Completed
163108
Sofia perlahan-lahan bangun dari sofa, menahan pedih pada tubuhnya, dan melangkah menghampiri Faid yang masih berdiri kaku di muka pintu. Dia melihat Faid hanya merenung jalan kosong yang ditinggalkan oleh kereta Zizah. Wajah Faid tidak nampak seperti seorang pemenang; dia nampak seperti seorang yang baru sahaja kehilangan sesuatu yang sangat berharga.
Sofia menyentuh lembut lengan Faid. "Faid... you okey? Kenapa you nampak macam... sedih?"
Faid tersentak, namun matanya masih tertumpu pada sesuatu. Pada saat itu, barulah dia tersedar. Dia teringat kembali detik Zizah menyalami ibunya tadi—jari manis Zizah kosong. Cincin berlian yang tidak pernah ditanggalkan oleh wanita itu sejak beberapa bulan lalu, kini sudah tiada. Hanya tinggal bekas putih tipis di jarinya, tanda bahawa cincin itu baru sahaja dilepaskan.
"Cincin dia..." bisik Faid perlahan, suaranya hampir tidak kedengaran.
"Apa dia, Faid?" Sofia bertanya lagi, cuba menarik perhatian lelaki itu kembali kepadanya.
Faid berpaling memandang Sofia, namun fikirannya masih melayang pada senyuman tenang Zizah tadi. "Dia dah buang cincin tu, Sofia. Dia betul-betul lepaskan I."
Sofia mengetatkan pegangannya pada lengan Faid. "Bukan itu ke yang you nak? You kata you benci dia. You kata dia syaitan. Sekarang dia dah pergi, dia dah tak ganggu kita lagi. You patut rasa lega, kan?"
Faid meraup wajahnya dengan sebelah tangan, melepaskan pegangan Sofia dengan halus. "I tahu I patut rasa lega. Tapi... cara dia pergi tadi, Sofia. Dia tak marah. Dia siap tawarkan doktor untuk you. Itu bukan Zizah yang I kenal."
Sofia tersenyum kelat, ada nada cemburu yang cuba disembunyikan dalam suaranya. "Mungkin dia sedar yang dia dah kalah. Dia tahu I lagi perlukan you sekarang. You nampak kan betapa hancurnya I sebab musuh papa I? Zizah tu kuat, dia ada segalanya. I cuma ada you, Faid."
Faid duduk semula di kerusi depan laman kepalanya ditundukkan. "You rasa dia betul-betul maksudkan apa yang dia cakap tadi? Yang dia sokong you duduk sini?"
"Mestilah. Dia kan wanita korporat yang hebat. Dia nak tunjuk yang dia profesional," Sofia duduk di sebelah Faid, cuba menyandarkan kepalanya pada bahu lelaki itu.
"Faid, jangan fikir pasal dia lagi. I ada kat sini. You yang bawa I balik, kan? You janji nak lindungi I."
Faid terdiam lama. Kata-kata Sofia benar, tetapi hatinya memberontak. Dia teringat kesan gigitan yang dia tinggalkan di leher Zizah. Dia ingat betapa rakusnya dia menuntut haknya ke atas wanita itu tempoh hari. Sekarang, dengan hanya satu senyuman manis, Zizah seolah-olah memadamkan semua sejarah itu dan menganggap Faid tidak lebih daripada sekadar "rakan kongsi".
"Kenapa I rasa macam I yang kalah, Sofia?" soal Faid sendirian.
"You tak kalah, Faid. You cuma baru nak mula hidup baru dengan I," balas Sofia lembut, namun matanya melirik ke arah pintu. Dia tahu, walaupun Zizah nampak tenang, peperangan sebenar baru sahaja bermula. Dan dia perlu pastikan Faid tidak akan sesekali menoleh ke belakang lagi.
"I nak masuk bilik, I nak rehat," ujar Faid tiba-tiba. Dia bangun tanpa memandang Sofia.
"Sofia, mak I akan hantarkan bantal dan selimut untuk you kat bilik bawah. Kalau ada apa-apa, panggil mak I." Faid melangkah naik ke atas dengan hati yang berat.
Sofia hanya mampu memandang belakang Faid. Dia tahu, walaupun tubuh Faid ada di rumah ini dengannya, hati lelaki itu sedang mengejar kereta Zizah yang sudah jauh pergi.
"You takkan dapat dia balik, Faid. I akan pastikan you benci dia sampai mati," bisik Sofia sendirian di ruang tamu yang sunyi itu.
Pagi itu, suasana tenang di rumah Faid terganggu dengan bunyi loceng pintu yang ditekan bertalu-talu. Faid yang baru sahaja selesai bersiap untuk ke pejabat, melangkah ke pintu utama dan membukanya dengan dahi yang berkerut.
Sebaik sahaja pintu terbuka luas, dia terpaku. Di hadapannya berdiri Zizah, kelihatan sangat segar dan profesional dalam persalinan blazer berwarna pastel. Di belakangnya berdiri dua orang yang tidak dikenali; seorang wanita pertengahan umur yang berpakaian seragam pembantu rumah (maid) dan seorang lelaki berkaca mata yang menjinjit beg perubatan.
"Assalamualaikum, Faid. Selamat pagi," sapa Zizah dengan nada yang sangat ceria, seolah-olah tiada apa yang berlaku malam tadi.
Faid terkebil-kebil. "Waalaikumussalam... You buat apa kat sini pagi-pagi buta ni, Zizah?"
Zizah melangkah masuk tanpa menunggu jemputan, diikuti oleh maid dan doktor tersebut. "I kan dah janji malam tadi. I tak nak Sofia rasa terabai, dan I tak nak Mak Cik penat uruskan Sofia sorang-sorang. Jadi, I bawakan Kak Siti—dia maid tetap yang I dah upah untuk tinggal di sini buat sementara waktu untuk uruskan makan minum dan kebersihan Sofia."
Faid memandang maid tersebut dan kemudian beralih kepada lelaki di sebelahnya.
"Dan ini Doktor Imran," sambung Zizah sambil memperkenalkan lelaki itu.
"Dia akan datang setiap pagi untuk cuci luka Sofia dan pastikan ubat-ubatan Sofia diambil mengikut jadual. I tak nak Sofia ada parut kekal kat wajah dia yang cantik tu."
Faid tergamam dengan keprihatinan Zizah yang melampau. "Zizah, I rasa ni dah too much. I boleh uruskan sendiri."
Zizah berpaling ke arah Faid, merenung tepat ke dalam matanya dengan pandangan yang tenang.
"Faid, you sibuk kat pejabat. Projek lima juta kita tu dah mula jalan, ingat tak? You takkan ada masa nak suap Sofia makan atau cuci luka dia.”
“Biarlah I tolong. Lagipun, I rasa bertanggungjawab untuk pastikan semua orang di bawah naungan 'rakan kongsi' I berada dalam keadaan baik."
Sofia yang baru keluar dari bilik bawah dengan wajah yang masih lebam, terkejut melihat kehadiran mereka. Dia memandang Zizah dengan rasa curiga yang amat sangat.
"Zizah... you sampai bawa maid?" soal Sofia sangsi.
"Ya, Sofia. Kak Siti ni pandai masak. You cakap je you nak makan apa, dia akan sediakan. Doktor Imran pun ada untuk pastikan you cepat sembuh," Zizah menghampiri Sofia dan menyentuh bahunya lembut.
"I nak you fokus pada pemulihan you saja. Jangan fikir hal lain, okey?"
Faid memerhatikan interaksi itu dengan perasaan yang sangat pelik. Dia merasa seperti rumahnya kini dikawal secara halus oleh Zizah. Zizah tidak menyerang dengan kekerasan, tetapi dia "menyerang" dengan kebaikan yang membuatkan Faid dan Sofia rasa terhutang budi dan terkunci.
"You memang dah rancang semua ni kan, Zizah?" bisik Faid apabila mereka berdua berdiri sedikit jauh dari Sofia.
Zizah hanya tersenyum nipis. "I cuma mudahkan urusan you, Faid. Bukankah you nak lindungi dia?”
“I cuma sediakan 'perisai' tambahan. Sekarang, you dah boleh pergi kerja dengan tenang tanpa perlu risaukan Sofia. Jom, I tumpangkan you ke pejabat sekali kalau kereta you belum siap."
Faid melihat ke arah Sofia yang nampak tidak selesa dengan kehadiran Kak Siti dan Doktor Imran, kemudian melihat ke arah Zizah yang nampak begitu berkuasa dalam keredaannya.
"I bawa kereta sendiri," balas Faid pendek.
"Okey, jumpa kat pejabat nanti, Encik Faid. Kak Siti, Doktor... tolong jaga Cik Sofia baik-baik ya. Jangan bagi dia buat kerja berat," pesan Zizah sebelum melangkah keluar dengan gaya seorang ratu yang baru sahaja meletakkan baki bidak caturnya di tempat yang strategik.
Faid berdiri di muka pintu, melihat Zizah masuk ke dalam keretanya. Dia sedar, dengan adanya maid dan doktor kiriman Zizah di dalam rumahnya, dia kini berada di bawah pengawasan Zizah 24 jam sehari tanpa dia sedar.
Faid mengekor dari belakang dengan keretanya, menjangkakan Zizah akan menuju ke arah bangunan Sri Holdings. Namun, sebaik sampai di persimpangan besar, dia melihat lampu isyarat kereta Zizah berkelip ke arah bertentangan—jalan yang menghala pulang ke rumah agam keluarga wanita itu.
Faid memperlahankan kenderaannya, memerhatikan kereta mewah itu membelok dengan tenang tanpa ada tanda-tanda mahu memberitahu atau memberi isyarat kepadanya. Dia terasa seperti dipinggirkan. Biasanya, Zizah akan menghantar mesej atau sekurang-kurangnya memberi pesanan ringkas jika dia ada urusan lain, tetapi hari ini, Zizah seolah-olah menganggap Faid tidak wujud.
"Dia betul-betul nak menjauh ke?" gumam Faid, tangannya mencengkam stereng.
Faid meneruskan pemanduan ke pejabat dengan hati yang tidak tenang. Sebaik sahaja dia melangkah masuk ke lobi syarikat, suasana terasa berbeza. Biasanya, kehadiran Zizah akan membuatkan semua staf berdiri tegak, tetapi hari ini pejabat itu hanya diuruskan oleh pengurus-pengurus bawahannya.
Faid masuk ke biliknya dan cuba memfokuskan diri pada fail projek pembangunan lima juta itu. Namun, fikirannya melayang kepada dua tempat: di rumahnya, di mana ada "mata-mata" Zizah (maid dan doktor) yang sedang menjaga Sofia, dan di rumah Zizah, di mana wanita itu mungkin sedang bersantai tanpa mempedulikannya.
Dia mencapai telefonnya, mahu menghantar mesej kepada Zizah untuk bertanya kenapa dia tidak masuk pejabat, tetapi jarinya terhenti. Dia teringat kata-kata Zizah pagi tadi: "I cuma rakan kongsi you."
"Kalau aku mesej, aku nampak macam aku yang terhegeh-hegeh kat dia," Faid meletakkan semula telefonnya dengan kasar.
Sementara itu, di rumah Zizah, dia benar-benar tidak mempedulikan kerja. Zizah duduk di balkoni biliknya sambil menghirup kopi, memerhatikan telefonnya yang memaparkan rakaman audio-visual secara langsung dari rumah Faid. Dia boleh mendengar perbualan Sofia dengan Kak Siti di ruang tamu.
Share this novel