"Kau tak nak tahu kenapa aku tunggu kau?" Soal Jimmy.
Jasmine tidak menggangguk mahupun menggeleng kerana dia tidak mahu tahu.
Dia mengangkat periuk rebusan pasta. Air panas dibuang ke sinki. Kemudian, pasta ditoskan. Biarlah Jimmy dengan ceritanya. Dia perlu segera melunaskan tugas kerana hari hampir larut.
"13 tahun yang lepas, semasa hari pengkebumian orang tua aku di Malaysia ada seorang budak perempuan berkerusi roda datang dekat aku. Kau tahu dia bagi aku apa?" Soal Jimmy mahu memancing Jasmine.
Jasmine menggeleng.
"Dia bagi aku coklat dan sapu tangan biru." Jimmy tersenyum. Masih segar memori itu dibenaknya.
"Masa itu aku sedih sangat. Aku dah tak ada siapa-siapa. Kau tahu, aku marah pada tuhan. Kenapa Dia ambil mummy dan daddy? Aku rasa masa tu apa yang tuhan aturkan tak adil untuk aku." Jimmy bersandar dikabinet.
"Sebab kecuaian orang lain, mummy dan daddy mati." Matanya bergenang air mata. Panas.
"Aku anak yatim piatu tau." Beritahunya.
"Tapi sekarang Encik Jimmy tak diiktiraf sebagai yatim piatu. Sebab umur Encik Jimmy dah 30 tahun." Jasmine mencelah.
Kacau betul. Ingatkan mahu menagih simpati lagi. Rupanya hasrat punah begitu saja.
"Kau ni kan kalau layan saja emosi aku tak boleh ke?" Dia mendengus.
Dia mencapai tongkat disisi dan meninggalkan Jasmine yang sedang sibuk memotong bawang dan brokoli.
"Eh, Encik Jimmy nak ke mana?" Jasmine mengejar langkah Jimmy ke ruang tamu.
"Kau bukan nak layan cerita aku. Kau pergilah sambung kemas dapur. Aku dah kebulur." Jawabnya dingin.
Jasmine keliru. Dia menggaru-garu kepala. Kesudahannya, dia terus ke dapur menyiapkan masakan.
Jimmy termangu-mangu. Dia menuju ke balkoni. Biasan mega dikaki langit merona cantik mengikut garisnya. Angin sejuk menampar lembut batang tubuhnya.
Ketika dia sedang ralit dengan panorama senja, telefon bimbitnya berbunyi meminta untuk segera dijawab.
Brian.
"What's up?" Soalnya.
"Kau dah makan belum? Aku ada belikan makanan untuk kau. 15 minit lagi aku datang rumah kau." Beritahu Brian.
Brian mahu datang? Tidak perlu. Dia lekas memandang Jasmine yang lagi sibuk dengan masakannya.
"Eh, kau...kau simpanlah makanan tu dulu. Ataupun em...kau sajalah yang makan." Gugupnya datang tiba-tiba.
Sementara itu, Brian yang sedang memandu menggaru keningnya. Pelik.
"Kau kenapa? Gagap lain macam saja." Sudah tentu dia ada agenda lain.
Jimmy menahan getar suaranya. Bimbang nanti didengari Jasmine.
"Aku sakit perut. Tengah...erghhh!" Dia mengerang halus sambil menekan perut.
"Ohhh. Okey. Kau rehatlah nanti. Kalau kau lapar bagi tahu aku. Nanti aku hantarkan makanan." Ujarnya lurus.
Minta maaf dulu Brian. Bukan niatnya mahu menipu.
"Okey, okey. Bye." Pantas saja dia menamatkan panggilan. Telefon dimasukkan semula ke poket seluar.
"Encik Jimmy. Makanan dah siap. Jom, makan." Panggil Jasmine dari dapur.
"Hm." Jawabnya acuh tak acuh. Dia tidak memandang Jasmine.
Pasta dan steak yang ringkas telah siap dihidang. Tidak lupa dengan sudu dan garfu.
"Jom." Ajak Jasmine menghampirinya.
Jimmy menggeleng. Kemudian, dia memandang kakinya. Dia memandang Jasmine semula.
"Kaki aku kan sakit. Tak boleh banyak bergerak. Lagipun, jauh nak ke dapur tu." Ujarnya.
Jasmine terkebil-kebil. Bukan ke tadi dia sendiri yang terhincut-hincut ke dapur? Elok saja gayanya.
"Habis itu takkan nak makan dekat sini?" Soal Jasmine.
Jimmy mengangkat bahu. Dia memandang luar semula.
Jasmine sudah mengeluh. Satu kerja pula dia mahu membawa makanan ke balkoni.
"Yalah, tunggu sekejap. Saya ambilkan makanan." Jawab Jasmine menuju ke dapur.
Dalam diam Jimmy tersengih sendiri. Bertuah betul badannya malam ini. Dapat bermanja-manja dengan perempuan pujaannya.
Jasmine datang semula membawa makanan.
Sepinggan steak dan pasta disebelahnya. Kecur air liur dibuatnya. Dia meletakkan makanan diatas meja kecil.
"Nampak sedap." Ujar Jimmy teruja.
Jasmine tersenyum bangga dengan pujian itu.
"Encik Jimmy makanlah. Lagipun, hari makin gelap dekat luar tu. Saya nak balik dulu." Pamit Jasmine.
Jimmy yang baru saja duduk terkejut dengan pamitan itu. Tanpa berfikir panjang, tangan Jasmine diraih.
"Takkan kau nak tinggalkan aku? Aku kan tengah sakit." Dia menjuih pada kakinya yang berbalut.
Jasmine turut memandang sama ke arah kakinya. Jam dinding dan kaki yang berbalut itu dipandang silih berganti.
"Tapi, Encik Jimmy kan ada tongkat. Rasanya membantu sangat kalau Encik Jimmy nak bergerak." Celah Jasmine.
"Memanglah aku ada tongkat. Tapi kaki aku belum sembuh sepenuhnya, tahu? Kalau aku pergi bilik air, tiba-tiba aku tergelincir. Macam mana?" Balas Jimmy yang masih tidak mahu kalah.
Jasmine dihurung rasa serba-salah. Mustahil dia mahu bermalam disini. Boleh tercemar maruahnya nanti.
"Kalau ya pun, temanlah aku makan. Sanggup ke kau nak biarkan orang sakit makan sendiri?" Asaknya lagi.
Lambat-lambat dia melabuhkan punggungnya bertentangan Jimmy. Terpaksalah dia menemani lelaki itu seketika.
Jimmy tersenyum kemenangan. Tiba-tiba kakinya dirasakan berdenyut.
"Awww,awww!" Bahagian buku lali dipegang. Dia mengetap gigi menahan bisa. Mungkin kerana dia terlalu banyak bergerak.
"Encik Jimmy. Okey ke?" Soal Jasmine cemas. Dia cuba melutut dihadapan Jimmy. Mahu melihat kesakitan dikakinya.
"Sikit saja. Aku kan lelaki. Mestilah kena tahan sakit." Ujarnya tidak mahu kalah.
Jasmine duduk semula sambil mencebik. "Kalau macam itu, kenapa suruh aku teman?" Gumamnya sendiri.
"Hah? Kau cakap apa?" Soal Jimmy bagai terdengar butir bicara halus itu.
"Apa? Eh, tak. Saya cakap kalau Encik Jimmy sakit saya boleh temankan." Ah, sudah! Dia memaki hamun dirinya. Bodoh.
Mendengarkan pengakuan itu, dia ketawa kecil. Bertuahnya badan malam ini. Ada peneman disisi.
"Betul juga kata kau. Bahaya kalau kau tinggalkan aku seorang. Sebab aku tengah sakit." Ujarnya riang.
Jimmy terus menyuap pasta ke mulutnya. Tetapi perbuatannya terhenti. Garfu diletakkan kembali ke pinggan.
"Kenapa? Tak sedap ke?" Soal Jasmine.
Jimmy menggeleng. "Suapkan aku." Pintanya dengan riak simpati.
"Eh, tak naklah saya!" Dia membidas.
Jimmy menarik muka.
Sedar akan perubahan air muka itu, dia terus mencapai garfu.
Pasta disimpul dan disua ke mulut Jimmy.
Suapan itu tidak diterima. Jimmy hanya merenung sambil memeluk tubuh.
"Makanlah." Sua Jasmine.
"Tak nak." Tolaknya. Dia melempar pandangan ke luar. Kepekatan malam itu lebih menarik hatinya.
Jasmine melepaskan keluhan berat. Masalah besar bila berhadapan dengan orang yang kuat merajuk.
"Okey. Kalau tak nak tak apa. Biar saya yang makan. Saya pun kebulur juga dari siang tadi. Saya pun tahu penat. Dari pagi saya kerja. Lepas itu, Encik Brian pula minta saya ke sini. Semata-mata nak jaga Encik Jimmy. Saya tak sempat berehat. Makan pun tidak. Saya pun tahu penat selalu jaga hati orang. Turutkan semua kemahuan orang. Kalau macam ini gayanya, saya pun boleh jatuh sakit." Apa yang terbuku dihati dilepaskan tika itu. Dia juga punya perasaan. Dia penat. Susah sangat agaknya orang lain mahu memahami dirinya.
Jimmy terpempan dengan luahan itu. Sekarang ini dia pula yang dimarahi. Ah, tetapi memang patut pun perempuan itu memarahinya. Dia juga terlupa bahawa perempuan itu bekerja membanting tulang. Bukan dia seorang saja.
Garfu digenggam kuat. Jika diikutkan hati, mahu saja garfu itu dilempar ke luar.
"Aku minta maaf." Garfu diambil dari tangan Jasmine.
"Aaa." Dia menyua pasta ke mulut Jasmine.
Jasmine memandangnya dengan hairan.
"Aaaaaa." Ulangnya lagi apabila Jasmine tidak membuka mulut.
Sekali lagi. "Aaaaaaa!" Tekannya geram. Mulutnya dinganga besar-besar seperti gua.
Akhirnya tawa terhambur dari mulut Jasmine. "Hahahaha." Perutnya ditekan sambil ketawa.
Jimmy berhenti menganga. Pelik dengan gelakan itu. Bukannya dia membuat kelakar.
"Hahahahaha. Aduh! Sakit perut saya." Air mata yang keluar diseka dengan hujung jari.
Jimmy terkebil-kebil memandangnya. Garfu diletakkan ke pinggan.
"Jasmine. Kau kenapa? Ada sakit dekat mana-mana ke?" Soalnya dungu. Pelik benar dengan perangai perempuan. Tadi beria memarahinya. Sekarang sakan pula bergelak-tawa.
"Haha. Tak. Tak. Saya okey." Tawanya masih tersisa.
"Saya ketawa sebab Encik Jimmy buat kelakar." Tawanya ditahan lagi.
"Bila pula aku buat kelakar?" Soal Jimmy berkerut.
"Tadi. Masa Encik Jimmy sebut aaaaa. Besar betul mulut Encik Jimmy nganga. Hahaha. Lepas itu, bila saya tak nganga Encik Jimmy marah. Hahaha." Jelasnya lagi.
Jimmy ikut ketawa. Tengkuknya diusap tanda malu.
"Yalah. Aku suruh kau nganga mulut sebab aku nak suap kau. Aku nak pujuk kau sebab kau kata tadi kau tak makan dari siang." Terangnya.
"Hm. Semata-mata nak berkejar ke sini tengok keadaan Encik Jimmy. Encik Brian kata Encik Jimmy tertimpa besi masa dekat kilang. Dia kata Encik Jimmy patah kaki. Tapi saya tengok elok saja kaki tu." Omelnya geram.
Jimmy terkedu. Dia terlupa tentang hal itu. Idea bodohnya yang membuatkan Jasmine berkejar ke sini. Dia tersengih sendiri.
Share this novel