SELESAI sahaja solat Subuh, Afzal Reyhan terus keluar dari bilik tidurnya. Mujurlah abangnya masih ada sedikit belas kasihan dengan menumpangkan dirinya di sini. Walaupun dilayan acuh tak acuh, namun dia bersyukur mendapat tempat berlindung. Bagaimana dia dapat tahu tentang alamat abangnya? Well, senang cerita muka abang dia tu ada di mana-mana, sampaikan berita itu tersebar ke kampung halaman. Jadi dia pun cari tahulah sedikit sebanyak tentang perkembangan abangnya.
Afzal Reyhan berjalan ke bahagian dapur. Subhanallah, dapur pun luas. Boleh dikatakan dua kali ganda dapurnya di kampung. Dia kagum dengan sikap tidak putus asa abangnya hinggakan boleh menikmati apa yang dia ada pada hari ni.
Afzal Reyhan menyinsing lengan bajunya hingga ke siku. Peti sejuk mula digeledah dan dikeluarkan segala bahan-bahan untuk membuat sarapan pagi. Dia hanya membuat menu ringkas sahaja memandangkan dia pun hampir terlewat masuk kerja. Nasi goreng ikan masin menjadi pilihannya pada pagi itu.
Bau semerbak yang datang dari nasi goreng yang baru dimasak itu buatkan Afzal Reyhan kecur liur. Dua biji pinggan disusun di atas meja. Nasi goreng itu dikaut ke dalam pinggan. Tangan diangkat dan doa dibaca sebelum dia menikmati hidangan itu seorang diri. Air nescafe yang sempat dibancuhnya tadi dituang ke dalam gelas.
Beberapa minit kemudian, Aisy Rafael turun ke bawah sambil membetulkan tali leher berwarna maroon miliknya. Sebaik sampai di dapur, dia terlihat adiknya sedang menikmati juadah sendirian. Dia berdehem kecil.
Afzal Reyhan tersentak lalu berpaling.
“Abang, mari makan sekali. ” ajak Afzal Reyhan. Dia ingin mengaut nasi ke dalam pinggan milik Rafael namun abangnya dengan pantas menegah.
“Eh, tangan kau tu kotor kau tahu tak. Kenapalah kau tak guna sudu saja. Kampungan betullah makan guna tangan. Lepas tu nak kotorkan lagi pinggan aku? Entah bakteria apa kau bawa dekat tangan kau tu. Jijik! ” cemuh Aisy Rafael. Terbantut seleranya melihat tangan kotor milik Afzal Reyhan cuba memegang sudu yang memang dikhaskan untuk mengaut nasi.
Afzal Reyhan terdiam. Pagi-pagi lagi sudah ditengking abangnya. Apa salah dia? Dia cuma mahu berbaik dengan abangnya yang sudah belasan tahun tidak berjumpa.
“Tapi, bang. Makan guna tangan tu kan sunnah Nabi. Sebagai umatnya, kita haruslah menghidupkan sunnah Baginda. Malulah kita kalau mengaku kita ni umatnya namun tidak mengamalkan sunnah Rasulullah SAW. ” jelas Afzal Reyhan. Berharap abangnya itu faham yang makan guna tangan adalah sunnah dan bukannya kampungan.
“Ah, bisinglah kau! Pagi-pagi ni jangan nak rosakkan mood aku boleh tak? Huh, menyemak! ” Aisy Rafael terus berlalu meninggalkan Afzal Reyhan di sana. Dia betul-betul hilang selera apabila adiknya membuka soal agama kepadanya.
AFZAL REYHAN membaca basmalah sebelum masuk ke dalam office Doktor Arman. Ya, dia telah ditawarkan kerja sebagai seorang doktor di bahagian Jabatan Anestesiologi, di mana ia dikhaskan dalam bidang pembiusan.
“Afzal Reyhan bin Fateh Aydin? ”
“Ya, saya. ” balas Afzal Reyhan tenang. “Duduk. ” arah doktor Arman. Dia meneliti fail yang mengandungi biodata Afzal Reyhan. Begitu fokus doktor Arman dan sesekali dia akan mengangguk-anggukan kepalanya. Sesekali dia akan tersenyum juga.
“Baiklah, er... ”
“Panggil saya Reyhan saja, doktor. ” cantas Afzal Reyhan. “Baiklah, doktor Reyhan. Saya dah semak biodata awak. Prestasi awak bagus, disiplin awak baik. Jadi, saya harap awak dapat berikan kerjasama yang baik sepanjang berkhidmat di hospital ini, ” terang doktor Arman. Afzal Reyhan mengangguk kepala seperti burung belatuk.
“Saya tak nak bercakap panjang lebar. Zac, datang ke office saya! ” panggil doktor Arman dari interkom miliknya.
Tak lama kemudian, muncul seorang jejaka sekitar awal umur 20-an. Wajahnya bersih dan iris matanya berwarna biru. Sungguh unik pada pandangan Afzal Reyhan. Segala puji-pujian kepada Allah Al-Khaliq.
“Doktor nak jumpa saya? ”
“Ya, Zac, kenalkan ini Afzal Reyhan. Reyhan, ini Zachary Xavier, rakan setugas awak. Dia akan tunjukkan semua tentang apa yang awak perlu lakukan sepanjang berada di jabatan ini. Saya tidak mahu mendengar sebarang aduan di jabatan saya. Keselamatan pesakit adalah tanggungjawab kita, jadi kita harus buat sehabis baik agar dapat mengekalkan reputasi hospital. Faham? ” terang doktor Arman.
Afzal Reyhan mengangguk lagi.
“Baiklah, itu saja. Happy working! ”
Afzal Reyhan terus keluar dari office doktor Arman diikuti Zachary dari belakang.
“Nice to meet you, Afzal. ” ucap Zachary dalam slang Australia. Dia menghulurkan tangan untuk berjabat salam. Afzal Reyhan menyambutnya dengan senang hati. “Panggil Reyhan saja, doktor Zachary. ”
“Call me Zac. By the way, aku teruja jugalah sebab dapat rakan setugas baru. You look so mature, Rey. Jadi aku harap kau dapatlah tolong mana yang dapat. Hospital ni memang perlukan orang-orang macam kita, sebab mereka lebih teliti dan lebih pantas dalam membuat kerja. ” ujar Zachary tenang. Pertuturannya dalam bahasa Melayu agak lancar walaupun masih melekat slang English. Fikir Afzal Reyhan sendirian.
“Baik, aku janji akan kerja bagus-bagus. ” ucap Afzal Reyhan dengan semangat yang berkobar-kobar. Dia sudah tidak sabar untuk memulakan kerja pada hari pertama.
Share this novel