Bab 44

Drama Completed 163108

Faid baru sahaja mahu melepaskan lelah di dalam bilik apabila pintu biliknya diketuk dari luar. Dia mengeluh berat sebelum memulas tombol pintu. Di depannya, Sofia berdiri dengan wajah yang cemberut dan mata yang nampak gelisah.
Sofia terus merapati Faid, suaranya kedengaran sangat tidak puas hati. "Faid, I tak selesalah dengan maid yang Zizah hantar tu. Kak Siti tu... dia asyik ikut I ke mana saja.”

“I pergi dapur dia ada, I masuk bilik air pun dia tunggu depan pintu. I rasa macam banduan, Faid! Macam I ni gundik yang kena jaga 24 jam dalam rumah ni."
Faid tidak membiarkan Sofia masuk. Dia melangkah keluar dan menutup rapat pintu biliknya, seolah-olah mahu menjaga ruang peribadinya daripada diceroboh oleh sesiapa pun buat masa ini—termasuk Sofia. Fikirannya masih terbayang-bayang Zizah yang sedang bermesra dengan lelaki lain di panggung wayang tadi. Hatinya masih berdarah, dan aduan Sofia terasa seperti beban tambahan yang dia tidak mahu pikul.
Dia memandang Sofia dengan pandangan yang kosong. Dia tidak tahu mahu menyalahkan Zizah dari segi mana lagi. Zizah hantar bantuan, Zizah hantar keselesaan. Segala-galanya nampak sempurna di mata orang luar.
"Sofia, Siti cuma nak you selesa. Dia tak mahu you terjerit-jerit memanggil bila you nak satu-satu benda atau bila you perlukan bantuan sebab luka you tu," balas Faid dengan nada mendatar. Suaranya tidak lagi selembut dulu.
"Tapi Faid, dia macam mata-mata Zizah! I tahu Zizah nak intip I melalui dia," bidas Sofia lagi, cuba memancing simpati Faid.
Faid meraup wajahnya. Dia teringat betapa profesionalnya Zizah di pejabat dan betapa "bebasnya" Zizah sekarang. "Kalau betul dia mata-mata pun, apa yang you takutkan kalau you tak buat salah?”

“I dah cukup stres dengan projek kat pejabat, Sofia. Lima projek serentak I kena jaga sekarang. Zizah tak ada untuk tolong I macam dulu. Tolonglah... I cuma nak rehat."
Sofia terdiam melihat kedinginan Faid. Dia dapat merasakan sesuatu telah berubah pada lelaki itu sebaik sahaja dia pulang malam ini.
"You jumpa Zizah ke tadi?" tanya Sofia tiba-tiba, matanya mengecil mencurigai sesuatu.
Faid tidak menjawab. Dia hanya memandang ke arah tangga di mana Kak Siti sedang berdiri diam memerhatikan mereka dari tingkat bawah dengan wajah yang tanpa riak.
"Dah, pergi masuk bilik tidur. Esok I kena bangun awal, banyak kerja tertunggak," ujar Faid sebelum memusingkan badan dan masuk semula ke dalam biliknya, meninggalkan Sofia yang terpinga-pinga di koridor.
Faid menyandarkan belakangnya pada pintu bilik. Dia sedar, kehadiran Sofia di rumah ini tidak memberikan ketenangan yang dia harapkan. Sebaliknya, setiap sudut rumah ini sekarang mengingatkan dia kepada kekuasaan Zizah yang halus namun mencengkam.
Di bawah, Kak Siti tersenyum nipis sambil menghantar mesej ringkas kepada Zizah: "Tuan Faid nampak sangat tertekan. Cik Sofia cuba mengadu, tapi Tuan Faid nampak tidak berminat."
Zizah, yang baru sahaja keluar dari panggung wayang, melihat mesej itu dan tersenyum puas di sebelah Roslan. "Game on, Faid," bisiknya dalam hati.

Keesokan paginya, ketenangan rumah Faid pecah seawal jam 8 pagi. Suara Sofia yang biasanya kedengaran lemah dan sayu kini berubah menjadi keras dan memekik di ruang tamu bawah.
"Boleh tak kau berhenti ikut aku?! Aku nak pergi dapur pun kau ada kat belakang, aku nak duduk kat luar pun kau berdiri macam tugu kat situ!”

“Kau ni maid ke pengawal penjara?!" jerit Sofia, hilang sabar dengan Kak Siti yang tetap tenang berdiri hanya dua meter darinya.
Kak Siti tidak membalas, dia hanya menjalankan amanah Zizah—iaitu memastikan Sofia tidak "terlepas" dari pandangannya. Namun, sikap Sofia yang semakin melampau membuatkan ibu Faid yang sedang mengemas di dapur merasa sangat tertekan.
Ibu Faid yang tidak tahan mendengar pergaduhan itu, apatah lagi dia seorang yang sukakan ketenangan, akhirnya mencabut apron dan berlari keluar dari rumah menuju ke halaman, tidak sanggup lagi berada di dalam rumah yang kini terasa panas seperti neraka.
Faid yang baru sahaja mahu memakai tali leher di bilik atas, segera meluru turun apabila mendengar kekecohan itu. Dia melihat ibunya berdiri di luar rumah dengan wajah yang cemas, sementara Sofia masih lagi memarahi Kak Siti di tengah ruang tamu.
"Sofia! Cukup!" tengking Faid dari tangga.
Sofia berpaling, dadanya turun naik. "Faid! You tengoklah perempuan ni! Dia tak faham bahasa.”

“I dah kata jangan ikut, dia tetap ikut punggung I ke mana-mana. I rasa rimas, Faid! I rasa macam dia nak cekik I dari belakang!"
Faid memandang Kak Siti. "Siti, boleh tak awak beri dia ruang sikit? Duduk di dapur atau di bilik awak buat sementara."
"Maaf, Tuan Faid. Puan Sri Zizah pesan, Cik Sofia masih dalam pemantauan doktor. Kalau dia jatuh atau cedera lagi, Puan Sri kata saya yang akan bertanggungjawab sepenuhnya. Saya cuma jalankan tugas," jawab Kak Siti dengan nada yang sangat profesional dan tenang, langsung tidak terkesan dengan makian Sofia tadi.
Faid terdiam. Nama Zizah lagi. Sentiasa Zizah.
"You dengar tak, Faid? Zizah! Semuanya Zizah! You tak rasa ke dia tengah buli I dalam rumah you sendiri?”

“Faid, halau lah dia. I boleh jaga diri I sendiri." Sofia merapati Faid, cuba memegang tangan lelaki itu.

Faid melepaskan tangan Sofia dengan kasar. Dia memandang ke arah pintu luar, melihat ibunya yang masih ketakutan di halaman.
"Sofia, you sedar tak sebab perangai you ni, mak I sampai lari keluar rumah? You sedar tak rumah ni dah tak macam rumah sejak you ada kat sini?" Suara Faid bergetar menahan amarah yang terpendam sejak semalam.
Sofia tersentak. "You... you salahkan I? I mangsa kat sini, Faid!"
"Cukup, Sofia. I penat. I nak pergi kerja. Kalau you tak suka Siti ada kat sini, you boleh cari tempat lain.”

“Tapi selagi you di bawah tanggungjawab I, dan Zizah yang bayar semua kos rawatan you, you kena ikut aturan ni!"

Faid terus melangkah keluar tanpa memandang Sofia lagi. Dia menghampiri ibunya di luar. "Mak, Faid minta maaf. Mak masuklah. Faid pergi kerja dulu."
Faid masuk ke dalam keretanya dengan perasaan yang sangat serabut. Dia teringat kembali wajah Zizah yang ketawa bahagia semalam. Zizah nampak sangat "bebas" dan gembira, sedangkan dia terperangkap dalam drama yang tak berkesudahan di rumah sendiri.
Dia mencapai telefonnya, mahu menghantar mesej kepada Zizah tentang perangai Sofia, tetapi dia terhenti apabila melihat story terbaru Zizah di media sosial: Gambar sejambak bunga mawar merah di atas meja makan dengan kapsyen, "Terima kasih untuk malam tadi, Roslan. I rasa sangat dihargai."
Faid menghentam stereng keretanya. "You memang nak I gila kan, Zizah?!"

Pagi itu.

Faid melangkah masuk ke lobi Sri Holdings dengan fikiran yang berkecamuk. Bayangan Sofia yang menjerit-jerit di rumah berselang-seli dengan gambar bunga mawar daripada Roslan untuk Zizah benar-benar meracuni tumpuannya. Dia berjalan menunduk, melewati deretan lif tanpa memandang kiri atau kanan, malah sapaan beberapa staf juga tidak dihiraukannya.
Dia terlalu tenggelam dalam tekanan kerja dan perasaan sehingga dia tidak menyadari susuk tubuh seorang lelaki berusia yang berdiri tegak di hadapan lif, memerhatikannya dengan pandangan yang tajam dan penuh makna. Faid hampir sahaja melanggar lelaki itu jika dia tidak berhenti tepat pada masanya, namun dia tetap tidak mengangkat muka.
Tiba-tiba, satu tepukan padu singgah di bahu kanannya. "Jauh termenung, Faid? Sampai orang depan mata pun dah tak nampak?"
Faid tersentak.

Dia mendongak dan jantungnya hampir gugur apabila melihat wajah serius Tan Sri Tajudin—Papi kepada Zizah. Lelaki yang paling dihormatinya, namun kini menjadi individu yang paling dia takuti untuk berhadapan.
"Tan... Tan Sri," gagap Faid sambil membetulkan kedudukannya. Dia segera menunduk hormat.

"Maafkan saya, Tan Sri. Saya... saya tengah fikirkan pasal pembahagian dana projek terbengkalai tu."
Tan Sri Tajudin merenung Faid lama. Dia tidak terus melepaskan bahu Faid, sebaliknya cengkamannya terasa sedikit kuat. "Zizah beritahu saya yang kamu sekarang sangat sibuk. Katanya, kamu nak buat semuanya sendiri tanpa bantuan dia. Betul ke?"
Faid menelan liur.

Suara Tan Sri Tajudin yang tenang namun berwibawa itu terasa seperti satu introgasi. "Bukan macam tu, Tan Sri. Saya cuma... saya cuba untuk tidak menyusahkan Zizah."
"Menyusahkan?" Tan Sri Tajudin ketawa kecil, namun bunyinya kedengaran hambar.

"Zizah tu anak saya, Faid. Apa-apa yang berlaku pada dia, atau apa-apa yang buat dia tak gembira, akan jadi urusan saya juga.”

“Saya dengar dia sekarang lebih banyak duduk di rumah, menanam pokok, dan keluar dengan jiran-jiran. Dia nampak tenang, tapi saya kenal anak saya. Dia hanya tenang bila dia dah lepaskan sesuatu yang tak menghargai dia."
Faid terasa sindiran itu tepat menghiris jantungnya. Dia tahu Tan Sri Tajudin mungkin sudah tahu tentang Sofia yang kini tinggal di rumahnya.
"Faid, kerja memang penting. Tapi jangan sampai kamu hilang arah. Projek lima juta tu bukan sekadar pasal duit, tapi pasal kepercayaan saya pada kamu." Tan Sri Tajudin melepaskan bahu Faid.

"Zizah ada pesan pada saya tadi, kalau kamu nampak penat sangat, dia suruh saya ingatkan kamu untuk 'berehat'. Macam mana dia tengah berehat sekarang."
Lif terbuka.

Tan Sri Tajudin melangkah masuk, meninggalkan Faid yang berdiri kaku di lobi. Faid merasa peluh dingin membasahi dahinya. Kata-kata Papi Zizah itu kedengaran seperti satu amaran halus—bahawa kedudukannya di syarikat ini dan masa depannya berada di hujung tanduk jika dia terus menyakiti Zizah.
Faid bersandar pada dinding lif yang tertutup. Dia teringat kembali wajah Zizah yang tersenyum manja pada lelaki itu semalam. Adakah Zizah sedang mengadu pada papinya? Atau adakah ini sebahagian daripada rancangan Zizah untuk melihat dia melutut kembali?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience