Completed
163108
Malam semakin pekat, menyelubungi suasana kafe eksklusif yang telah ditempah khas oleh Zizah. Dia duduk dengan tenang, menyilang kaki sambil menghirup kopi panas, menunggu mangsanya tiba. Tidak lama kemudian, Sofia melangkah masuk dengan wajah yang hancur—mata sembab, rambut tidak terurus, dan aura angkuh yang dahulunya ada, kini sudah hilang ditelan bumi.
Zizah tidak membuang masa.
"Kalau you rasa nak mati kebuluran tengah jalan, you boleh abaikan duit ni," kata Zizah dengan nada menghina.
"Tapi kalau you nak teruskan hidup..." Dia tahu Sofia kini terdesak. Tanpa sebarang mukadimah, Zizah mengeluarkan sebuah sampul surat coklat yang tebal dan menayangkan isinya—berkepuk-kepuk wang tunai di hadapan wajah Sofia yang kaku.
"I ambil!" Sofia merampas sampul itu dengan rakus. Dia tidak lagi peduli tentang maruah. Di hadapan matanya hanyalah kelangsungan hidup. Dia mengira helaian wang itu dengan tangan yang menggigil.
"Lima ribu. You ambil duit tu, dan you pergi cari papa you sampai ke lubang cacing. Dia dah lari tinggalkan you, kan? Tapi jangan sesekali you ingat I buat ni sebab I nak berbaik dengan you, Sofia.”
“I cuma nak tengok you merangkak cari bapa pengkhianat you tu," ugut Zizah dengan senyuman yang sangat manis namun berbisa.
Tiba-tiba, pintu kafe terbuka.
"Sayang..." Suara maskulin yang sangat dikenali Sofia bergema di ruang itu.
Sofia tersentak. Dia terus menundukkan wajahnya serendah yang mungkin, dengan pantas menyumbat sampul wang tadi ke dalam beg tangannya yang sudah nampak lusuh. Dia tidak mahu lelaki itu melihat betapa rendahnya dia sekarang.
"Biyy, come duduk sini. Rasanya dah lama kan you'all tak berjumpa?" Zizah mengerling ke arah Sofia dengan pandangan kemenangan yang mutlak.
Faid Azhari melangkah masuk dengan gaya seorang bos besar. Dia tidak lagi memakai baju lama yang lusuh; sutnya mahal dan jam tangannya berkilat. Tanpa mempedulikan kehadiran Sofia, Faid terus membongkok dan mengucup bibir Zizah dengan mesra di hadapan mata bekas isterinya.
"Dah lama ke you tunggu, sayang?" tanya Faid, suaranya dalam dan penuh kasih sayang, sebelum dia mengalihkan pandangan kepada Sofia.
"I baru je dalam lima minit macam tu. Sofia ni hah... dia minta bantuan I. Katanya tak ada duit nak makan, Biyy. Kesian kan?" Zizah memulakan lakonannya, sengaja mahu menghancurkan sisa maruah Sofia yang tinggal.
"Zizah! Aku datang sini sebab kau yang suruh!" Sofia bersuara, cuba melawan walaupun suaranya bergetar. Dia memberikan amaran, namun ia kedengaran sangat lemah.
"Yeke? Tapi siapa yang call siapa dulu tadi?" Zizah membalas dengan tawa kecil, membuatkan Sofia terdiam seribu bahasa. Hakikatnya, Sofia memang terdesak mencari sesiapa sahaja untuk membantunya.
Faid Azhari hanya menggelengkan kepala melihat wanita di hadapannya itu. Dia memandang Sofia dari atas ke bawah pakaian yang kedut, wajah yang kusam, dan beg tangan yang dipegang erat seperti pencuri. Sofia kini nampak seperti sampah jalanan yang tidak terurus, sangat jauh berbeza dengan Zizah yang bersinar di sebelahnya.
"You nampak teruk, Sofia," kata Faid pendek, nada suaranya kosong tanpa sebarang emosi tiada dendam, tiada benci, hanya rasa jijik yang amat dalam.
"Zizah, jomlah kita pergi. I tak selesa bau orang 'susah' kat sini." Faid menarik tangan Zizah untuk bangun, meninggalkan Sofia yang terduduk kaku dengan air mata yang kembali mengalir.
Sofia menggenggam beg tangannya yang berisi wang 'sedekah' daripada Zizah, menyedari bahawa karma bukan sahaja mengambil hartanya, tetapi telah menjadikan dia peminta sedekah kepada orang yang paling dia benci.
Di dalam kereta yang meluncur laju membelah kepekatan malam, suasana tiba-tiba menjadi sunyi. Faid termenung jauh, matanya terpaku pada titisan hujan yang mula membasahi cermin kereta, namun fikirannya melayang jauh ke belakang. Zizah yang memerhati dari sisi dapat merasakan ada sesuatu yang mengganggu jiwa lelaki itu.
"Biyy..." Zizah memanggil lembut. Lelaki itu tidak menyahut, masih tenggelam dalam lamunannya sendiri.
"Biyy!" panggil Zizah lagi, kali ini sedikit kuat.
Faid tersentak. "Ya sayang, ada apa?" Dia segera menarik Zizah ke dalam pelukannya, cuba menutup kegelisahan hati dengan kemesraan.
Zizah memusingkan tubuhnya menghadap Faid. Matanya merenung dalam ke anak mata lelaki itu. "Biyy... kalau you rasa tak tergamak tengok Sofia macam tu, you pergilah tolong dia. Tolong dia cari Dato' Kamal." Suara Zizah kedengaran serak, namun dia tetap mengukir senyuman nipis yang sukar ditafsirkan.
"Sayang! Apa yang you cakap ni?!" Faid terkejut. Dia tidak menyangka Zizah akan berkata begitu.
"I cakap betul ni, Biyy. I rasa dia betul-betul perlukan you sekarang. Dia dah tak ada sesiapa," ujar Zizah lagi sambil matanya mengerling ke arah dua orang pengawal peribadi wanitanya di tempat duduk depan yang hanya membisu.
"Sayang, listen to me. You cakap ni... you fikir secara logik tak?" Suara Faid bergetar. Jantungnya mula berdegup kencang, satu reaksi luar kawal yang tidak dapat disembunyikan.
Zizah tersenyum tawar. Dia merapatkan tubuhnya, meletakkan telinganya tepat di atas dada Faid. Dia memejamkan mata, mendengar degupan jantung yang tidak menentu itu. Sebagai seorang wanita, dia dapat merasai getaran itu getaran yang menandakan Faid mungkin masih menyimpan sisa simpati atau rasa sayang yang tersisa buat Sofia.
"Sayang... you jangan fikir bukan-bukan. Itu semua karut," bisik Faid, seolah-olah cuba meyakinkan dirinya sendiri lebih daripada meyakinkan Zizah.
Zizah melepaskan keluhan kecil, namun dia tetap nampak tenang. "Biyy... pergilah jenguk Sofia kat rumah dia malam ni. Okay? I akan tarik balik arahan I untuk tangkap Dato' Kamal buat sementara waktu. I bagi peluang untuk you selesaikan hal ni dengan cara you."
Faid terdiam. Dia memandang Zizah dengan penuh rasa bersalah dan keliru. "Kenapa you buat macam ni, Zizah? You tak takut I kembali pada dia?"
Zizah membuka matanya, merenung Faid dengan penuh keyakinan. "Sebab I tahu siapa I dalam hati you, Biyy. Dan I nak you buat keputusan bukan sebab dendam I, tapi sebab hati you sendiri.”
“I tak nak you hidup dengan bayang-bayang Sofia selamanya. Pergilah, lepaskan apa yang patut dilepaskan."
Kereta itu berhenti di hadapan rumah Zizah. Zizah keluar dari kereta tanpa menunggu jawapan Faid, meninggalkan lelaki itu sendirian dengan debaran jantung yang semakin menggila.
Faid meraup wajahnya. Dia melihat ke arah pemandu. "Hantar saya ke rumah lama Sofia," arahnya perlahan.
Zizah melangkah masuk ke dalam kawasan rumahnya tanpa menoleh ke belakang walaupun sekali. Hatinya yang tadi kental seperti besi, kini terasa hancur berkecai apabila dugaannya menjadi kenyataan.
Kebiasaannya, Faid akan melompat keluar dari kereta, memayunginya, atau sekurang-kurangnya memastikan dia selamat masuk ke dalam rumah. Namun malam ini, pintu kereta itu kekal tertutup. Kereta itu terus berlalu pergi, membawa Faid kembali kepada Sofia.
Zizah terhenti di tengah-tengah halaman. Hujan yang turun semakin lebat, membasahi seluruh tubuhnya yang masih memakai pakaian pejabat yang anggun. Dia tidak peduli. Dia terduduk melutut di atas rumput yang basah, membiarkan air hujan menyembunyikan air matanya yang mengalir deras. Dia menangis tanpa suara, hanya bahunya yang terhenjut-henjut menahan perit yang amat dalam di dada.
Dia telah memberikan segalanya kepada Faid nyawa, maruah, kedudukan, malah dia yang menyelamatkan lelaki itu dari kematian. Namun, hanya dengan satu pancingan simpati daripada Sofia, Faid kembali goyah.
"Cik Zizah! Ya Allah, Cik!" Beberapa orang pembantu rumah yang menyedari kehadiran Zizah terus berlari keluar membawa payung besar.
Mereka cemas melihat majikan mereka yang selalunya tegas dan berkuasa kini nampak begitu rapuh dan tidak bermaya di tengah hujan lebat.
"Mari masuk Cik, nanti demam," rayu salah seorang maid sambil memimpin Zizah bangun dan membawanya masuk ke dalam rumah.
Di dalam rumah, Mami yang sedang berehat di ruang tamu terus meluru ke arah anak bongsunya itu. "Zizah! Kenapa ni sayang? Kenapa basah lencun macam ni? Mana Faid?"
Zizah tidak menjawab. Wajahnya pucat pasi, bibirnya kebiruan menahan sejuk. Dia hanya menggelengkan kepala lemah, matanya kosong tanpa cahaya. Tanpa mempedulikan soalan demi soalan daripada Maminya, Zizah mendaki tangga dengan langkah yang longlai menuju ke biliknya.
Share this novel