TERHENTI SUAPAN Puan Salmah. Dia memandang anak daranya lama. Dia cukup kenal dengan Arwa Sumayyah, anak yang dikandung dan dijaga bagai menatang minyak yang penuh sejak kematian suaminya, Sulaiman Bakar.
“Kenapa tiba-tiba ni, Su? ” soal Puan Salmah hairan. “Er ... tiada apa-apalah umi. Lupakan saja apa yang Su baru cakap tadi. ” tergesa-gesa Sumayyah bangun dari kerusinya.
“Su. Umi tak marah. Tapi umi hanya mahukan penjelasan kenapa Su nak kerja di bandar? Dah bosan ke kerja di ladang sawah tu? Atau sebab Afzal Reyhan ada di sana? ” soal Puan Salmah bertubi-tubi. Sumayyah menarik dan menghembus nafas bagi menenangkan dirinya. Dia berpusing menghadap Puan Salmah.
“B-Bukan macam tu, umi. Umi jangan salah faham. Su seronok saja kerja di ladang sawah tu. Tapi Su rasa dah sampai masanya Su cuba berdikari sendiri. Su nak cari duit lebih untuk kita, Su nak senangkan hati umi. ” jelas Sumayyah mengenai niat sebenarnya ingin bekerja di bandar.
Puan Salmah mengoyak senyuman nipis. “Su, Su ada di sini tolong umi pun dah cukup senangkan hati umi. Fasal duit tu Su tak perlulah risau. In Sya Allah kalau ada rezeki, adalah tu. Su tahukan, jodoh, ajal, maut, rezeki tu semua datang daripada Allah SWT. Tak kiralah di mana sekalipun kita bekerja, asalkan halal dan niat kita betul, pasti akan dipermudahkan segala urusan kita. ”
Sumayyah mengemam bibirnya rapat. Memang betul apa yang diberitahu oleh uminya itu, namun dia dah bertekad untuk mencuba nasib di bandar. Kalau dia dapat bekerja di sana, walaupun hanya kerja biasa, dia sudah bersyukur sangat-sangat. Tapi, bukan mudah untuk mendapat persetujuan daripada Puan Salmah. Uminya itu nampak saja lembut namun tegas dalam membuat keputusan.
“Kalau itu yang umi cakap, Su turutkan saja. ” Sumayyah berlalu pergi.
“Tapi, ”
Sumayyah berhenti.
“Kalau Su betul-betul nak pergi ke bandar, ada satu syarat yang Su harus tunaikan. ” ucap Puan Salmah dengan nada yang serius.
“A-Apa dia, umi? ” soal Sumayyah sedikit gugup.
Puan Salmah senyum penuh makna. “Kahwin dengan Han. ”
KAHWIN DENGAN HAN. Sumayyah mula ragu-ragu dengan keputusannya untuk pergi ke bandar setelah 'syarat' yang diberikan oleh uminya diucapkan. Ya Allah, dalam banyak-banyak syarat, kenapa mesti perkahwinan? Dengan Afzal Reyhan pula tu. Adakah kerana lamaran tempoh hari? Uminya sudah setujukah dengan lamaran itu?
TOK! TOK! TOK!
“Masuk! ” Laung Sumayyah. Dia membetulkan posisi duduknya. Kain batik yang dipakai dikemaskan sedikit.
Puan Salmah masuk bersama senyuman nipis.
“Umi, ada apa? ” soal Sumayyah hairan. Jarang-jarang uminya mahu masuk ke dalam biliknya. Ada apa-apa ke ni? Jangan cakap nak paksa dia kahwin pula. Macam dalam drama Melayu yang dia selalu tengok tu.
Isy, apa ni. Dah sah kaki drama dia ni.
“Tak. Umi saja mahu tengok keadaan kamu. Kenapa diam saja lepas umi suruh kamu kahwin? Tak sudi? Ke ... sebab Afzal Reyhan dah jumpa pengganti? ” usik Puan Salmah di hujung ayat.
“Isy, bukan macam tu lah umi. Umi ni saja je kan nak buat Su takut. ” marah Sumayyah lembut. Puan Salmah ketawa kecil. “Tahu takut. Kalau tiada apa nak dirisaukan, kenapa susah hati? Kalau dah suka kenapa perlu fikir dua, tiga kali? Kahwin sajalah. ”
“Umi cakap senang. Yang nak kahwin ni, Su. ” rengek Sumayyah tak puas hati. Puan Salmah menggeleng kepala melihat telatah anak daranya.
“Dah. Tak payah nak fikir sangatlah. Lebih baik kamu ambil air wuduk. Berzikir ke, berdoa ke, tenangkan hati tu. Jangan fikir banyak sangat. ” nasihat Puan Salmah tegas.
“Baik umi. ” Sumayyah akur. Dia bangun dari katilnya dan menuju ke bilik mandi. Cuba menenangkan jiwanya yang sedang kusut dek hati yang mula berbelah bahagi. 'Ya Allah, berikanlah petunjuk kepadaku'. Doanya dalam hati.
Setelah sedikit tenang, Sumayyah mencapai telefonnya. Dengan keadaan masih lengkap bertelekung, Sumayyah memberanikan diri menelefon Afzal Reyhan. Walaupun dia tahu lelaki itu sedang bekerja, tapi dia harus luahkan juga kalau tak mahu menyesal seumur hidup. Peluang yang ada jangan disiakan.
Ritma jantungnya mula beralih rentak. Tangannya berpeluh tatkala telefonnya mula berdering.
“Hello? ”
Arwa Sumayyah menelan air liur payah.
“A-Assalamualaikum, Han. ” sapanya segan. “Waalaikumsalam warrahmatullah. Ada apa, Su? ” soal Afzal Reyhan tenang. “Er ... a-ada benda aku nak cakap d-dengan kau. ” ucap Sumayyah gugup. Ya Allah, kuatkanlah hatiku.
“Apa dia? Tentang family aku ke? ” soal Afzal Reyhan tiba-tiba. Kedengaran bunyi tapak kaki laju menuruni anak tangga. Risau benar gayanya, fikir Sumayyah.
“E-Eh, bu-bukan fasal itu. A-Aku nak bincang fasal kita. I mean, the proposal, ” ujar Arwa Sumayyah. Afzal Reyhan menghembus nafas lega. Dia menyuruh Sumayyah agar meneruskan ucapannya. Dadanya berdebar-debar.
“I-I accepted the proposal. Afzal Reyhan bin Fateh Aydin, aku, Arwa Sumayyah binti Sulaiman Bakar, bersedia untuk setia di sisimu dan ingin melangkah bersama-sama dengan kau menuju ke syurga Allah SWT. ”
Share this novel