TERKEDU. TERGAMAM. Itulah yang dirasai membuatkan dirinya berhenti mendadak. Entah mengapa dirinya seperti kerasukan syaitan kerana dengan mudahnya satu tamparan keras hinggap di pipi Aisy Rafael.
PAP!
“What's wrong with you, Raiya?! ” soal Rafael berang dengan sebelah tangan memegang pipi yang ditampar tadi.
“Rai dah cakap, kan, jangan guna nama tu, Rai benci! Faham tak benci! Rai benci abang! Abang yang keruhkan keadaan ni jadi jangan ingat Rai akan berlembut hati dengan abang lepas ni! ” jerkah Raiya sepuas-puasnya.
“Rai. Look,I'm sorry, okay? I didn't mean too. Tapi abang cuma nak Rai dengar penjelasan abang. Abang minta maaf sebab cakap macam tu. Abang tahu kata-kata abang tadi dah sakitkan hati Rai, tapi percayalah, apa yang abang buat ni semua untuk keselamatan Raiya sendiri juga. ” jelas Aisy Rafael. “Rai tak kisahlah apa abang nak kata. Sekarang yang buat kita makin teruk adalah abang sebut nama penuh Rai. Rai tak sukalah, bang! Abang tahu kan semua tu? Tapi kenapa abang buat juga?! Nak tambahkan lagi sakit di hati Rai ni? Untuk apa, bang? ” soal Raiya yang masih dalam emosi yang tidak stabil.
“Kalau abang tak buat macam tu, Rai tak akan berhenti, betul? Rai ni degil tahu tak? Semua nak ikut kepala dia saja! Boleh tak kali ni Rai dengar dan ikut cakap abang. Only this time. Abang merayu sangat, kalau sayang masih nak teruskan majlis ni, ikut cakap abang, please? ” pinta Aisy Rafael sungguh-sungguh.
Raiya menggeleng.
“Tak. Cukuplah untuk malam ni, abang dah sakitkan hati Rai, hancurkan hati Rai. Tak puas lagi ke abang? Abang nak tengok Rai jatuh tersungkur di hadapan abang baru abang nak berhenti? Macam tu?! ”
“No! Please Raiya, dengar cakap abang. Kita lupakan semua ni, kita masuk dalam, then lepas habis majlis ni kita balik. Abang akan hantar Rai tapi tolong jangan buat hal. Deal? ”cadang Aisy Rafael. Kali ni dia betul-betul harap Raiya akan terima cadangan dia. Dia tidak mahu ada suasana tegang di antara mereka.
Namun, Raiya tetaplah Raiya yang tetap dengan pendiriannya. Mudah mengalah itu bukanlah dirinya, mudah terpujuk itu bukanlah sikapnya.
“Rai tetap akan balik, tapi bukan dengan abang. Kalau abang masih nak teruskan majlis abang tu, silakan. Rai tak nak. Rai penat. Biar Rai ambil Grab saja. Bagi Rai tenangkan diri Rai dulu. ”
Kali ini, Aisy Rafael tidak menghalang. Dibiarkan saja Raiya pergi meninggalkan dia dalam kepekatan malam itu. Memujuk rayu tidak berhasil maka jalan yang lain ialah untuk membiarkan saja dia tenang dengan sendiri. Hati dan perasaan perempuan ini sukar dimengerti kerana kelakuan mereka kadang-kadang sukar dijangka. Sekali tersilap langkah pasti akan lancarkan perang dingin.
Raiya juga tidak terkecuali kerana gadis itu memang jenis yang keras kepala dan manja mengalahkan budak-budak. Namun, bukan tanpa alasan Raiya bersikap begitu. Ada satu rahsia yang disimpan kukuh dalam hati itu yang Aisy Rafael sendiri pun tidak tahu.
SELESAI membaca satu juz al-Quran, dia menutup dan mengucup al-Quran tersebut. Kain telekung dilipat dan disimpan kemas di dalam almari. Rambut yang sedikit serabai, dibetulkan sedikit.
Dia berjalan ke arah tingkap bilik. Merenungkan sesuatu atau seseorang mungkin.
Dia masih belum mengantuk, jadi, dia mengambil keputusan untuk mengambil angin sekejap dengan melihat keindahan ciptaan Allah pada malam itu. Semuanya sempurna, semuanya menunjukkan kebesaran dan keagungan Allah SWT. Namun manusia tetap lupa dan bermegah diri, menyangka yang diri mereka adalah makhluk yang paling berkuasa di dunia yang fana ini.
Dia memandang untuk beberapa saat lagi sebelum menutup kembali tingkap biliknya. Dia keluar dari bilik dan menjenguk ke bilik uminya. Dia mencuba untuk tidak membuat bunyi ketika membuka pintu bilik uminya.
Kelihatan uminya sudahpun tertidur pulas. Sekali-sekala masih kedengaran bunyi batuk-batuk terbit dari bibir uminya. Sumayyah memandang penuh simpati sebelum perlahan-lahan menutup kembali pintu bilik.
Sumayyah merebahkan badannya di atas tilam. Doa tidur dan ayat kursi dibaca. Dia merenung siling buat seketika. Entah berapa lama dia termenung sendirian kerana apa yang dia tahu, dia sudahpun hanyut di bawa alam mimpi.
Share this novel