Series
1569
Pagi Sabtu itu, suasana sekolah sedikit berbeza daripada biasa.
Walaupun hari cuti, kawasan sekolah tetap meriah.
Sebuah bas persiaran sedang menunggu di hadapan pejabat sekolah.
Guru-guru mula tiba seorang demi seorang dengan beg galas masing-masing.
Program Jati Diri dan Team Building Guru SK Pasir Panjang akhirnya tiba.
Dua hari satu malam.
Kem Jugra.
Bagi sesetengah guru, program itu sesuatu yang menyeronokkan.
Bagi sesetengah yang lain pula...
ia sekadar satu lagi kursus yang wajib dihadiri.
"Aku dah tua, suruh panjat bukit pula."
Hanif mengomel sambil mengangkat beg galasnya.
"Belum panjat lagi dah mengeluh."
Farah ketawa.
Hanif menjeling.
"Awak tunggu nanti."
Farah ketawa semakin kuat.
Suasana riuh-rendah memenuhi dataran sekolah.
Di hujung sana, Nadia sedang memegang fail peserta sambil menyemak senarai kehadiran.
Wajahnya tenang seperti biasa.
Namun jauh di sudut hati...
ketenangan itu sebenarnya semakin sukar dipertahankan.
Sejak pulang dari Kem Al-Fateh, terlalu banyak perkara bermain dalam fikirannya.
Tentang Qaseh.
Tentang ibu Qaseh.
Tentang lagu yang tidak diketahui asal-usulnya.
Dan tentang dirinya sendiri.
Kadangkala dia merasakan hidupnya sedang bergerak seperti biasa.
Namun pada masa yang sama...
ada sesuatu yang sedang berubah.
Perlahan-lahan.
Sedikit demi sedikit.
"Nadia."
Dia mengangkat kepala.
Guru Besar sedang berdiri di hadapannya.
"Bas dah nak bergerak."
"Oh. Baik, cikgu."
Nadia segera menutup fail di tangannya.
Beberapa minit kemudian, semua guru memenuhi tempat duduk masing-masing.
Dan tanpa disedari sesiapa...
perjalanan kecil itu bakal membawa mereka lebih dekat kepada sesuatu yang telah lama tertangguh.
************************************
Perjalanan ke Kem Jugra mengambil masa hampir dua jam.
Kebanyakan guru berbual sesama sendiri.
Ada yang tidur.
Ada yang sibuk mengambil gambar.
Ada yang sudah mula mengeluh tentang aktiviti yang bakal dijalankan.
Nadia memilih tempat duduk berhampiran tingkap.
Matanya memandang pemandangan yang berlalu di luar.
Sawah.
Ladang kelapa sawit.
Rumah-rumah kampung.
Segalanya bergerak perlahan di sebalik kaca tingkap.
Namun fikirannya jauh melayang.
Tanpa sedar, pandangannya beralih ke hadapan.
Beberapa baris tempat duduk di depannya...
Amir sedang berbual dengan Hanif.
Sesekali mereka ketawa.
Sesekali Amir menggeleng sambil mendengar cerita rakannya.
Nadia memerhati seketika.
Kemudian mengalihkan pandangan.
Namun entah mengapa...
satu perkara mula disedarinya.
Amir jarang bercakap.
Tetapi apabila dia bercakap...
orang akan mendengar.
Dan itu bukan kali pertama dia menyedarinya.
************************************
Kem Jugra menyambut mereka dengan udara pagi yang nyaman.
Pokok-pokok tinggi mengelilingi kawasan kem.
Bukit-bukit menghijau berdiri megah di kejauhan.
Selepas sesi taklimat dan pembahagian kumpulan, aktiviti pertama bermula.
Explorace hutan.
Mereka berjalan menyusuri laluan yang dikelilingi pokok-pokok besar.
Pada awalnya semuanya berjalan lancar.
Namun selepas hampir empat puluh minit berjalan, kumpulan mereka mula keliru.
Masing-masing memberikan pendapat.
Masing-masing yakin mereka betul.
Ketika itulah Amir mengambil peta.
Dia menelitinya beberapa saat.
Kemudian menunjuk satu arah.
"Kita patah balik."
"Lima puluh meter."
"Lepas tu ambil laluan kiri."
Dan seperti yang dijangkakannya...
laluan itu memang betul.
Farah menghela nafas lega.
"Nasib baik."
Hanif pula menggeleng.
"Aku memang tak suka orang yang selalu betul."
Gelak ketawa kembali kedengaran.
Nadia hanya tersenyum.
Entah kenapa.
Semakin lama dia berada dalam kumpulan yang sama dengan Amir...
semakin banyak perkara kecil tentang lelaki itu mula diperhatikannya.
Amir tidak suka menjadi perhatian.
Tetapi apabila keadaan memerlukan seseorang membuat keputusan...
dia akan melakukannya.
Tenang.
Tanpa banyak cakap.
Tanpa cuba menonjolkan diri.
************************************
Aktiviti mendaki bukit bermula selepas makan tengah hari.
Cuaca agak panas.
Laluan pula semakin mencabar apabila mereka menghampiri kawasan berbatu.
Peluh mula membasahi wajah semua peserta.
Ketika menuruni satu cerun yang agak curam...
tapak kasut Nadia tergelincir.
"Ah!"
Tubuhnya terhuyung ke hadapan.
Namun sebelum dia sempat jatuh...
satu tangan sempat memegang lengannya.
Amir.
Beberapa saat berlalu.
Masing-masing membeku.
"Awak okey?"
Nadia segera mengangguk.
"Okey."
"Yakin?"
"Yakin."
Amir masih tidak melepaskan pegangannya.
"Nampak macam tak yakin."
Nadia terus ketawa kecil.
"Saya memang okey."
"Kalau okey, jangan jalan macam nak berlumba."
"Saya tak berlumba."
"Satu kumpulan nampak awak berlumba."
Nadia ketawa lagi.
Kali ini lebih lepas.
Lebih semula jadi.
Dan buat pertama kalinya...
perbualan mereka terasa begitu mudah.
Tanpa kekok.
Tanpa jarak.
Seolah-olah mereka sudah lama berkawan.
************************************
Petang itu mereka memasak bersama.
Malamnya pula sesi refleksi diri diadakan.
Suasana dewan menjadi sunyi.
Seorang demi seorang guru berkongsi kisah hidup masing-masing.
Kemudian tiba giliran Amir.
Fasilitator tersenyum.
"Jika masa boleh diundur semula, apakah satu perkara yang cikgu mahu ubah?"
Amir terdiam agak lama.
Kemudian menjawab.
"Saya mahu pulang lebih awal pada malam itu."
Sunyi.
Fasilitator memandangnya.
"Malam apa?"
Amir tersenyum nipis.
Namun senyumannya kelihatan letih.
"Malam yang mengubah seluruh hidup saya."
Dan dia tidak berkata apa-apa lagi.
Namun entah mengapa...
jawapan ringkas itu terasa jauh lebih berat daripada cerita panjang orang lain.
Nadia menundukkan pandangan.
Dadanya terasa sesak.
Untuk sebab yang tidak mampu dijelaskan.
************************************
Aktiviti tamat hampir pukul sebelas malam.
Guru-guru mula bergerak ke chalet masing-masing.
Nadia turut bangun.
Namun beberapa langkah kemudian...
dia teringat sesuatu.
Fail programnya tertinggal di dewan.
"Aduh."
Dia berpatah balik.
Kawasan kem ketika itu sudah sunyi.
Lampu-lampu kecil menerangi laluan pejalan kaki.
Ketika melalui sebuah gazebo berhampiran tasik...
langkahnya terhenti.
Ada seseorang di situ.
Duduk bersendirian.
Menghadap permukaan tasik yang gelap.
Amir.
Dan ketika itulah...
satu suara perlahan menyapa pendengarannya.
"Tidurlah puteriku..."
Nadia membeku.
Lagu itu.
Lagu yang pernah didengarnya daripada Qaseh.
Lagu yang pernah dinyanyikannya sendiri ketika Qaseh demam.
Lagu yang entah bagaimana sentiasa membuatkan hatinya terasa sayu.
Amir masih tidak menyedari kehadirannya.
Suaranya perlahan.
Hampir seperti bisikan.
"Dengarlah nasihat ibu..."
Nadia memejamkan mata seketika.
Dan untuk sesaat...
sesuatu bergetar jauh di dalam dirinya.
Kabur.
Samar.
Namun cukup untuk membuatkan jantungnya berdegup laju.
Sebelum dia sempat berfikir...
bibirnya bergerak sendiri.
"...dikaulah penyeri istana cinta yang dibina..."
Nyanyian Amir terhenti.
Perlahan-lahan dia mengangkat kepala.
Mata mereka bertemu.
Sunyi.
Terlalu sunyi.
Nadia sendiri membulatkan mata.
Dia tidak tahu kenapa ayat itu keluar daripada bibirnya.
Dia tidak pernah melihat lirik tersebut.
Tidak pernah membacanya.
Tidak pernah mendengarnya daripada Qaseh.
Namun ia terasa begitu biasa.
Seolah-olah pernah menjadi sebahagian daripada dirinya.
"Maaf..."
suaranya perlahan.
"Saya tak tahu kenapa saya boleh sambung."
Amir tidak menjawab.
Dia hanya memandang wanita itu.
Dan di dalam dadanya...
sesuatu sedang bergoncang hebat.
Kerana Amir tahu sesuatu yang Nadia tidak tahu.
Baris yang baru sahaja dinyanyikan wanita itu...
ialah baris terakhir lagu tersebut.
Baris yang pernah dihafalnya suatu ketika dahulu.
Baris yang pernah didengarnya hampir setiap malam daripada suara Nadia ketika Qaseh masih kecil.
Namun selepas lapan tahun...
ingatannya terhadap lagu itu tidak lagi sempurna.
Pada mulanya dia masih mampu menyanyikan keseluruhan lagu tersebut.
Tetapi sedikit demi sedikit...
beberapa bait mula kabur.
Dan akhirnya...
dia tidak lagi mengingati bagaimana lagu itu berakhir.
Setiap kali mendodoikan Qaseh...
dia akan berhenti sebelum sampai ke penghujungnya.
Kerana dia sendiri sudah terlupa.
Namun malam ini...
Nadia telah menyambung baris yang hilang itu.
Dengan tepat.
Tanpa teragak-agak.
Dan ketika itulah...
Amir turut teringat semula.
Ya.
Itulah penghujung lagu tersebut.
Penghujung yang telah hilang daripada ingatannya selama bertahun-tahun.
Buat pertama kalinya selepas sekian lama...
harapan yang hampir mati itu terasa hidup kembali.
Kerana jika Nadia masih mampu mengingati lagu itu...
mungkin masih ada bahagian lain dalam dirinya yang sedang berusaha untuk pulang.
Angin malam terus bertiup perlahan.
Permukaan tasik masih tenang.
Namun di antara dua insan itu...
sesuatu telah berubah.
Dan tiada seorang pun daripada mereka yang benar-benar menyedarinya.
Tamat Bab 32
Share this novel