Bab 14

Drama Completed 163108

Zizah melangkah keluar dari pejabat Papinya dengan perasaan yang sangat ringan. Dia sempat memberikan satu kucupan ringkas di pipi Faid sebelum mereka berpisah di lobi lif.
"I balik ke pejabat I dulu ya, Biyy. I ada meeting dengan klien dari Singapura petang ni. Good luck dengan 'pembersihan' you," bisik Zizah manja, matanya bersinar penuh kekaguman.
Faid hanya mengangguk kecil, menghantar pemergian Zizah dengan pandangan yang sukar ditafsirkan. Sebaik sahaja pintu lif tertutup, wajah Faid kembali dingin. Dia membetulkan tali lehernya dan berjalan semula menuju ke bilik pejabatnya di tingkat 9.
Sepanjang koridor, dia dapat merasakan perubahan drastik pada atmosfera pejabat itu. Jika pagi tadi penuh dengan bisikan sinis, kini yang ada hanyalah kesunyian yang mencekam. Setiap kali dia melintas, staf yang tinggal segera menundukkan kepala dan berpura-pura sibuk dengan kerja masing-masing. Mereka tahu, Tan Sri Tajudin sendiri sudah memberi "lampu hijau" kepada lelaki ini.
Faid masuk ke biliknya dan menghempaskan tubuh di kerusi bos yang dahulunya milik Kamal. Dia meletakkan kakinya di atas meja, satu tindakan yang penuh dengan keangkuhan. Dia teringat kembali kata-kata Tan Sri Tajudin dahulu—lelaki itu pernah menghinanya, mengatakan dia hanyalah lelaki jalanan yang tidak layak menjejakkan kaki ke bangunan pencakar langit ini.
"Tengok aku sekarang, orang tua," bisik Faid sendirian sambil tersenyum sinis.

"Kau rasa kau yang pegang aku, tapi sebenarnya aku yang sedang pegang empayar kau melalui anak perempuan kau." Faid membuka komputer ribanya dan mula menyemak senarai calon pekerja baru.

Dia mahu membina "tentera" sendiri. Dia tidak mahu sesiapa yang mempunyai kaitan dengan masa lalunya atau masa lalu Zizah. Dia mahukan orang yang hanya setia kepadanya.
Sambil bekerja, dia mencapai telefon bimbitnya. Ada satu mesej masuk daripada orang upahannya: "Dato' Kamal dan Sofia sudah keluar dari rumah agam mereka. Semua aset sudah disita pagi tadi."
Faid memejamkan mata sejenak, membayangkan wajah Sofia yang merayu-rayu di kaki lima. Rasa puas itu mengalir dalam urat sarahnya seperti candu. Dia kemudian bangun dan berjalan ke arah dinding kaca, melihat ke arah kota Kuala Lumpur yang sibuk di bawah sana. Dia sedar, kedudukannya sekarang sangat kukuh. Zizah sudah jatuh cinta mati kepadanya, dan Tan Sri Tajudin pula sudah mula bergantung kepada ketegasannya untuk memulihkan syarikat.
"Sikit lagi... sikit lagi aku akan jadi 'Tuan' yang sebenar di sini," gumamnya dengan nada bangga diri yang meluap-luap.
Dia tidak lagi peduli jika orang kata dia mengambil kesempatan atas kekayaan Zizah. Baginya, ini adalah pampasan bagi setiap titis air mata dan maruah yang dipijak-pijak oleh keluarga Sofia dulu. Faid Azhari yang lemah sudah mati; yang tinggal sekarang hanyalah seorang lelaki tanpa belas kasihan yang akan memastikan sesiapa sahaja yang menghalangnya akan berakhir di jalanan.
Dia kembali ke meja kerja, mencapai fail seterusnya dengan penuh semangat. Dunia korporat ini adalah medan perangnya, dan setakat ini, dia sedang menang besar tanpa perlu melepaskan sebarang peluru.

Khabar angin tentang "rejim" baru Faid Azhari mula tersebar seperti api marak di seluruh pelosok bangunan empayar Tan Sri Tajudin. Di pantri, di sudut lif, malah di dalam kumpulan sembang sulit staf, nama Faid Azhari menjadi topik yang mengundang gerun.
"You perasan tak? Faid yang sekarang bukan Faid yang kita kenal dulu. Dulu dia nampak macam lelaki yang boleh dipijak-pijak, tapi sekarang... pandangan mata dia saja dah cukup buat lutut I menggigil," bisik salah seorang staf senior kepada rakannya.
"Betul. I dengar semalam dia panggil pengurus unit teknikal. Hanya sebab satu kesilapan kecil dalam laporan, dia koyak-koyakkan fail tu depan muka orang tu. Dia cakap, kalau tak reti buat kerja, pergi jadi gelandangan macam bekas bos korang," sahut yang lain dengan nada cemas.
Bait-bait bicara di kalangan staf mula menggambarkan Faid sebagai seorang yang "berdarah dingin". Mereka sedar, Faid tidak lagi bermain dengan emosi. Sesiapa yang tidak mencapai piawaiannya akan disingkirkan tanpa sempat memberi penjelasan. Sifat bangga dirinya yang kini terserlah membuatkan mereka faham bahawa Faid tidak akan teragak-agak untuk melakukan apa sahaja demi pembersihan total.
"Siapkan mentallah kalau kena panggil masuk bilik dia. Dia bukan setakat nak hasil kerja, dia nak kesetiaan mutlak. Sekali dia syak you ada kaitan dengan orang lama, habislah," tambah seorang staf lagi sambil memerhati kelibat Faid yang kebetulan melintas di luar bilik pantri.
Faid, yang nampak kelibat mereka dari sebalik dinding kaca, sengaja berhenti sejenak. Dia tahu mereka sedang bercakap mengenainya, dan dia menyukai ketakutan yang terpancar di wajah mereka. Baginya, rasa hormat yang lahir daripada ketakutan adalah lebih stabil daripada rasa hormat yang lahir daripada simpati.
Dia melangkah masuk ke ruang kerja terbuka dengan langkah yang bergegar, tangannya diselukkan ke dalam saku seluar slack mahalnya.
"I dengar ada yang rajin sangat bercerita hari ni?" suara Faid memecah kesunyian pejabat.
Semua staf yang sedang berbisik tadi terus kaku di tempat masing-masing. Suasana menjadi begitu tegang sehingga bunyi pendingin hawa pun terasa membingitkan.
"Kerja korang dah siap ke sampai ada masa nak buat sesi 'podcast' dalam waktu pejabat?" soal Faid sinis, matanya melilau tajam ke arah setiap meja.

"Ingat pesan I... I bayar gaji korang bukan untuk jadi tukang cerita. I bayar untuk otak dan tenaga korang. Sesiapa yang rasa mental dia tak kuat nak berdepan dengan I, sila hantar surat peletakan jawatan sebelum I sendiri yang heret korang keluar."
Seorang staf wanita yang berada paling dekat dengannya tertunduk rapat, jarinya menggigil menekan papan kekunci. Faid tersenyum puas melihat reaksi itu. Dia berpaling dan berjalan menuju ke biliknya semula dengan penuh keangkuhan.
Baginya, inilah cara yang betul untuk memerintah. Dia tidak perlukan kawan di sini; dia perlukan hamba yang patuh. Dengan Zizah yang sentiasa menyokongnya dan Tan Sri Tajudin yang mula bergantung padanya, Faid merasa dirinya kini berada di puncak dunia seorang lelaki yang kini memegang takdir beratus-ratus pekerja di bawah telapak kakinya.

Tan Sri Tajudin duduk di kerusi kebesarannya, namun kali ini dahi beliau berkerut seribu. Laporan daripada beberapa orang kepercayaannya tentang "pemerintahan kuku besi" Faid Azhari mula menimbulkan tanda tanya. Beliau segera memanggil Zizah untuk menghadapnya.
Apabila Zizah melangkah masuk ke pejabat bapanya, dia melihat wajah Tan Sri yang sangat serius.
"Zizah, duduk," arah Tan Sri Tajudin pendek.

"Papi dengar macam-macam pasal Faid. Staf mula panggil dia diktator. Ada yang kata dia sanggup buat apa saja, malah ada yang trauma nak berdepan dengan dia. Betul ke cara dia tu?"
Zizah menyandarkan tubuhnya, kelihatan sangat tenang dan sedikit pun tidak terkesan dengan aduan tersebut. Malah, dia mengukir senyuman nipis yang penuh makna.
"Papi... Papi sendiri yang cakap pada Zizah dulu, dunia korporat ni bukan tempat untuk orang yang berhati lembut.”

“Apa yang Faid buat tu cuma 'disiplin'. Syarikat kita ni dah terlalu lama dibuai keselesaan bawah pengaruh Kamal yang korup tu. Kalau Faid tak bertindak keras, staf takkan takut, dan kalau mereka tak takut, mereka takkan hormat," jawab Zizah dengan nada yang sangat menyokong kekasihnya itu.
Tan Sri Tajudin memandang anaknya dengan pandangan menyelidik. "Tapi Zizah, ada beza antara tegas dengan bangga diri yang melampau.”

“Papi risau dia akan buat musuh lebih banyak daripada kawan. Kalau semua orang benci dia, macam mana dia nak pimpin?"
Zizah bangun dan berjalan ke arah meja bapanya, meletakkan tangannya di atas meja itu dengan penuh keyakinan. "Papi... Faid dah berubah. Dia bukan lagi lelaki yang lemah macam dulu.”

“Dia tahu apa dia buat. Staf-staf tu cuma 'manja'. Mereka terkejut sebab sekarang ada bos yang betul-betul pantau kerja mereka sampai ke lubang cacing." Zizah berhenti sejenak, matanya bersinar dengan rasa bangga yang tidak dapat disembunyikan.

"Lagipun, Papi tengoklah sendiri... sejak Faid ambil alih, produktiviti naik. Tak ada lagi staf yang curi tulang sebab mereka tahu, sekali buat hal, Faid takkan teragak-agak nak 'sembelih' karier mereka.”

“Bukankah itu yang Papi mahukan? Seseorang yang boleh jaga empayar ni dengan tangan besi?"
Tan Sri Tajudin terdiam. Dia melihat betapa taksubnya Zizah terhadap cara kerja Faid. Walaupun hatinya masih ada sedikit keraguan tentang personaliti Faid yang semakin angkuh, dia tidak dapat menafikan bahawa keputusan Faid setakat ini membawa keuntungan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience