Bab 10

Drama Completed 163108

Di ruang tamu, suasana terasa sangat berat. Puan Sri Khatijah duduk dengan gelisah, matanya kerap memandang ke arah tangga yang menuju ke bilik Zizah.
Tan Sri Tajudin duduk di hadapannya, merenung kosong ke arah luar tingkap di mana hujan masih mencurah-curah tanpa henti. Guruh yang berdentum sesekali membuatkan suasana semakin suram, seolah-olah langit turut merasai kepedihan yang sedang melanda anak bongsu mereka.
"Hubby, I risau sangat dengan Zi," suara Puan Sri Khatijah pecah, hampir menangis.
"Dia balik tadi basah lencun, terduduk tengah hujan. Dia tak cakap sepatah pun. Zi tak pernah macam ni, Hubby. Walaupun dia marah, dia akan bersuara. Tapi kali ini... dia diam. Diam dia tu menakutkan I."
Tan Sri Tajudin melepaskan keluhan berat. Dia meletakkan surat khabar yang sejak tadi tidak dibacanya. "I dah agak perkara ni akan jadi. Zizah tu, nampak saja kuat di luar, tapi hati dia lembut sangat kalau melibatkan orang yang dia sayang.”
“Dia sanggup korbankan segala-galanya untuk Faid, tapi nampaknya lelaki tu masih belum habis dengan masa silam dia."
"Maksud Hubby... Faid pergi pada Sofia semula?" Puan Sri Khatijah menutup mulut, tidak percaya.
Tan Sri Tajudin mengangguk perlahan. "Tadi pengawal peribadi Zi ada lapor pada I. Kereta yang hantar mereka balik, terus meluncur ke rumah lama Sofia selepas hantar Zi. Zi yang arahkan. Dia sengaja lepaskan Faid untuk tengok sejauh mana kesetiaan lelaki itu."
Puan Sri Khatijah menggeleng-gelengkan kepala. "Kenapa Zi buat macam tu? Itu namanya menjerat diri sendiri. Dia tahu Faid tu kelemahan dia."
"Sebab itu Zizah, Mami," balas Tan Sri Tajudin dengan nada serak.
"Dia lebih rela hancur sekarang daripada hidup dalam ragu-ragu selamanya. Dia nak jawapan yang pasti. Tapi I tak sangka Faid betul-betul sanggup tinggalkan Zi dalam hujan macam tu demi perempuan yang dah hancurkan hidup dia dulu."
Di tingkat atas, di dalam kamar yang gelap, Zizah masih meringkuk di bawah selimut. Walaupun tubuhnya mula terasa hangat, hatinya tetap terasa seperti disiat-siat. Setiap kali guruh berdentum, dia terbayang wajah Faid yang memandang Sofia dengan penuh simpati. Dia terbayang tangan yang pernah membelainya kini sedang mengelap air mata Sofia.
Zizah menggigit bibir, cuba menahan esakan agar tidak didengari oleh orang tuanya di bawah. Dia tidak memerlukan simpati. Dia hanya perlukan kekuatan untuk menerima hakikat bahawa mungkin dia hanyalah 'persinggahan' untuk Faid pulih, bukannya 'destinasi' terakhir lelaki itu.
Hujan di luar terus turun bersilih ganti dengan guruh, seolah-olah alam sedang menemani Zizah meratapi nasib cintanya yang separuh jalan.
Cahaya matahari pagi yang menembus celah langsir bilik tidak mampu menghangatkan hati Zizah yang terasa beku. Perkara pertama yang terlintas di fikirannya sebaik sahaja membuka mata adalah bayangan Faid dan Sofia. Adakah lelaki itu terbuai semula dengan kenangan lama? Adakah sentuhan yang Faid berikan pada Sofia semalam sama hangatnya dengan apa yang dia rasakan kelmarin?
Dengan kekuatan yang masih bersisa, dia bangkit. Dia berdiri di hadapan cermin bilik air, merenung wajahnya yang sedikit sembab. "You are Sri Zizah. You don't beg for love," bisiknya pada diri sendiri.
Dia mula mendandani dirinya dengan penuh teliti. Pagi ini dia memilih sepasang sut pejabat berwarna merah hati yang sangat tajam warna keberanian. Rambutnya disisir rapi, gincunya merah menyala, dan dia mengenakan sepasang kasut tumit tinggi yang memberikan bunyi tack, tack, tack yang berwibawa setiap kali dia melangkah. Dia tetap elegan, tetap mempersona, walaupun tanpa lelaki di sisi.
Zizah turun ke bawah dengan langkah yang tegak. Suasana rumah mula riuh dengan aktiviti pagi.
"Morning, Cik Zizah," sapa beberapa orang pembantu rumah yang sedang mengelap perabot.
"Morning," balas Zizah pendek bersama senyuman nipis yang dipaksakan. Dia terus menuju ke meja makan.
Puan Sri Khatijah dan Tan Sri Tajudin yang sedang bersarapan serentak memandang ke arah anak bongsu mereka. Mereka tergamam melihat Zizah yang nampak sangat 'sempurna' pagi ini, seolah-olah kejadian dalam hujan semalam tidak pernah berlaku.
"Morning Mami, Papi..." Zizah mendekat, mencium pipi kedua-dua orang tuanya dengan penuh kasih sayang, lalu melabuhkan duduk bertentangan dengan mereka.
Puan Sri Khatijah memandang Zizah dengan dahi berkerut, cuba mencari sisa kesedihan di wajah anaknya. "Zi... okay ke ni sayang? Zi nampak... lain macam pagi ni."
Zizah mengambil sepinggan buah-buahan segar, gerakannya sangat tertib. "Lain macam mana, Mami? I'm fine. I ada banyak meeting penting hari ni. I tak boleh nampak selekeh, kan?"
Tan Sri Tajudin berdehem, meletakkan cawan kopinya. "Faid ada hubungi kamu?"
Baru sahaja Zizah hendak menyuap buah ke mulutnya, bunyi deruman enjin kereta kedengaran memasuki perkarangan rumah. Zizah tahu itu bukan kereta pengawal peribadinya. Itu bunyi enjin Mercedes hitam milik Faid.
Puan Sri Khatijah dan Tan Sri Tajudin segera bangun dan melangkah ke arah pintu besar, ingin melihat sendiri siapa yang datang seawal ini. Mercedes hitam itu berhenti tepat di hadapan pintu utama. Hati Puan Sri Khatijah berdebar laju, manakala Tan Sri Tajudin hanya mampu menarik nafas panjang, bersedia untuk sebarang kemungkinan.
Zizah pula tetap di kerusinya. Dia tidak berganjak sedikit pun. Tangannya yang putih mulus itu masih bersahaja mencapai pisau roti, menyapu jem strawberi di atas kepingan roti bakar dengan penuh teliti. Setiap sapuan dilakukan dengan tenang, seolah-olah tiada apa yang sedang berlaku di luar sana.
Bagi Zizah, dia sudah menetapkan satu garisan dalam hatinya. Jika Faid datang untuk memohon maaf atau memberikan penjelasan yang klise. Dia tetap mengalu-alukan kedatangan lelaki itu sebagai tetamu orang tuanya.
Klak.
Pintu rumah dibuka. Bunyi langkah kaki yang berat kedengaran melangkah masuk ke ruang legar.
"Tan Sri Tajudin, Puan Sri... maaf saya datang awal," suara Faid kedengaran serak, seperti orang yang tidak tidur semalaman.
"Faid... kamu dari mana?" tanya Puan Sri Khatijah dengan nada separuh berbisik, matanya melirik ke arah Zizah yang masih tenang mengunyah roti di meja makan.
Faid tidak terus menjawab. Matanya terus tertumpu ke arah ruang makan, ke arah susuk tubuh Zizah yang membelakanginya. Dia berjalan perlahan menuju ke arah meja makan, setiap langkahnya terasa begitu berat.
Zizah masih tidak berpaling. Dia mencapai cawan kopi dan menghirupnya perlahan. Dia dapat merasakan kehadiran Faid berdiri di belakangnya, malah dia dapat menghidu haruman maskulin lelaki itu yang kini bercampur dengan bau hujan dan asap rokok.
"Zizah..." panggil Faid perlahan.
Zizah meletakkan cawannya. Dia mengelap bibirnya dengan tisu dengan sangat tertib sebelum berpusing sedikit. Wajahnya tetap elegan dan kosong daripada sebarang emosi.
"Morning, Encik Faid. Dah sarapan? Kalau belum, sila duduk. Mami ada sediakan nasi lemak tu," ujar Zizah dengan nada yang sangat profesional, seolah-olah Faid hanyalah rakan sekerja biasa.
Faid tergamam melihat layanan dingin Zizah. Dia melihat mata Zizah tiada lagi sinar manja yang selalu ada sebelum ini. Hanya ada satu tembok besar yang memisahkan mereka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience