Bab 37

Drama Completed 163108

Suasana di dalam bilik mesyuarat itu terasa sangat tegang, seolah-olah oksigen di situ tidak mencukupi. Faid berdiri di hadapan papan putih, membentangkan cadangan projek terbaharu dengan nada suara yang tegas namun ada getaran halus yang cuba disembunyikan. Dia menghuraikan setiap carta dan data, sesekali matanya melirik ke arah Zizah, mengharapkan sokongan atau sekurang-kurangnya satu reaksi daripada wanita itu.
Namun, Zizah hanya mendiamkan diri. Dia menyandarkan badan pada kerusi kulitnya, memandang ke arah Faid dengan wajah yang kosong. Apabila Faid tamat membentangkan angka lima juta ringgit sebagai modal fasa pertama, suasana menjadi sunyi sepi sebelum meja itu mula dipenuhi dengan suara bantahan.
"Lima juta? You gila ke Faid? Pasaran sekarang tengah tak stabil, dan you nak kita campak jumlah sebesar tu untuk projek yang masih belum nampak ROI (pulangan pelaburan) yang jelas?" Dato' Aziz, salah seorang pengarah kanan, memulakan serangan.
"I setuju dengan Dato' Aziz. Strategi you ni terlalu agresif, Faid. I nampak banyak sangat lubang dalam butiran teknikal yang you tunjuk kat depan tu," sampuk Encik Rahman, ketua bahagian kewangan pula sambil mengetuk-ngetuk pen di atas meja.
Faid mengetap rahang. Dia berpaling ke arah Zizah, mencari talian hayat. "Zizah... you dah baca fail tu sebelum ni. You tahu potensi projek ni."
Zizah hanya mengangkat kening sebelah. Dia tidak memandang fail, sebaliknya mencapai telefon bimbitnya yang diletakkan di atas meja. "I baca, tapi kawan-kawan kita di sini ada poin yang betul juga, Encik Faid. Risiko tu memang ada," jawab Zizah dengan nada yang sangat neutral. Dia tidak menyebelahi sesiapa. Dia seolah-olah sedang menonton satu persembahan pentas yang membosankan.
Tan Sri Tajudin memerhatikan gelagat anak perempuannya itu dengan dahi berkerut. Sebagai seorang ayah, dia tahu kedinginan Zizah itu bukan kosong. Ada taktik lain yang sedang dirancang. Dia tahu Zizah bukan jenis yang akan membuang duit begitu sahaja tanpa alasan yang kukuh.
"Ehem!" Faid berdehem kuat, cuba menarik perhatian Zizah semula.

"Jadi, maksudnya semua di sini tak setuju? Walaupun I dah buktikan yang syarikat akan rugi kalau kita terlepas peluang ni?"
"Bukan tak setuju, tapi kita kena semak balik rundingan di papan putih tu. Angka tu tak masuk akal," tegas Dato' Aziz lagi.
Tiba-tiba, Zizah yang sejak tadi lincah membalas mesej di telefonnya, meletakkan peranti itu ke tepi. Senyuman tipis yang sangat manis terukir di bibirnya—senyuman yang membuatkan Faid rasa tidak sedap hati. Tanpa menoleh sedikit pun ke arah papan putih yang penuh dengan angka dan graf itu, Zizah bersuara.
"Papi... I setuju. Kita laburkan lima juta, on the spot," kata Zizah sambil mencapai pen dan menandatangani dokumen di depannya dengan satu strok yang sangat tegas.
Seluruh bilik mesyuarat itu terpaku. Dato' Aziz dan Encik Rahman ternganga. Mereka tidak percaya Zizah akan meluluskan jumlah sebesar itu tanpa melihat rundingan teknikal atau membahaskan bantahan mereka tadi.
"Tapi Zizah, kamu tak semak pun butiran yang mereka pertikaikan tadi," celah Tan Sri Tajudin, cuba menduga niat anaknya.
Zizah akhirnya mengangkat wajah, matanya bertembung dengan mata Faid yang sedang menggenggam pen dengan kuat. "I tak perlu semak, Papi. I percaya dengan 'keberanian' Encik Faid. Lagipun... seperti yang I cakap tadi, duit boleh dicari. Tapi peluang untuk melihat sejauh mana seseorang itu boleh 'pergi' dengan modal sebesar ini... itu yang I nak tengok."
Faid merasakan kata-kata itu seperti satu cabaran yang ngeri. Zizah setuju bukan kerana dia percaya pada projek itu, tetapi dia seolah-olah sengaja memberikan Faid "tali" yang cukup panjang—sama ada untuk Faid membina empayarnya, atau untuk Faid menjerut dirinya sendiri dengan dana syarikat itu.
"You... you serius, Cik Zizah? You tak nak I terangkan balik kenapa lima juta tu perlu?" soal Faid, suaranya kedengaran agak kasar kerana dia merasa dipermainkan oleh kemurahan hati Zizah yang tiba-tiba.
Zizah menutup fail tersebut dengan bunyi yang kuat. "Tak perlu. I dah setuju, Papi pun dah dengar. Mesyuarat selesai."
Ahli lembaga pengarah yang lain hanya mampu memandang sesama sendiri, akhirnya terpaksa mengangguk tanda setuju kerana pemegang saham terbesar sudah pun menurunkan tanda tangan. Faid hanya mampu berdiri kaku di depan papan putih, melihat Zizah mengemas barang-barangnya dengan tenang. Dia menang dalam permohonan dana, tetapi dia merasa kalah teruk dalam peperangan emosi.

Dia tahu, lima juta itu adalah langkah pertama dalam 'permainan' baharu yang dicipta oleh Zizah.

Faid terduduk lesu di kerusinya, matanya terpaku pada kerusi Zizah yang kini sudah kosong. Bilik mesyuarat yang tadinya riuh mula sunyi apabila seorang demi seorang ahli lembaga pengarah keluar dengan wajah yang masih penuh tanda tanya. Hanya tinggal Faid, pembantu peribadinya, dan Tan Sri Tajudin yang masih tenang di tempat duduknya.
Tan Sri Tajudin menanggalkan cermin matanya, lalu memandang Faid dengan renungan seorang bapa yang sarat dengan pengalaman. "Faid, kamu ada masalah dengan Zizah ke?"
Soalan itu bagaikan satu tumbukan ke dada Faid. Dia mahu sahaja menjerit, memberitahu Tan Sri bahawa anak kesayangannya itu sebenarnya seorang manipulator yang telah merancang segala penderitaannya selama ini. Dia mahu membongkar siapa Zizah yang sebenarnya di sebalik topeng malaikat itu. Namun, apabila dia melihat wajah tua Tan Sri yang penuh harapan, mulutnya seolah-olah terkunci rapat. Dendamnya pada Zizah adalah urusan peribadi yang belum masanya untuk dihidangkan kepada orang tua itu.
Faid menarik nafas panjang dan sekadar menggelengkan kepala. "Tak ada apa Tan Sri, saya dengan dia ada masalah sikit... biasalah, hal peribadi."
Tan Sri Tajudin tersenyum nipis, namun matanya tidak menipu bahawa dia tahu ada sesuatu yang lebih besar sedang berlaku. "Zizah itu, kalau dia marah, dia akan diam. Tapi kalau dia terlalu tenang macam tadi, itu yang Papi risaukan."
Faid terdiam sejenak sebelum memberanikan diri bertanya, "Tan Sri rasa Zizah buat keputusan yang tepat ke dengan apa yang I cadangkan tadi? Lima juta itu bukan jumlah yang kecil, dan dia langsung tak tengok butiran di papan putih tu."
Tan Sri Tajudin menyandarkan badan, memandang kosong ke arah papan putih yang penuh dengan angka tulisan tangan Faid. "Tepat atau tidak, hanya masa yang akan tentukan. Tapi satu perkara yang kamu kena tahu pasal Zizah... dia takkan bagi sesuatu tanpa sebab.”

“Kalau dia bagi kamu lima juta tanpa banyak soal, maksudnya dia sedang melabur untuk sesuatu yang lebih besar daripada sekadar projek pembangunan."
Beliau bangun, membetulkan kotnya sebelum menepuk bahu Faid. "Sama ada dia melabur untuk kesetiaan kamu, atau dia sedang bagi kamu peluang untuk buktikan siapa sebenarnya diri kamu. Jangan sia-siakan 'kepercayaan' dia, Faid. Kerana kalau Zizah dah mula melepaskan, dia takkan pandang belakang lagi."
Faid hanya mampu melihat susuk tubuh Tan Sri Tajudin melangkah keluar. Kata-kata itu terngiang-ngiang di telinganya. "Melabur untuk sesuatu yang lebih besar?" Faid tersenyum sinis sendirian. Dia tahu pelaburan Zizah kali ini bakal memakan diri wanita itu sendiri, kerana setiap sen daripada lima juta itu akan dia gunakan untuk meruntuhkan tembok keangkuhan Sri Zizah, sehelai demi sehelai.
Faid melangkah keluar dari lif di tingkat 11 dengan debaran yang cuba dikawal. Langkahnya laju menuju ke pejabat Zizah, namun langkah itu mati serta-merta sebaik sahaja susuk tubuh Zizah menyapa pandangannya.
Zizah tidak berada di dalam bilik pejabatnya yang tertutup, sebaliknya dia sedang duduk bersantai di ruang menunggu sofa VIP berhampiran meja penyambut tetamu. Dia menyandarkan badan dengan gaya yang cukup menggoda, sebelah kakinya disilangkan sehingga menampakkan kasut tumit tingginya yang mahal.
Namun, apa yang membuatkan darah Faid serta-merta mendidih bukanlah gaya Zizah, tetapi nada suaranya.
"I pun rindu you juga... Kenapa baru sekarang nak call? You tahu tak I bosan sangat dalam meeting tadi," suara Zizah kedengaran sangat manja, satu nada yang Faid sangka hanya dikhaskan untuknya sebelum ini.
Zizah tergelak kecil, tawa yang penuh dengan nada menuntut rindu. "Okay, I janji. Malam ni kita jumpa? I nak you bawa I pergi tempat yang I suka tu. I penatlah kerja hari ni, I perlukan you untuk 'hiburkan' I."
Faid berdiri kaku beberapa meter dari situ. Tangannya menggenggam penumbuk sehingga urat-urat di lengannya timbul. Hatinya yang baru sahaja dibakar dengan dendam kini disiram pula dengan minyak cemburu yang amat sangat. Siapa di hujung talian itu? Adakah ini sebabnya Zizah begitu mudah meluluskan lima juta ringgit tadi—kerana dia sudah mempunyai "pelan sandaran" yang baru?
Zizah yang seakan perasan kehadiran seseorang, melirikkan matanya ke arah Faid. Namun, dia langsung tidak menunjukkan reaksi terkejut atau bersalah. Malah, dia sengaja memanjangkan perbualannya.
"Mmm... okay sayang. I tunggu you malam ni ya? Bye, love you too," ucap Zizah dengan penekanan pada perkataan 'love you' itu, sengaja membiarkan Faid mendengarnya dengan jelas.
Zizah mematikan talian, meletakkan telefonnya di atas meja kaca, dan akhirnya memandang tepat ke arah wajah Faid yang sudah merah padam. Dia tersenyum sinis, senyuman seorang permaisuri yang tahu dia sedang memegang hati lelaki di depannya itu dalam genggaman yang menyakitkan.
"Ada apa Encik Faid? Tak cukup lagi dengan lima juta tadi sampai kena naik ke tingkat 11 cari I?" soal Zizah dengan nada yang sangat dingin, bertolak belakang sepenuhnya dengan suara manjanya di telefon sebentar tadi.
Faid melangkah rapat, membongkokkan badannya sehingga wajahnya hanya beberapa inci dari wajah Zizah. "Siapa tu, Zizah? Siapa yang you panggil 'sayang' tadi?"
Zizah tidak berganjak. Dia hanya mengangkat kening, menikmati riak cemburu yang terpampang di wajah Faid. "Itu bukan urusan you, Faid Azhari. Urusan you adalah pastikan lima juta I tu tak lebur. Urusan peribadi I... you dah tak ada hak lagi."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience