12

Romance Series 70889

Dengan hati yang terpaksa, Jasmine menyuap satu-persatu makanan ke dalam mulut Jimmy. Didalam hatinya usah dikata. Berbakul-bakul makian dilemparkan padanya.

Jimmy memandang Jasmine dengan seribu kerutan didahi. Hujung bibirnya menarik sengih. Kemudian, sengihan itu dimatikan.

“Kenapa muka macam tu?” Keningnya dimainkan sambil memandang Jasmine.
Jasmine mendongak. Tangannya berhenti dari menyuap Jimmy.

“Muka yang macam mana?” Dia menahan geram. Sehabis baik dia memaniskan mukanya.

“Macam sekarang. Tadi marah. Sekarang paksa diri kau senyum. Kau terpaksa ke suap aku?” Dia terkebil-kebil memandang Jasmine. Riak mukanya ditarik simpati.

Jasmine meletakkan chopstick ke atas mangkuk kecil dihadapannya.

“Mana ada.” Dalihnya.

“Betul kau tak paksa diri kau suapkan aku?” Sedikit demi sedikit bibirnya menarik senyuman.

“Tak.” Jawabnya sepatah.

“Okey. Kalau macam tu, sambung suapkan aku lagi.” Kening kirinya dijungkit nakal.
Jasmine menarik nafas dalam. Giginya diketap geram. ikutkan hati mahu saja dia mencucuk lelaki itu dengan chopsticknya.

Jasmine menyepit sayur.

“Aku nak yang daging tu.” Arahnya seperti keanak-anakan. Jari telunjuknya menunjuk ke arah hidangan daging yang masih mentah.

Sayur diletakkan semula. Jasmine beralih pada bahagian susunan daging. Penyepit digenggam erat. dia mengambil hirisan daging dan dicelupkan ke dalam sup yang sedang mendidih.

Kemudian, daging yang telah masak disua ke mulut Jimmy.

Tetapi, belum sempat daging itu menerjah masuk ke mulutnya, Jimmy terlebih dahulu bersuara.

“Aku nak sos sekali.” Sambil bibirnya memuncung pada semangkuk sos pencicah.
Dengan hati yang mendidih bak kuah sup dihadapannya, Jasmine membawa semula hirisan daging ke mangkuk sos. Daging itu dicelup sepenuhnya sehingga tenggelam ke dalam sos.

‘Ambil ni! Nak sangat kan?’ Dia menenyeh daging ke mangkuk sos. Geram!
Jimmy dari tadi menahan gelaknya yang hampir terhambur. Sukanya hati dia dapat mengusik perempuan itu.

“Cepatlah. Aku lapar ni. Tahun depan ke baru nak suapkan aku?” Bibirnya bergerak-gerak menahan senyum. Tetapi riak mukanya dikekalkan serius. Sambil kedua-dua tangannya memeluk tubuh. Hanya menunggu masa untuk disuap.

“Sabarlah!” Jasmine mengetap gigi geram.

“Nah!” Dia menyua daging tepat dihadapan hidung Jimmy.

“Mulut aku dekat bawah. Bukan dekat situ.” Dia merenung tajam ke arah Jasmine.

Lalu makanan terus disua ke mulutnya. Perlahan-lahan makanan dikunyah. Ketika itu juga sos lebihan sos mengenai tepi bibirnya.

“Tolong lapkan mulut aku.” Mukanya dirapatkan ke arah Jasmine.

Jasmine berdecit sambil mengeluh.

“Nah. Encik Jimmy lap sendiri.” Dia menghulur sehelai tisu kepada Jimmy. Kemudian, dia menyambung suapannya yang terbantut.

“Jasmine. Kau tahu tak, kau baru aje minta maaf dengan aku tadi.” Jimmy merenungnya tajam.

“Ish! Yalah, yalah! Dekat sikit!” Jasmine meletakkan chopstick ke mangkuk. Tisu dicapai kasar. Mahu sangat dia yang buatkan? Hah, rasakan! Dia mengelap kasar bahagian tepi bibir Jimmy.

“Kau ingat kau tengah lap punggung kau ke? Mulut aku ni. Cuba perlahan sikit lap mulut aku. Nanti kalau mulut aku luka, macam mana aku nak bercakap dengan kau. Nanti kau juga yang rindu sebab tak dengar suara aku setiap hari.” Jimmy tersengih sendiri.

“Tak ada masa saya nak rindukan Encik Jimmy. Banyak lagi masa yang saya boleh diisi daripada rindu Encik Jimmy.” Setelah siap membersihkan mulut Jimmy dia duduk kembali bagi menyambung suapannya.

Jimmy memerhati sambil tersengih-sengih.

“Betul ke kau tak rindukan aku nanti?” Keningnya dimainkan nakal. Gelas berisi air kosong dicapai. Dia menyedut air menggunakan straw.

“Saya bukan siapa-siapa pun dalam hidup Encik Jimmy. Jadi, Encik Jimmy tak perlu risau. Saya takkan simpan perasaan tu.” Jasmine mengunyah cebisan sayur.

Kemudian, hirisan daging dicelup ke dalam sup panas. Sekejap saja daging itu disuap ke dalam mulutnya. Mulutnya dinganga besar.

Dihadapan Jimmy dia tidak perlu bersopan santun. Yang penting perutnya perlu diisi sehingga kenyang.

Jimmy memerhati gerak-geri jasmine. Bibirnya menyimpan senyum.

“Siapa cakap kau bukan siapa-siapa dalam hidup aku?” Dia bersandar di kerusi sambil memeluk tubuh. Dia hanya menunggu perempuan itu menghabiskan makanannya.

“Sejak hari tu kau penting untuk aku. Kau yang lupa agaknya, Jasmine.”
Jasmine mendongak. Suapannya terhenti. Dahinya berkerut pelik.

“Encik Jimmy tak nak makan lagi ke?” Lain pula ayat yang terpacul dari mulutnya.

“Kenapa? Kau nak suap aku lagi? Ha, cepat. Aaa!” Mulutnya dinganga besar menunggu suapan.

“Taklah. Saya tanya aje. Kalau nak makan, makanlah sendiri.” Chopstick ditarik merapatinya. Hampir saja gelaknya terlepas. Kelakar pula melihat tingkah lelaki itu yang sedang membuka mulutnya seperti seekor buaya yang kelaparan.

“Tapi…” Jimmy menyambung kata-katanya. Dia tersengih nakal.

“Apa lagi?” Soal Jasmine sambil meneruskan suapannya. Tidak mahu makan sudah. Biar lelaki itu berlapar. Padan muka!

“Kau tak kisah ke makan bekas mulut aku?” Kini sengihannya semakin melebar. Bibir bawahnya digigit sambil keningnya dimainkan nakal.

Jasmine memandang chopstick yang ada dipegangannya pelik. Kenapa pula?

“Indirect kiss.” Dia tersengih nakal. Mata dikenyit buat Jasmine.

Terus saja chopsticknya diletakkan ke pinggan. Ah, nampaknya dia sudah terkena dengan lelaki itu! Giginya diketap geram. Jangan sampai chopstick itu terpacak kemas diatas kepalanya nanti.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience