Series
1569
Malam itu, selepas perbualan panjang mereka di tangga rumah, Qaseh akhirnya tertidur di pangkuan Amir.
Anak kecil itu menangis terlalu banyak malam itu.
Mungkin kerana buat pertama kali dia memahami betapa besar luka yang ditanggung ayahnya selama ini.
Amir mengangkat tubuh kecil Qaseh perlahan-lahan lalu membawanya masuk ke dalam bilik.
Dia menyelimutkan anaknya dengan penuh kasih sebelum memandang wajah yang sedang lena itu agak lama.
Wajah itu terlalu mirip Nadia.
Setiap kali memandangnya, kerinduan yang cuba disembunyikan selama bertahun-tahun akan kembali hidup.
Amir menghela nafas panjang.
Tidurnya pula tidak kunjung tiba.
Dia keluar semula ke ruang tamu yang sunyi.
Jam dinding menunjukkan hampir pukul satu pagi.
Tanpa sedar, langkahnya berhenti di hadapan sebuah almari lama yang terletak di penjuru rumah.
Tangannya teragak-agak seketika sebelum membuka pintu almari itu.
Di bahagian paling bawah terdapat sebuah kotak kecil yang sudah berdebu.
Kotak itu masih berada di tempat yang sama.
Tidak pernah terusik.
Tidak pernah berpindah.
Seolah-olah masa turut membeku bersamanya.
Amir mengangkat kotak itu perlahan-lahan.
Jarinya mengusap debu yang melekat pada permukaannya.
Matanya mula berkaca.
"Lapan tahun..." bisiknya perlahan.
Dia membuka kotak itu.
Di dalamnya terletak sebuah jam tangan wanita.
Masih cantik.
Masih tersimpan rapi.
Tetapi tidak pernah sampai kepada pemiliknya.
*************************************
"Ayah?"
Amir tersentak.
Dia menoleh.
Qaseh berdiri di belakangnya sambil menggosok mata.
Rupanya anak kecil itu belum benar-benar terlena.
"Ayah tak tidur lagi?"
Amir tersenyum kecil.
"Belum."
Qaseh menghampiri.
Matanya tertumpu pada jam tangan di tangan Amir.
"Cantiklah jam ni."
Amir memandang jam itu lama.
Kemudian mengangguk perlahan.
"Ya."
"Jam siapa?"
Beberapa saat berlalu sebelum Amir menjawab.
"Jam ibu awak."
Qaseh terdiam.
"Kenapa ibu tak pakai?"
Soalan itu membuatkan hati Amir kembali disentap.
Dia menarik kerusi lalu duduk.
Kemudian menepuk kerusi di sebelahnya.
"Duduk sini."
Qaseh menurut.
Amir memandang jam di tangannya.
Senyuman kecil muncul di bibirnya.
Senyuman yang lahir daripada kenangan lama.
"Awak nak dengar cerita?"
Qaseh terus mengangguk laju.
*************************************
"Semasa ibu awak masih bersama ayah dulu..."
Amir memulakan cerita.
"Kami selalu berjalan-jalan di pekan kecil berhampiran kampung."
Qaseh mendengar penuh minat.
"Satu hari, kami lalu depan sebuah kedai jam."
Amir ketawa kecil mengenang.
"Ibu awak tiba-tiba berhenti."
"Kenapa?"
"Sebab dia nampak jam ni."
Qaseh memandang jam itu semula.
"Cantik sangat ke?"
"Bagi ibu awak, ya."
Amir tersenyum.
"Dia berdiri lama depan cermin kedai."
"Macam budak kecil tengok gula-gula."
Qaseh ketawa kecil.
Amir menyambung.
"Ayah tanya dia, awak suka ke?"
"Cantik! jawab ibu awak"
"Nak saya belikan?"
"Ibu ketika itu terus menggeleng."
"Tak payah, mahal sangat. Kita banyak benda lain nak guna duit."
Amir menundukkan kepala sambil tersenyum sendiri.
"Tapi ayah tahu."
"Tahu apa?"
"Dia suka jam tu."
"Macam mana ayah tahu?"
Amir ketawa kecil.
"Sebab sebelum balik, dia menoleh lagi sekali."
Qaseh turut tersenyum.
"Maknanya ibu memang suka."
"Ya."
*************************************
Suasana kembali tenang.
Angin malam menyelinap masuk melalui tingkap.
Amir memandang jam itu lama.
Kemudian menyambung cerita.
"Selepas hari tu, ayah mula menyimpan duit."
"Untuk beli jam?"
"Ya."
Qaseh membulatkan mata.
"Terus beli je lah."
Amir ketawa kecil.
"Kalau ayah kaya, bolehlah."
Qaseh tersengih malu.
"Ayah kerja lebih masa."
"Kadang-kadang ambil upah tambahan."
"Kadang-kadang balik lewat malam."
"Sikit demi sikit ayah kumpul duit."
Amir mengusap permukaan jam itu perlahan.
"Semua sebab ayah nak tengok ibu awak gembira."
Qaseh memandang ayahnya dengan mata yang mula berkaca.
"Ayah sayang ibu sangat."
Amir tersenyum.
"Sangat."
Jawapan itu keluar tanpa ragu-ragu.
Tanpa perlu berfikir.
Seolah-olah masa lapan tahun langsung tidak mengubah perasaannya.
*************************************
"Jadi bila ayah bagi jam tu?"
Qaseh bertanya.
Amir terdiam.
Senyumannya perlahan-lahan hilang.
Suasana yang hangat tadi berubah sepi.
Beberapa saat berlalu.
Kemudian Amir menjawab.
"Dah tak sempat."
Qaseh menelan air liur.
Dia sudah tahu apa yang bakal diceritakan.
"Beberapa hari selepas ayah beli jam ni..."
Suara Amir mula perlahan.
"...kami pergi ke pasar malam."
Dia menggenggam kotak kecil itu erat.
"Malam itulah malam terakhir ayah melihat ibu awak sebagai isteri ayah."
Qaseh menundukkan kepala.
Amir memejamkan mata seketika.
Dia masih mampu mengingati setiap detik malam itu.
Seolah-olah semuanya baru berlaku semalam.
"Jam ni dah siap dibungkus."
"Ayah simpan dalam almari."
"Ayah nak hadiahkan masa hari lahir ibu awak."
"Tapi sebelum hari itu tiba..."
Dia berhenti.
Suaranya mula serak.
"...semuanya dirampas."
Qaseh menggenggam tangan ayahnya perlahan.
Amir membalas genggaman itu.
"Sejak malam itu..."
"Jam ni terus berada dalam kotak."
"Lapan tahun."
"Tidak pernah dibuka."
"Tidak pernah diberikan."
Qaseh memandang jam itu.
Tiba-tiba dia berasa sangat sedih.
Kerana benda kecil itu menyimpan terlalu banyak air mata.
*************************************
"Ayah."
"Hmm?"
"Bagi pada ibu."
Amir memandang anaknya.
"Bagi pada ibu walaupun dia tak ingat."
Qaseh tersenyum nipis.
"Jam ni milik dia."
Ayat itu membuatkan Amir terdiam lama.
Selama ini dia menyimpan jam itu kerana takut.
Takut kenangan lama menghancurkannya.
Takut Nadia menolaknya.
Takut dirinya terluka sekali lagi.
Namun di mata seorang anak kecil...
jawapannya sangat mudah.
Jam itu memang milik Nadia.
Sejak hari pertama dia berhenti di hadapan cermin kedai itu.
Amir tersenyum perlahan.
Kemudian mengangguk.
"Baik."
Wajah Qaseh terus berseri.
"Betul?"
"Betul."
*************************************
Keesokan harinya, selepas pulang dari sekolah, Amir singgah di sebuah kedai jam lama di pekan.
Dia membuka kotak kecil itu lalu menyerahkan jam tersebut kepada pemilik kedai.
Lelaki tua itu membelek jam tersebut beberapa ketika sebelum tersenyum.
"Jam ni masih cantik. Cuma bateri dah lama mati."
Amir mengangguk perlahan.
"Lapan tahun."
Lelaki tua itu mengangkat wajah.
"Lapan tahun?"
Amir hanya tersenyum kecil.
"Pemiliknya belum sempat pakai."
Lelaki tua itu tidak bertanya lagi.
Dia sekadar mengangguk faham.
*************************************
Sepuluh minit kemudian, lelaki tua tadi menyerahkan kotak kecil itu kepadanya.
"Bateri baharu dah dipasang. Masih elok macam dulu."
Amir mengucapkan terima kasih.
Kemudian dia membuka kotak itu.
Jarum saat yang selama ini terhenti kini kembali bergerak.
Tik.
Tik.
Tik.
Bunyi kecil itu membuatkan Amir terdiam.
Matanya tidak beralih daripada jam tersebut.
Lapan tahun dahulu, masa seolah-olah berhenti untuk dirinya.
Namun hari ini...
buat pertama kali selepas sekian lama...
dia merasakan harapan itu kembali bergerak.
Amir menutup semula kotak itu.
Kemudian menggenggamnya erat.
Hadiah yang tertangguh selama lapan tahun itu akhirnya hampir sampai kepada pemiliknya.
*************************************
Hati yang Mula Terusik
Pada malam yang sama...
Nadia sedang duduk bersendirian di ruang tamu rumah sewanya.
Buku latihan murid yang perlu disemak masih bertimbun di atas meja.
Namun entah mengapa, malam itu fikirannya sukar memberi tumpuan.
Pen merah di tangannya terhenti.
Matanya memandang ke luar tingkap.
Gelap.
Sunyi.
Tetapi hatinya terasa tidak tenang.
Perasaan yang sama sejak dia pulang dari rumah ayahnya beberapa hari lalu.
Perasaan yang tidak mampu dijelaskan.
Nadia menghela nafas perlahan.
Lalu mencapai telefon bimbit yang terletak di atas meja.
Tanpa sedar, dia membuka semula gambar yang diambil semasa percutian itu.
Gambar dirinya.
Qaseh.
Dan Dato' Rizal.
Matanya berhenti pada wajah Qaseh.
Lama.
Terlalu lama.
Senyuman budak kecil itu membuatkan dadanya terasa hangat.
Aneh.
Dia tidak pernah mempunyai anak.
Sekurang-kurangnya itulah yang dia percaya selama ini.
Tetapi setiap kali memandang Qaseh...
hatinya terasa terlalu dekat.
Terlalu sayang.
Seolah-olah ada ikatan yang tidak dapat dijelaskan.
"Kenapa ya?" bisiknya perlahan.
Jarinya menyentuh wajah Qaseh pada skrin telefon.
Tiba-tiba satu bayangan kabur melintas di fikirannya.
Seorang kanak-kanak perempuan kecil.
Ketawa.
Berlari-lari di halaman rumah.
Kemudian bayangan itu hilang sepantas ia datang.
Nadia mengerutkan dahi.
Tangannya perlahan-lahan menyentuh kepala sendiri.
"Apa sebenarnya yang sedang berlaku pada aku?"
Dia tidak mempunyai jawapan.
Namun jauh di sudut hatinya...
ada sesuatu yang mula bergerak.
Seperti pintu lama yang tertutup rapat selama bertahun-tahun.
Dan kini...
perlahan-lahan mula terbuka.
*************************************
Di biliknya, Amir meletakkan kotak jam itu di atas meja.
Esok.
Esok dia akan menyerahkannya.
Mungkin Nadia tidak akan mengingatinya.
Mungkin wanita itu hanya akan menganggapnya sekadar hadiah biasa.
Tetapi tidak mengapa.
Kerana untuk pertama kali selepas lapan tahun...
Amir tidak lagi menyimpan hadiah itu untuk masa lalu.
Dia menyimpannya untuk masa depan.
Dan di bawah langit malam yang sama...
dua hati yang pernah terpisah oleh takdir sedang bergerak perlahan-lahan ke arah satu sama lain.
Walaupun mereka sendiri belum menyedarinya.
Tamat Bab 21
Share this novel