam.
Lama.
Seolah-olah sedang mengumpul keberanian untuk bertanya sesuatu.
"Ayah..."
"Ya?"
Kali ini suara Qaseh hampir menjadi bisikan.
"Ayah rasa ibu akan ingat saya tak lama lagi?"
Amir membeku.
Soalan itu datang seperti yang ditakutinya.
Dia memandang wajah anaknya.
Wajah yang penuh harapan.
Wajah yang sedang menunggu jawapan.
Dan buat pertama kalinya sejak sekian lama, Amir tidak tahu apa yang perlu dikatakan.
Kerana dia sendiri sedang menunggu jawapan yang sama.
Tamat Bab 16
Share this novel