15

Romance Series 70889

(Dalkom Café- 11 pagi)

Pagi itu pelanggan masih belum ramai. Mungkin belum tiba waktu rehat.

Jasmine membersihkan meja yang telah diduduki oleh pelanggannya.

Bekas minuman dan pinggan diletakkan ke dulang. Setelah itu, meja dilap bersih.

Ting!

Pintu kafe ditolak dari luar.

Masuk seorang pemuda memakai kaca mata hitam dan mengenakan sepasang sut bewarna coklat.
“Selamat datang.” Ujar jasmine tanpa memandang ke arah manusia itu.

Dia masih sibuk mengutip bekas-bekas minuman dimeja yang lain pula.

Tap, tap, tap!

Dia melangkah ke kaunter.

Matanya melilau dibahagian itu. Tiada seorang pekerja yang menjaga bahagian kaunter.

Jasmine pula masih ralit dengan kerjanya.

Dia bersandar dimeja kaunter.

“Huh, dia ni tak nampak ke aku yang datang.” Ujarnya geram.

Ting ting ting ting!

Loceng comel yang berada diatas meja kaunter ditekan berkali-kali. Saja dia berbuat begitu mahu menarik perhatian Jasmine.

Tangannya berhenti mengelap meja. Jasmine menoleh ke arah bunyi loceng.

Nyaris-nyaris dulangnya terjatuh dari pegangannya.

“Apa lagi yang dia buat dekat sini?” Dia menggumam sendiri. Kain pengelap digenggam geram.
Jimmy merenung tajam ke arahnya.

“Kau ni tak nampak ke pelanggan datang?” Dia menyoal sinis sambil bersandar dimeja kaunter.
Jasmine mencebik.

“Encik jimmy bukannya pelanggan tapi pe…nyi…buk!” Ujarnya geram.

Membulat mata Jimmy mendengar sebaris ayat penyibuk itu.

‘What? Dia cakap aku penyibuk? Aku? Aku yang kacak macam ni?’

Dia memandang dirinya dari atas ke bawah. Badannya dipusingkan menghadap Jasmine yang sedang berjalan masuk ke kaunter. Dulang sudah diletakkan didapur.

“Encik Jimmy nak apa?” Soalnya malas.

Jimmy menjungkitkan keningnya.

“Aku nak kau.” Tenang saja dia menjawab. Reaksi mukanya juga kosong.

“Tsk! Tolong jangan main-main dekat sini boleh tak?” Nafas ditarik dalam. Geramnya dia dengan perangai manusia itu.

“Aku tak pernah main-main dalam setiap kata-kata aku. Cuma kau yang tak nak faham dan pura-pura tak faham.” Dia tersengih sinis.

“Huhhh…okey. Okey. Saya tanya sekali lagi. Encik Jimmy nak buat pesanan apa? Nak minum atau nak makan?” Soalnya tenang. Senyuman manis cuba ditarik sehabis mungkin.

“Hah, kan manis kalau senyum macam ni dengan aku setiap hari.” Senyumannya juga turut ditarik melebar.

“Aku nak air teh chamomile panas.” Ujarnya tenang.

“Panas ya?” Soal Jasmine meminta kepastian.

“Sorry. Suam. Nanti panas mulut aku melecur. Kesian kau. Nanti tak boleh nak dengar aku bercakap dengan kau lagi.” Matanya dikerdipkan buat Jasmine.

“Okey. Encik Jimmy duduk dulu. Nanti saya hantarkan ke meja. Terima kasih.” Jasmine berpusing mahu membuat pesanan Jimmy.

“Terima kasih? Aku yang buat pesanan, tapi kenapa kau yang cakap terima kasih?” Dahinya digaru pelik. Dia memandang Jasmine.

“Haih. Terima kasih sebab Encik Jimmy dah buat pesanan.” Jawabnya malas.

Tangannya rancak membancuh minuman tersebut.

“Oh…okey. Kalau macam tu aku duduk dulu.” Sebuah kenyitan dihadiahkan untuk Jasmine.

Jasmine mencebik.

Sudu teh diletakkan diatas piring. Dulang air dicapai.

Kemudian, dia membawa minuman tersebut menuju ke meja yang sedang diduduki oleh Jimmy.

Dengan berhati-hati minuman itu dihidangkan.

“Teh chamomile untuk Encik Jimmy.”

Jimmy menyimpan senyum taktala mendengar ayat Jasmine.

“Terima kasih, sayang.” Dia melirik pada Jasmine. Saja mahu mengusik perempuan itu.

“Sama-sama.” Jawabnya dingin.

Jasmine berlalu ke kaunter.
---
“Psst!” Stella mencuit bahu Jasmine.

Jasmine menoleh ke arahnya.

“Kenapa?” Soalnya.

Stella memucungkan bibirnya ke arah Jimmy.

Jasmine turut memandang sama.

Keningnya ternaik.

“Ish, kau ni! Itu, Encik Jimmy memang nak jadi barista dekat sini ke? Dah nak dekat dua jam dia duduk situ. Tak ada kerja ke orang tua tu?” Soal Stella.

“Tak baiklah cakap dia macam tu. Biarlah dia dekat sini. Sekurang-kurangnya bertambah keuntungan kafe kita hari ni.” Jasmine tersengih nakal.

“Hahaha. Eleh, cakap sajalah kau memang nak dia duduk sini sambil perhatikan kau. Dari tadi mata dia pandang kau aje. Jangan ingat aku tak nampak ya.” Stella menjungkitkan keningnya.

“Sudahlah. Pergi suruh dia balik. Nanti pelanggan kita tak cukup meja nak duduk.” Arah Stella.

Jasmine berfikir sejenak. Ada betulnya juga.

Jasmine menghampiri Jimmy yang sedang menongkat dagu dimeja sudut.

“Ehem.” Dia berdehem sedikit.

Dia bercekak pinggang.

“Encik Jimmy tak ada kerja ke nak buat?”

Jimmy mencapai cawan yang berisi air teh suam.

Cawannya digoyangkan mengikut putaran jam. Perlahan-lahan dia mencicip minumannya.

Kemudian, cawan diletakkan kembali.

Dia mendongak sambil menaikkan sedikit kening kirinya.

“Kenapa? Tak boleh ke aku duduk sini? Kau halau aku?” Soalnya sinis. Hujung bibirnya terjungkit sengihan.

“Tak. Saya bukan menghalau Encik Jimmy. Tapi dah dua jam Encik Jimmy duduk dekat sini. Encik Jimmy tak ada kerja ke nak buat?” Rimas dia dibuatnya.

Jimmy bersandar sambil memeluk tubuh. Kakinya turut disilangkan.

“Siapa cakap aku tak ada kerja? Kan aku tengah buat kerja ni.” Dia merenung tajam ke arah Jasmine.

Jasmine mengerutkan dahinya. Matanya meliar diatas meja. Tiada pula laptop mahupun buku kerjanya disitu.

“Kau cari apa?” Bagai tersedar dengan tingkah laku perempuan itu.

“Mana kerja Encik Jimmy?” Soalnya tidak berpuas hati.

“Ini. Kerja aku tengah tengok kau 24 jam.” Dia menongkat dagu sambil memainkan keningnya.
Bibirnya menyimpul senyum.

“Hah?” Membulat matanya memandang Jimmy.

“Aku risau nanti kalau aku balik office, aku akan rindu kau.” Jimmy merenung lama anak mata perempuannya.

“Mengarut!” Getusnya perlahan. Jasmine berpusing semula mahu menyambung kerjanya dikaunter.

“Jasmine.” Jimmy telebih dahulu memintas pergerakannya.

Langkah Jasmine terhenti.

Dia menoleh ke belakang.

“Ada apa lagi?” Soalnya malas. Kepalanya digaru.

“Kalau aku tak ada nanti kau akan rindukan aku? Macam aku rindukan kau.” Soalnya tenang.
Jimmy merenung lama raut comelnya. Buat bekalan dia nanti. Sudah pastinya lama nanti dia bakal terpisah.

“Hah? Kenapa saya nak rindukan Encik Jimmy? Baguslah kalau Encik Jimmy taka da dekat sini. Senanglah kerja saya setiap hari. Tak perlu menghadap muka Encik Jimmy setiap masa.” Lancar setiap perkataan itu meluncur dari mulutnya.'

Jimmy menarik nafas panjang. Kemudian, dia menghembuskan semula dengan tenang.

Kata-kata Jasmine sedikit terkesan pada dirinya.

“Okey.” Jawabnya sepatah.

Dia bangun dari kerusinya.
Jimmy menghampiri Jasmine.

Pipi perempuannya dielus lembut. Dia merapatkan mukanya dengan Jasmine.

“Aku cuma nak kau tahu, selama mana pun kau cuba mengelak dari aku, aku akan sentiasa tunggu kau. Aku juga nak kau tahu, ke mana pun aku pergi perasaan rindu aku pada kau sentiasa ada dekat sini.” Luahnya sambil memegang bahagian dada.

Jasmine merenung anak mata lelaki itu. Mungkin mencari kebenaran dalam setiap hujahnya.

“Aku akan rindukan kau…just...mine.” Sempat dia melagakan puncak hidungnya dengan milik Jasmine.

Terkesima Jasmine dengan perlakuan lelaki itu.

Jimmy menegakkan semula postur badannya. Kedua-dua tangannya dimasukkan ke dalam poket seluar.

“Cuma satu aku nak pesan. Tolong, jaga diri kau untuk aku. aku pergi dulu.” Jimmy berpamitan.

Dia melangkah keluar kafe meninggalkan Jasmine yang masih termangu-mangu memandangnya.

Puncak hidungnya dipegang.

Air liurnya ditelan.

Dup dap! Dup dap!

Dadanya dipegang lama.

“Kenapa dengan aku?” Dia menjatuhkan pandangannya ke dada. Kemudian, dia memusingkan badannya menuju ke kaunter.

Fikirannya masih menerawang tentang peristiwa tadi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience